“Banyak Trauma” – Dakwa Keluarga Diabai, Anak Bekas Ahli GISBH Kongsi Sisi Gelap Kumpulan Ini
Menurut wanita dikenali sebagai Sabrina Bolivar itu, ibunya telah dipujuk untuk berkahwin dengan ahli GISBH kerana ada yang mendakwa kahwin muda adalah lebih berkat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak kebelakangan ini, kecoh di media sosial apabila organisasi dan syarikat Ikhwan Global Sdn. Bhd atau Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn. Bhd (GISBH) didakwa membawa ajaran sesat kepada masyarakat setempat.
Selepas itu, muncul pula dakwaan bahawa berlakunya pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di kediaman penjagaan yang dipercayai kepunyaan GISBH di Negeri Sembilan dan Selangor.
Selepas siasatan dan serbuan dilakukan di premis GISBH, seramai 402 kanak-kanak berusia antara tujuh bulan hingga 17 tahun telah berjaya diselamatkan. Dakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, antara modus operandi lain yang dijalankan oleh kumpulan berkenaan termasuklah mengajar kanak-kanak cara meliwat.
Baca Artikel Berkaitan: Polis Serbu Premis Rumah Amal GISB, Kanak-Kanak Diajar Meliwat & Diliwat
Baca Artikel Berkaitan: GISBH Nafi Terlibat Ajaran Sesat, Akan Beri Kerjasama Kepada Polis & Jakim
Anak Bekas Ahli GISBH Kongsi Kisah Pengabaian Dalam Kumpulan Itu
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@sabbybolivar) menyaksikan seorang wanita dikenali sebagai Sabrina Bolivar yang mendakwa dirinya adalah anak salah seorang bekas pihak pengurusan tertinggi GISBH. Bagaimanapun, Sabrina menegaskan bahawa ayahnya sudahpun meninggal dunia.
Menerusi video perkongsian, Sabrina berharap agar orang ramai berhenti menyokong kelakuan dan gerakan GISB.
Menurut wanita itu, neneknya sebelum ini menyedari bahawa wujudnya pengabaian oleh si bapa kepada isteri dan anak-anak termasuklah Sabrina.
“Nenek saya bependidikan, ada pelajaran jadi dia dah nampak masa saya kecil-kecil pengabaian yang berlaku kepada saya, ibu dan adik-beradik.
“Sejak ibu saya kahwin sampai saya dapat adik nombor empat, nenek saya berjuang untuk keluarkan kami daripada group ni (GISBH). Sebab terlalu banyak trauma dan pengabaian sehinggalah mak saya sakit sampai sekarang,” kata Sabrina.
Ibu Sabrina Dipujuk Oleh Isteri Pengasas Al-Arqam Untuk Berkahwin
Mengulas lanjut mengenai gerakan GISB ini, Sabrina berkata ibunya telah direkrut oleh isteri kepada pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad semasa menyertai sebuah ceramah dikendalikan oleh kumpulan tersebut.
Untuk info, Global Ikhwan sememangnya diasaskan daripada sisa-sisa Kumpulan Arqam, iaitu cabang perniagaan gerakan Al-Arqam.
Baca Artikel Berkaitan: GISBH Ada Kaitan Dengan Kumpulan Arqam? Ini Sejarah Penubuhannya
Sabrina mendakwa bahawa isteri Ashaari memujuk ibunya untuk berhenti belajar dalam bidang perubatan dan berkahwin dengan seorang ustaz ketika berumur 22 tahun. Ustazah yang mengajak ibu Sabrina ini mendakwa bahawa kahwin muda adalah lebih bagus dan juga berkat di sisi agama.
“Mak saya ni lurus dan suka agama jadi dia (isteri Ashaari) pujuk mak saya untuk berhenti belajar dan berkahwin dengan ustaz. Jadi mak saya kahwin dengan (individu) dari komuniti Al-Arqam,” dakwa Sabrina.
Jelas Sabrina, ibunya kemudian ‘termakan’ dengan pujukan tersebut dan bertindak berkahwin dengan salah seorang ustaz dalam komuniti itu. Walau bagaimanapun, perkahwinan itu hanya bertahan selama enam bulan.
Selepas ibunya bergelar janda, ustazah-ustazah dalam Al-Arqam didakwa memujuk si ibu untuk berkahwin dengan seorang ustaz iaitu ayah kepada Sabrina pula. Sabrina menjelaskan bahawa perkahwinan tersebut diteruskan tanpa persetujuan neneknya.
Lebih mengejutkan, ibu Sabrina tidak mengetahui bahawa dirinya merupakan isteri yang keempat.
“Bayangkan perkahwinan pertama dah ada trauma kahwin dengan lelaki bermasalah. Ustaz kedua, arwah bapa dah ada trauma baru jadi isteri keempat. Kalau isteri keempat, tahulah awak akan kena apa dengan isteri-isteri kedua dan ketiga. Secara tak sengaja awak akan kena bulikan?” ujar wanita berkenaan.
Sabrina Minta Orang Ramai Berhenti Sokong GISBH
Dakwa Sabrina lagi, si ibu turut diabaikan selepas melahirkannya mengakibatkan berlakunya Postpartum depression (kemurungan klinikal).
Di akhir perkongsian, Sabrina meminta orang ramai untuk mendoakan kesihatan ibunya selain meminta berhenti menyokong GISBH.
@sabbybolivar Replying to @✏️ It's Weinye 💛 #gisb ♬ original sound – Sabrina Bolivar
Reaksi Pengguna TikTok Lepas Dengar Kisah Sabrina
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata individu berharap agar orang ramai yang terlibat secara langsung dengan GISBH ini untuk menyebarkan kesedaran.
“Moga makin ramai yang buka mulut tentang isu ini. Mereka bila berada dalam GISBH, aku rasa tak akan buka mulut kerana masih budak-budak dan rasa takut,” kata seorang pengguna TikTok.
Malah, ramai juga berharap golongan masyarakat untuk berhati-hati agar tidak terhanyut dengan ajaran yang tidak sepatutnya.
“Takut, saya dulu GISBH tapi Al-Arqam. Kejap je dalam tiga bulan. Taksub tu bahaya korang, hati-hatilah,” jelas seotang wanita.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram