[Video] Pelancong China Selamba Tunggang Beg Pakaian Bermotor Di Jalan Raya Raih Kecaman Ramai
Aksi pelancong wanita yang dilihat menunggang beg bagasi bermotor itu telah melanggar Akta Trafik Jalan Raya di Thailand.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kalau anda perasan, sudah wujud pelbagai jenis bagasi moden dicipta bersama tayar yang boleh bergerak. Siap ada segelintir pengguna yang menunggangnya seperti motor kecil di lapangan terbang.
Bagasi seperti ini boleh memberi kemudahan kepada mereka yang penat untuk berjalan ke pintu kemasukan yang agak jauh di balai pelepasan.
Namun siapa sangka, wujud juga pihak yang memanfaatkan bagasi bermotor itu di lokasi yang tidak sepatutnya seperti mana yang tular baru-baru ini.
Wanita Tunggang Bagasi Bermotor Di Jalan Raya
Menerusi video dimuat naik semula di laman Instagram (@sinarharian), seorang wanita dilihat selamba menaiki beg pakaian bermotor miliknya di jalan raya yang sesak dengan kenderaan.
Bagasi itu ditunggang di laluan sebelah kiri jalan raya di mana individu berkenaan juga dilihat tidak memakai sebarang pakaian keselamatan sebagai perlindungan.
Lebih mengejutkan lagi apabila wanita tersebut dilihat menaiki bagasi berkenaan sambil bermain telefon dan membiarkan beg miilknya bergerak dengan sendiri.
Malah, dia juga sesuka hati memasuki laluan di antara dua lorong jalan raya selepas memberhentikan bagasinya di belakang sebuah bas.
Mengikut laporan Berita Harian Harian, aksi itu berlaku di Jalan Vibhavadi Rangsit yang merupakan antara jalan tersibuk di Bangkok kerana terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang.
Orang Ramai Kecam Perbuatan Merbahaya Wanita Itu
Rata-rata masyarakat mengecam aksi yang dilakukan dan menganggap si pelaku sepatutnya dikenakan denda kerana tidak mengamalkan etika yang baik semasa berada di negara lain.
“Saman jangan tak saman, masuk rumah orang, ada adab,” ujar seorang pengguna Instagram.
Ada juga yang berpendapat mungkin wanita itu mahu mengurangkan kos dan mengambil langkah penjimatan dengan hanya menunggang beg bagasi bermotor itu sahaja untuk ke destinasi.
Polis Thailand Larang Aksi Sama Dilakukan
Susulan tular video yang dimuat naik di laman Facebook pengguna Social Hunter 2022 itu, pihak polis Thailand melakukan siasatan dan mendapati bahawa wanita yang terlibat itu merupakan seorang pelancong China.
Difahamkan, pelancong berkenaan telah meninggalkan Thailand pada 22 Ogos lalu.
Menurut pihak polis Thailand, perbuatan itu dianggap telah melanggar Akta Trafik Jalan Raya kerana menggunakan objek bukan kenderaan yang menghalang lalu lintas di jalan raya.
Meskipun bagasi itu boleh bergerak, tetapi ia tidak dianggap sebagai kenderaan serta tidak boleh didaftarkan sebagai kenderaan sah mengikut undang-undang Thailand iaitu Akta Kenderaan dan Akta Trafik Jalan Raya 1979.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.