Now Reading
“Malaysia Helwah” – Reaksi Kanak-kanak Palestin Teruja Tiba Ke Negara Ini Raih Perhatian

“Malaysia Helwah” – Reaksi Kanak-kanak Palestin Teruja Tiba Ke Negara Ini Raih Perhatian

Kelihatan kanak-kanak lelaki dipercayai dari Palestin itu mengukirkan senyuman selepas melihat pemandangan Malaysia melalui tingkap pesawat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Jumaat lalu (16 Ogos), seramai 41 rakyat Palestin yang tercedera akibat serangan dari Angkatan Pertahanan Israel (IDF) di Semenanjung Gaza telah selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang. Mangsa yang tercedera turut diiringi 86 waris mereka di sini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membawa rakyat Palestin terbabit dari Pangkalan Udara Al Maza.

Misi ini dijayakan bagi membantu dan menunjukkan solidariti rakyat tempatan terhadap warga Palestin bagi menentang genosid yang berlaku.

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Sedia Bawa Rakyat Palestin Tercedera Ke Malaysia Untuk Dapatkan Rawatan – Anwar Ibrahim


Kanak-kanak Palestin Teruja Lihat Pemandangan Malaysia

Hujung minggu lalu, tular satu hantaran di laman X (Twitter @bckupacc99) menunjukkan seorang kanak-kanak dipercayai dari Palestin yang teruja melihat pemandangan Malaysia melalui tingkap pesawat.

Menerusi video perkongsian, budak lelaki yang memakai t-shirt putih itu dilihat mengukirkan senyuman melihat landskap negara ini dari pandangan atas selain berkata, “Malaysia helwah.”

Untuk info, ungkapan helwah dikatakan membawa maksud manis, cantik dan indah.

“Malaysia helwah. Sebak tengok muka happy kanak-kanak Palestin, alhamdulillah. Selamat datang ke Malaysia awak semua,” kata pemilik akaun X.


Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Lihat Situasi Rakyat Palestin Tiba Ke Malaysia

Menjengah ke ruangan balas, orang ramai dilihat memberikan pelbagai reaksi. Majoriti meluahkan rasa sebak selepas melihat kanak-kanak itu yang begitu gembira apabila tiba ke Malaysia.

“Sebak sangat melihat kegembiraan mereka (rakyat Palestin). Dulu mereka ingat rumah perlindungan selamat dari peperangan tapi tidak. Bila sampai Malaysia, mereka nak tidur rasa lebih aman. Sedih sangat rasa,” kata seorang wanita.

Malah, ada juga yang berharap agar usaha kecil dijalankan oleh pihak kerajaan diberkati Allah SWT selain dapat membantu mereka yang terjejas.

“Semoga kedatangan mereka menjadi salah satu asbab Malaysia mendapat keberkatan dari Allah dan diberi sebaik-baik perlindungan dari malapetaka dan bencana,” jela seorang warganet.

Pun begitu, ada juga segelintir individu yang tidak bersetuju dengan kedatangan rakyat Palestin ke Malaysia.

Lebih teruk apabila dia turut menggunakan ayat ‘tidak kisah’ dengan keadaan Palestin yang sudah hancur teruk sehingga dikecam pengguna X yang lain.

“Helwah, helwah juga. Dah dapat rawatan kesihatan nanti baliklah ke tanah asal ya. Jangan overstay dengan harapan dapat kad pengenalan jadi warganegara Malaysia pula.

“Tiada siapa kisah negara kau hancur teruk. Kau terpaksa jadi pelarian lepas itu kau nak menagih IC Malaysia, nak dapatkan keamanan terletak pada tangan korang,” ujar individu berkenaan.

Sumber: X (@bckupacc99)

Anwar Ibrahim Kesal Ada Pihak Kritik Bawa Rakyat Palestin Tercedera Ke Malaysia

Ambil maklum tentang rasa tidak puas hati sesetengah pihak mengenai misi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan amat kesal dan sedih dengan sikap tersebut.

Menurut beliau, ada individu yang sanggup mengkritik usaha murni ini walhal ia merupakan salah satu tanggungjawab kecil yang boleh dilakukan sebagai tanda ihsan kepada warga Palestin yang cedera parah.

“Kezaliman Israel menembak, bom, hancurkan rumah, bunuh bayi (dan) wanita, malah baru-baru ini lelaki dipenjara, ada yang diperkosa, kemudian kita bawa balik, itu pun dicerca.

“Ada orang kata Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin kalau nak tolong sangat.

“Orang mati terkorban, diseksa, duduknya jauh. (Sebelum ini) ada yang lain datang lagi ramai, Rohingya ratus ribu, banyak negara jiran datang minta pertolongan, dulu pelarian Aceh, ada pergaduhan, maka ada juga kita simpan di sini untuk beri perlindungan sehingga keadaan reda,” kata beliau, lapor Berita Harian.

Baca Artikel Berkaitan: Bayi Kembar Terkorban Dalam Serangan Udara Di Gaza Ketika Bapa Sedang Daftar Sijil Lahir

Baca Artikel Berkaitan: Tempat Perlindungan Rakyat Palestin Di Rafah Diserang, Malaysia Kutuk Kekejaman Israel


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd