“Terdedah Konten Seksual” – Pakar Anggap Telefon Bukan Satu Keperluan Untuk Pelajar Sekolah
Menurut pakar motivasi dikenali sebagai Akhi Fairuz, penggunaan telefon pintar di kalangan murid sekolah akan membuatkan mereka leka dan mengabaikan pembelajaran.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Memang tidak dapat dinafikan teknologi masa kini dilihat lebih canggih dan mempunyai pelbagai kegunaan untuk masyarakat.
Gajet seperti telefon pintar bukan sahaja diguna pakai oleh orang dewasa bagi urusan kerja, malah anak kecil juga tidak terlepas daripada memilikinya.
Ramai juga di kalangan ibu bapa dilihat memberikan anak telefon bagi mengalihkan perhatian mereka khususnya di tempat awam. Namun adakah telefon ini betul-betul memberi kesan yang baik terhadap si kecil?
Ramai Murid Sekolah Rendah Guna Telefon Pintar
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@akhifairuz) apabila seorang pakar motivasi dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi berkongsi pandangannya tentang golongan anak yang memiliki telefon pintar.
Jelasnya, ia satu isu yang subjektif kerana ada sesetengah murid yang mendapat telefon sebagai hadiah daripada ibu bapa dan ada juga mengumpul duit sendiri untuk membeli gajet tersebut.
“Saya kalau pergi sekolah, saya tanya budak-budak ni ada telefon ke tak, ramai akan angkat tangan. Ada yang simpan duit sendiri, duit belanja, duit bersunat, duit raya sebab nak ada telefon. Tak nak rasa macam ketinggalan dengan kawan-kawan,” ulas Akhi Fairuz.
Adakah Telefon Satu Keperluan Untuk Anak?
Menurut Akhi Fairuz, telefon pintar tidak diperlukan buat para murid sekolah rendah. Walaupun ramai ibu bapa berkata gajet itu memudahkan urusan pelajaran, namun lelaki ini percaya murid akan menggunakannya bagi tujuan lain yang melalaikan.
“Bukan dia main game ke? Bukan dia tak habis-habis tengok TikTok ke? Bukan dia tak habis-habis ‘jedag jedug’ (menari) ke?
“Sebab tu kita kena faham kalau bukan keperluan tak payah, biar kawan-kawan dia berurusan dengan kita walaupun memanglah banyak kerja sikit tapi sekurang-kurangnya anak tak jadi pelik,” ujar penceramah itu.
Murid Terdedah Dengan Kandungan Seksual Di Media Sosial
Dalam masa yang sama, lelaki ini juga berpendapat penggunaan telefon bimbit yang kerap hanya membawa kesan negatif kepada murid sekolah.
Saya banyak jumpa budak yang ada telefon sendiri dan ada media sosial, entah trend yang bukan-bukan dia ikut. Menari, berjoget dan mudah terdorong kepada konten bersifat seksual. Kadangkala, konten LGBT dia rasa benda tu kelakar.
Akhi Fairuz.
Bukan itu sahaja, anak muda ini juga dikatakan belajar menggunakan perkataan aneh serta mencarut selepas terdedah dengan platform media sosial.
Baca Artikel Berkaitan: “Awasi Tontonan Anak-Anak” – Animasi Upin & Ipin Tiruan Ada Kandungan Tidak Senonoh Jadi Perhatian
Baca Artikel Berkaitan: Anak Bawah 13 Tahun Tak Dibenarkan Miliki Akaun Media Sosial – Fahmi Fadzil
Tak Wajar Beri Telefon Kerana Anak Tiada Masa
Mengulas lebih lanjut, sekiranya telefon bimbit tersebut tidak membawa sebarang keperluan mustahak, maka ibu bapa harus elak memberikan ia kepada anak.
“Anak kita ni sekolah rendah ada banyak subjek (pelajaran). Berbelas-belas subjek. Lepas tu sekolah agama lagi. Malam nak siapkan kerja sekolah, bila masa nak main telefon.
“Kalau kita kata nanti senang anak-anak nak berbual, nak bagi tahu mak bapak tentang balik sekolah bila, bukan boleh bawa telefon pergi sekolah pun?” tegasnya.
Akhi Fairuz juga menekankan segelintir murid ketagih dengan penggunaan telefon sehingga tidak tidur malam serta ada yang menghantar video lucah kepada rakan sebaya mereka.
Ia sekaligus mengganggu fokus anak sewaktu berada di sekolah.
Ibu Bapa Perlu Kawal Perkara Yang Dilayari Oleh Anak Di Internet
Sekiranya ibu bapa memilih untuk memberikan anak telefon ketika sudah masuk ke alam sekolah menengah, penjaga harus memastikan terdapat garis panduan yang mana boleh akses tentang perkara-perkara dilayari di internet.
“Kita anggap anak dah matang dan senang nak cari bahan pembelajaran padahal belajar sekejap je yang merepek tu banyak. Kita bukan nak prejudis dengan anak, tapi mereka ni perlu dibimbing ke arah penggunaan (telefon) dengan betul,” katanya lagi.
Pun begitu, Akhi Fairuz percaya ramai di kalangan ibu bapa kesuntukan masa dan tidak dapat memantau anak disebabkan sibuk bekerja.
Ramai Ibu Bapa Setuju Anak Tak Perlu Didedahkan Dengan Telefon
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai bersetuju dengan pandangan Akhi Fairuz.
“Anak-anak tak perlu beli telefon. Cukup je ada televisyen dekat rumah. Senang nak pantau,” kata seorang pengguna TikTok.
Malah ada juga yang berpendapat ibu bapa boleh memberi kebenaran kepada anak untuk menggunakan telefon pada hujung minggu sebagai ‘reward’.
“Bagi telefon sebagai reward tetapi pada hujung minggu sahaja dibenarkan. Anak nombor 2 beli telefon tapi jenis yang tak main. Bawa telefon pergi jalan-jalan, disimpan dalam kereta bukannya main,” kata seorang wanita.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram