“Takut Tapi Kena Lawan” – Anggota Bomba Kongsi Pengalaman Terlibat Operasi SAR Mangsa Tanah Jerlus
Salah satu cabaran yang perlu dilalui oleh pasukan penyelamat dalam usaha mencari mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India adalah mereka perlu menyelam di dalam air kumbahan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jumaat lalu (23 Ogos) seluruh Malaysia telah digemparkan dengan insiden seorang pelancong wanita dari India, Vijaya Lakshmi, 48, dilaporkan terjatuh dan tertimbus di dalam lubang sedalam enam meter di Masjid India.
Memasuki hari keempat pada hari ini (26 Ogos), masih belum ada perkembangan terbaharu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Namun, pihak anggota bomba tidak patah semangat untuk terus mencari mangsa meskipun terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran yang agak mencabar.
Anggota Bomba Kongsi Pengalaman Dalam Operasi Mencari & Menyelamat
Menerusi beberapa video dimuat naik di laman TikTok (@alimaddia), salah seorang pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi pencarian mangsa berkongsi detik-detik mencabar yang dihadapi.
Salah satunya adalah apabila mereka perlu turun ke dalam tanah yang agak dalam menggunakan tangga dan menyelam di dalam air kumbahan.
Bahkan mereka perlu menempuh aliran arus air yang deras dan keadaan kawasan lubang yang sangat gelap dan sempit.
“Arus deras (3 knot) dengan tahap penglihatan agak terhad menyukar usaha pencarian mangsa. Akses yang kecil juga menyukarkan pergerakan,” kata anggota bomba itu.
Dalam video berkenaan, keadaan hujan juga menjadikan proses menjadi lebih mencabar kepada pasukan penyelamat yang terlibat.
Dalam video berlainan, kelihatan penyelam yang terlibat telah naik semula dari kawasan air kumbahan melakukan proses ‘decontamination’ selepas terdedah dengan segala kotoran dalam air kumbahan.
“Bomba sentiasa terdedah kepada bahaya semasa operasi dan penyakit yang boleh memudaratkan. Oleh itu, proses decontamination mestilah dibuat dengan teliti,” jelas anggota bomba terlibat.
Perkongsian video tersebut mendapat perhatian ramai sehingga ada yang mencecah hampir 4 juta tontonan setakat artikel ini ditulis.
Anggota bomba ini turut menceritakan bahawa mereka sudah pastinya turut berasa berdebar dan ketakutan pada masa sama.
Namun mereka tetap kuat menjalankan tugas dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Kami pun berdebar juga. Kami pun takut juga. Masa turun kat bawah tu lagi lah, memang takut tapi ini tugas kami. Macam mana pun kena lawan perasaan takut tu dan berserah padaNya,” jelas anggota bomba.
Orang Ramai Tabik Lihat Kecekalan Anggota Bomba Melaksanakan Tugas
Boleh dikatakan rata-rata masyarakat Malaysia memberi pujian kepada pasukan bomba kerana telah banyak berkorban untuk menyelamatkan individu yang berada dalam keadaan bahaya.
Malah, orang ramai turut berharap agar pihak kerajaan dapat menyemak semula gaji anggota bomba dan diberikan dalam jumlah yang lebih lumayan memandangkan tugas mereka sentiasa berisiko.
“Antara kerja yang tangga gaji perlu disemak oleh kerajaan untuk dinaikkan setimpal dengan risiko kerja dan pengorbanan mereka,” kata seorang netizen.
Malah, masyarakat turut mendoakan agar keselamatan ahli anggota bomba berada dalam keadaan baik sepanjang melakukan tugasan mereka.
“Inilah janji wira negara. Nyawa jadi taruhan demi misi mencari dan menyelamat. Terima kasih wira-wira yang terlibat. Salute jasa anda semua. Semoga dipermudahkan segala urusan,” kata seorang pengguna TikTok.
Kejadian Tanah Jerlus Di Jalan Masjid India
Sebelum ini, Vijaya Lakshmi telah terjatuh ke dalam lubang benam yang menyebabkan dirinya juga tertimbus ke dalam tanah.
Sewaktu kejadian, suami kepada wanita berkenaan sempat mendengar jeritan isterinya meminta tolong sebelum suara itu terus ‘lesap’ dari pendengarannya.
Kejadian yang berlaku pada jam 8 pagi itu tidak menunjukkan sebarang petanda buruk di lokasi kejadian sebelum tragedi tidak diingini itu berlaku.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Terjerlus Di Masjid India: Suami Dedah Dengar Jeritan Isteri Sebelum Senyap
Baca Artikel Berkaitan: Ahli Geosains Jelaskan Tentang Formasi Batu Kapur Di Kuala Lumpur
Baca Artikel Berkaitan: Kes Wanita Terjerlus Di Masjid India: Datuk Bandar Nafi Dakwaan KL Tak Selamat
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
a