Apakah Hukum Orang Islam Pakai Jersi Bola Sepak Ada Logo Syarikat Judi & Arak? Ini Penjelasannya
Mereka yang memakai jersi bola sepak yang mempamerkan logo syarikat arak atau judi itu dianggap seolah-olah bersubahat dalam perkara berdosa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi peminat bola sepak, pastinya anda cukup teruja untuk memberikan sokongan kepada pasukan kegemaran termasuklah di English Premier League (EPL) bagi musim 2024/25 yang sudah bermula pada 17 Ogos lalu.
Antara pasukan popular yang bertanding untuk merebut piala juara dalam pertandingan bola sepak itu adalah Chelsea, Arsenal, Aston Villa, Liverpool, Manchester City, Manchester United, West Ham dan banyak lagi.
Bagi penyokong di Malaysia, salah satu cara untuk menunjukkan sokongan kepada pasukan kegemaran mereka adalah dengan menonton perlawanan secara langsung sambil memakai jersi rasmi kelab bola sepak.
Lebih Separuh Daripada Pasukan Bola Sepak EPL Ditaja Oleh Syarikat Judi
Menerusi hantaran dimuat naik di laman Instagram (@classicfootballshirts), 12 daripada 20 pasukan bola sepak yang bertanding untuk EPL atau 55% daripadanya telah ditaja oleh syarikat judi.
Daripada jumlah tersebut, 11 daripadanya telah mempamerkan nama syarikat judi yang menaja mereka dalam tulisan yang jelas dan besar di bahagian tengah hadapan baju jersi mereka.
Antara 11 pasukan tersebut adalah:
- West Ham
- Wolverhampton Wanderers
- Southampton
- Bournemouth
- Fullham
- Aston Villa
- Everton
- Brentford
- Crystal Palace
- Leicester City
- Nottingham Forest
Difahamkan, penajaan syarikat judi dalam pasukan bola sepak melibatkan kumpulan yang bertanding untuk EPL semakin mencatatkan peningkatan sejak musim 2003/2004.
Hukum Pakai Baju Pasukan Yang Ditaja Oleh Syarikat Judi Dan Arak
Pendakwah bebas Zaharuddin Abdul Rahman menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook miliknya mendedahkan haram bagi umat Islam untuk memakai baju jersi pasukan yang mempamerkan logo syarikat judi, bank riba dan lain-lain.
Ini kerana mereka yang menggayakan pakaian tersebut di khalayak umum dianggap seolah-olah bersubahat dalam perkara berdosa.
Memetik sumber dari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula, pemakaian baju yang mempunyai lambang syarikat arak atau judi juga dikategorikan sebagai haram.
Pemakaian baju yang mempamerkan logo syarikat itu dibimbangi akan memberi galakan kepada masyarakat untuk membeli dan mencubanya.
Allah SWT juga pernah berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 2:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Imam Ibn Kathir turut menyebut bahawa Allah SWT melarang hambaNya dari saling membantu atas perkara yang batil serta menolong atas perkara-perkara dosa dan sesuatu yang diharamkan termasuklah arak dan judi.
Cara Lain Untuk Memakainya Dengan Cara Yang Tidak Diharamkan
Bagi mereka yang masih mahu memakai baju tersebut tetapi bukan dengan niat untuk mempamerkan mana-mana syarikat judi atau arak, caranya adalah dengan menterbalikkan pakaian tersebut supaya logo dan lambang tersebut tidak kelihatan.
Selain itu, kerajaan juga memainkan peranan penting untuk mengawal penjualan baju-baju yang mempunyai lambang syarikat arak dan judi kepada seluruh umat Islam.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.