Hampir 100,000 Rakyat Malaysia Serbu Thailand Ketika Musim Cuti? Ini Faktornya
Pelancong tempatan yang dilaporkan bercuti di Thailand sempena Hari Malaysia ini telah menyumbang lebih 1 bilion Baht (RM129 juta) kepada ekonomi negara berkenaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui, minggu ini terdapat dua cuti umum buat rakyat tempatan iaitu Hari Malaysia dan juga Hari Maulidur Rasul yang jatuh pada hari sama, Isnin (16 September).
Buat sesetengah syarikat, para pekerja turut diberikan cuti tambahan pada hari berikutnya. Mengambil kesempatan daripada cuti yang diberikan, orang ramai telah bercuti dalam dan luar negara termasuklah negara jiran, Thailand.
Negara tersebut dilihat sudah menjadi destinasi percutian paling diminati ramai. Seperti mana yang dimaklumkan oleh Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Sudawan Wangsuphakijkosol sebelum ini, rakyat Malaysia mendahului senarai pelawat antarabangsa ke negara tersebut pada tahun lalu iaitu seramai 4.56 juta orang.
Hampir 100,000 Pelancong Malaysia Bercuti Ke Thailand
Bersempena cuti kali ini, hampir 100,000 pelancong Malaysia dilaporkan bercuti di wilayah Selatan Thailand sekaligus menyumbang lebih 1 bilion Baht (RM129 juta) kepada ekonomi tempatan.
Menurut Presiden Persatuan Hotel Hat Yai Songkhla Sittipong Sitthipatprapha, lebih 36,000 pelancong memasuki Wilayah Songkhla melalui tiga pintu masuk utama iaitu Sadao, Dan Prakob dan Padang Besar pada 14 September lalu.
Ia kemudian menyebabkan kesesakan bermula seawal 5 pagi hingga 11 malam lebih-lebih lagi di kawasan Hat Yai.
Dalam pada itu, 400 hotel dengan lebih 30,000 bilik juga telah ditempah sepanjang tempoh cuti terbabit.
Baca Artikel Berkaitan: 15 Tempat ‘Wajib’ Pergi Bila Travel Ke Hat Yai, Thailand
Individu Persoal Mengapa Pelancong Tak Bercuti Di Negeri Serata Malaysia
Susulan itu, ramai pengguna media sosial memberi pelbagai reaksi mengenai perkara ini. Ada yang mempersoalkan mengapa para pelancong lebih memilih bercuti ke Thailand berbanding negeri-negeri di Malaysia.
Seorang individu berpendapat tiket yang agak mahal untuk melancong ke sesetengah negeri ini adalah antara puncanya. Bukan itu sahaja, dia juga menekankan aspek kebersihan, makanan yang kurang lazat dan banyak lagi.
Tiket mahal is just the tip of the iceberg I tell you.
— Jack Hulubalang Archery (@HulubalangArc) September 19, 2024
Jalan teruk
Hotel mahal, tak terjaga & kotor
Pekan, bandar kotor & berbau
Makanan tak sedap
Tempat pelancongan kalau bukan crowded nak mampuih, jauh nak mampuih
Kalau takda kenalan local, susah
Promotion sucks https://t.co/wGhmGR9nAk
Faktor Utama Thailand Jadi Pilihan Rakyat Malaysia
Memetik Berita Harian, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Roosfa Hashim berkata jarak perjalanan yang dekat dan harga penginapan berpatutan adalah antara faktor utama negara seberang ini digemari ramai.
Khusus buat umat beragama Islam, makanan halal yang mudah didapati juga mendorong penduduk Malaysia untuk berkunjung ke Selatan Thailand.
Antara faktor tambahan lain adalah kemudahan pengangkutan awam bagi jalan darat dan udara yang mudah diakses di beberapa lokasi tumpuan di negara berkenaan antaranya Hat Yai, Krabi, dan Phuket.
Seorang warga Sabah dikenali sebagai Ramlah Abdul Rashid turut memberi pandangan yang sama seperti pengguna X sebentar tadi yang mengatakan makanan dan minuman ditawarkan di Thailand adalah jauh lebih lazat.
“Tomyam dan sup di sini lebih asli dan sedap, selain makanan laut yang segar. Nasi Kerabu Diraja di sini juga sangat lazat dan disajikan dengan persembahan menarik,” ujarnya.
Malaysia Perlu Serlahkan Budaya Tempatan Untuk Tarik Pelancong
Dalam usaha mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi tumpuan pelancongan, Pengerusi Konsortium Pakatan Pelancongan Dalam Negeri, Uzaidi Udanis berkata budaya Malaysia yang pelbagai perlu diuar-uarkan bagi menarik minat ramai.
Sebagai contoh, individu yang melancong ke negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Bali sanggup menyewa pakaian tradisi mereka iaitu Hanbok serta Kimono bagi merasai sendiri pengalaman rakyat tempatan.
“Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya, namun sekarang kita jauh ketinggalan berbanding negara lain di rantau ini. Kita lebih kepada negara Barat yang moden.
“Pelancong bukan nak datang tengok menara semata-mata, tapi mereka mahukan pengalaman. Pelancong asing terutamanya sanggup membayar harga yang tinggi untuk belajar membuat kimchi, tarian kecak, merasai pengalaman menaiki unta dan sebagainya,” jelas Uzaidi Udanis.
Baca Artikel Berkaitan: Bercuti Ke Hat Yai Dengan Bajet RM450. Puas Makan & Berjalan!
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Untuk Travel Ke Bangkok, Thailand
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram