[Video] Lelaki Pecahkan Cermin Kereta Gara-gara Owner Myvi ‘Double Park’ Raih Perhatian
Difahamkan lelaki tersebut memecahkan cermin kereta jenis Perodua Myvi untuk menurunkan brek tangan dan menolak kenderaan itu ke belakang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Di sesetengah kawasan, memang tidak dapat dinafikan tempat meletakkan kenderaan yang disediakan adalah terhad. Ia sekaligus menyebabkan pemilik kereta bergelut untuk mencari tempat parkir kereta.
Namun itu tidak bermaksud anda boleh parkir berganda (double parking) sesuka hati dan menyusahkan orang lain. Sebelum ini, Datuk Aznil Nawawi mendedahkan sikap pemilik sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang bertindak double parking berjam-jam lamanya.
Lebih membuatkan Pak Nil kecewa, pemilik SUV itu hanya berlalu pergi tanpa memohon maaf kepada seorang jururawat atas kesalahan dilakukan.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kereta ‘Double Park’ Halang Kenderaan Lain, Pak Nil Bantu Wanita Cari Si Pelaku
Lelaki Pecahkan Cermin Kereta Myvi Sebab Double Park
Kes sebegitu tidak terhenti di situ sahaja. Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok menyaksikan seorang lelaki yang berang dengan tindakan pemilik kereta Perodua jenis Myvi yang parkir berganda hingga menghalang laluan.
Difahamkan, pemilik kereta Myvi itu tidak meninggalkan sebarang nombor untuk dihubungi. Oleh disebabkan itu, lelaki tersebut telah bertindak memecahkan cermin kereta tersebut menggunakan seketul batu.
Menerusi video perkongsian, kelihatan lelaki itu memukul cermin kereta dengan kuat sehingga ia pecah sepenuhnya.
Selepas cermin bahagian pemandu tersebut pecah, lelaki berkenaan kemudian dipercayai menurunkan brek tangan dan menolak Myvi itu ke belakang.
“Selesai, turun handbrake kita boleh reverse dia (kereta) ke belakang,” ujar lelaki berkenaan.
Parkir Berganda Boleh Dikenakan Kompaun RM300
Untuk info, parkir berganda adalah satu kesalahan. Pemandu boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300 manakala kenderaan disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Di bawah Seksyen 48 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula, tindakan double park yang menyusahkan orang lain dan mengundang bahaya boleh dikenakan denda dari RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pun begitu, ia tidak bermaksud pemandu lain boleh bertindak melanggar atau memecahkan cermin kereta yang menghalang. Anda berkemungkinan perlu membayar ganti rugi kerosakan kereta yang dilakukan.
Orang Ramai Minta Tinggalkan Nombor Telefon Jika Terpaksa Parkir Berganda
Perkongsian ini dalam masa sama mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Ramai berkata individu yang berada dalam kecemasan perlu meninggalkan nombor untuk dihubungi bagi memudahkan urusan pemandu akibat kereta dihalang.
“Nak double park boleh. Jangan tarik brek. Letak nombor telefon depan cermin, jangan menyusahkan orang lain sebab kita,” ujar seorang wanita.
Malah ada yang berkata meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya adalah tanggungjawab masing-masing.
“Parkir di luar petak kuning, kalau ada masalah kerosakan adalah tanggungjawab sendiri,” jelas seorang pengguna TikTok.
Sementara itu, ada juga segelintir yang mempersoalkan tindakan lelaki tersebut kerana merosakkan kereta orang lain.
“Tapi kalau boleh hon dulu, mana tahu tuan dia (kereta) dengar. Kenapa terus ketuk?” tanya seorang wanita.





Baca Artikel Berkaitan: “Menyusahkan Orang” – Pemandu Myvi Selamba ‘Double Park’ & Tarik Brek Tangan Dikecam Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Polis Cari Pemilik Kereta Tayang Vest Polis, ‘Double Park’ Kenderaan Hingga Halang Lalu Lintas
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram