[Video] Ustaz Syamsul Debat Dedah 3 Perkara Yang Tak Patut Dikongsi Di Media Sosial, Hati-hati!
Salah satu perkara perlu dielakkan daripada berkongsi di media sosial adalah kebahagiaan yang dimiliki oleh anda pada ketika ini.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penggunaan media sosial bukan lagi satu perkara asing dalam kehidupan seharian seseorang, tidak kira golongan dewasa atau muda.
Ramai yang menggunakan platform ini untuk kekal berhubung dengan kenalan dekat walaupun jarang berjumpa.
Malah, ada juga yang menggunakan aplikasi media sosial untuk berkongsi rutin atau kehidupan seharian mereka dengan orang ramai. Sebagai contoh, keputusan peperiksaan, khabar berita bakal menimang cahaya mata, aset yang baru dibeli dan sebagainya.
Ustaz Syamsul Debat Kongsi 3 Perkara Patut Elak Kongsi Di Media Sosial
Namun baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok, menyaksikan pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat sedang mengulas tentang perkara-perkara yang sering dipamer atau diumumkan oleh individu kepada khalayak ramai di media sosial.
Menurut Ustaz Syamsul bukan semua perkara sesuai ditunjukkan atas faktor penyakit ain. Memetik portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, penyakit ain ditafsirkan sebagai penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata, disertai sifat iri hati atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang.
Berikut adalah tiga perkara yang anda perlu elak berkongsi di laman sosial:
#1. Kebahagiaan
Pertama sekali adalah tidak menunjukkan kebahagiaan yang dimiliki sekarang kepada orang ramai. Sebagai contoh, memuat naik perkongsian tentang kebahagiaan anda bersama pasangan.
“Tunjuk gambar pegang tangan dekat handbrake (kereta) dengan (kapsyen) ‘imamku’. Menyampahnya aku. Jangan kongsi kebahagiaan sebab bukan semua orang bahagia melihat kebahagiaan kita,” kata pendakwah itu.
Ia bukan sahaja tertumpu kepada pasangan sahaja, malah ramai juga di kalangan ibu bapa yang suka mempamerkan keputusan peperiksaan anak yang cemerlang. Perkara tersebut mungkin akan menyebabkan ibu bapa yang lain rasa iri hati.
“Kita tak tahu ada di kalangan kita ni kekasih Allah. Maksudnya apa yang dia cakap makbul. Apa dia doa dalam hati pun makbul, itu yang bahayanya.
“Kita kongsi tentang kebahagiaan, lepas tu dia dalam hati, ‘tengah bahagia sangatlah ni, tengoklah 2-3 minggu lagi bercerai’ makbul! Itu yang kita tak nak,” ujar pendakwah tersebut.
#2. Harta Benda
Perkara kedua yang harus dielakkan daripada menunjuk di media sosial adalah harta benda.
“Ada yang tengok tu, dia tak dapat macam yang kita ada tu (harta), doa lagi (benda buruk), ‘alah berlagak tengoklah esok hilang rumah kau ni semua baru kau tahu’.
“Kita pernahkan pergi umrah pergi haji tengok kereta dan teksi dia buruk betul, bengkok remuk sebab apa? Kadangkala dia sendiri yang remukkan sebab dia takut ada orang sakit mata tengok kereta dia berkilat. Sampai macam tu sekali nak jaga (mata orang),” jelasnya.
#3. Perihal Keluarga
Yang terakhir adalah dengan tidak berkongsi perkara mengenai keluarga. Sebagai contoh menunjukkan kepada semua orang tentang suami tercinta atau anak yang baru dilahirkan.
“Di Yaman, anak yang lahir dia akan tulis di dahinya tulisan ‘Allah’ atau ‘Subhanallah’ pakai celak supaya orang nak puji anak tu ingat Allah dulu,” tambah ustaz itu lagi.
Berbalik kepada konteks asal, ramai di kalangan masyarakat kini yang gemar memuat naik gambar di media sosial dan menganggap ia sebagai kenangan.
“Macam dulu-dulu kita ambil gambar, lepas tu kita cuci. Kita buat apa? Kita masuk dalam album kita simpan.
“Tengok (gambar) senyum seorang sahaja. Ada ke dulu cuci gambar lepas tu tampal dekat papan kenyataan masjid tu kasi semua orang tengok? Tak ada, sebab dulu kurang penyakit ain ni,” jelas penceramah berkenaan.
Terdahulu, pelakon tempatan Uqasha Senrose juga mengambil keputusan untuk lebih berhati-hati dengan penyakit ain kerana pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali.
Jelasnya, dia hanya berani membuka mulut tentang kehamilannya selepas kandungan betul-betul kuat.
Ramai Setuju Untuk Tak Kongsi Kebahagiaan Dengan Orang Ramai
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai bersetuju dengan pandangan diketengahkan oleh Ustaz Syamsul.
“Dah rasa trauma, walaupun orang yang paling rapat pun tak bahagia tengok kebahagiaan kita,” ujar seorang wanita.
Malah ada individu yang mengakui kadangkala dirinya berasa sedih melihat perkara yang dilimiki oleh orang lain.
“Betul tu ustaz. Kadangkala saya sedih melihat apa yang mereka ada. Sebab saya tak dapat seperti mereka,” kata seorang pengguna TikTok.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram