Now Reading
Bos Paksa Staf Mohon Cuti Tahunan Atau Cuti Tanpa Gaji Gara-gara Pejabat Tak Operasi. Boleh Ke?

Bos Paksa Staf Mohon Cuti Tahunan Atau Cuti Tanpa Gaji Gara-gara Pejabat Tak Operasi. Boleh Ke?

Menurut lelaki dikenali sebagai Affy, terdapat sebuah syarikat meminta pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji selama 4 hari kerana pejabat tidak beroperasi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui cuti tahunan (annual leave/AL) merupakan kadar cuti yang diberikan oleh syarikat mengikut beberapa syarat.

Kebiasaannya, kakitangan akan mendapat 8 hari cuti daripada kalendar jika tempoh berkhidmat kurang daripada 2 tahun. Ada juga yang mendapat sehingga 18 hari dalam masa setahun.

Ramai di antara anda sanggup mengumpul AL yang banyak di penghujung tahun untuk melancong bersama keluarga. Namun dalam sesetengah kes, ada juga cuti tahunan pekerja yang telah disekat oleh majikan atas faktor tertentu.


Syarikat Paksa Pekerja Ambil Cuti Tahunan Atau Cuti Tanpa Gaji

Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@farid_affy) apabila seorang lelaki dikenali sebagai Farid Affy dari penyedia penyelesaian perekrutan Maukerja berkongsi beberapa info tentang cuti tahunan dan cuti tanpa gaji (unpaid leave).

Affy mendedahkan terdapat sebuah syarikat yang memaksa para pekerja untuk mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji dengan alasan pejabat tidak beroperasi buat sementara waktu.

Oleh disebabkan itu, pekerja harus memohon dan mengambil cuti selama 4 hari sehingga pejabat mereka dibuka semula.

“Sila plan cuti anda baik-baik dan bergembiralah bersama sanak saudara. Kalau ada soalan atau apa-apa jangan segan silu untuk roger jabatan HR,” kata syarikat berkenaan menerusi satu memorandum.


Majikan Tak Layak Tetapkan Tarikh Cuti Tahunan Diambil Oleh Staf

Walaupun pekerja boleh mengambil kesempatan ini untuk berehat, namun tindakan majikan tersebut adalah tidak wajar. Menurut Affy, bos tidak mempunyai hak bagi menentukan tarikh cuti diambil oleh setiap pekerja.

Meskipun kelulusan sesuatu cuti terletak di tangan majikan, tetapi mereka tidak memiliki kelayakan untuk mengarah pekerja seperti kes itu.

Sebaliknya, pendekatan lebih baik yang patut dilakukan oleh majikan adalah dengan meminta staf bekerja dari rumah (work from home) dan tidak membazirkan cuti yang dikumpul oleh pekerja.

“Saya yakin kita sebagai pekerja mesti dah ada rancangan nak buat apa dengan cuti kita tu, betul tak? Kalau ada di antara korang yang kena macam ni, jangan segan silu laporkan dekat pejabat buruh,” tambah Affy lagi.

@farid_affy

Salah ya kalau majikan suruh pekerja untuk apply AL atau UPL tanpa pilihan tarikh yang pekerja nak. Ingat ok #fyp #kerja #cuti #tipsfarid #faridaffy

♬ DOLA – ANGGA DERMAWAN

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini juga ada memaklumkan tentang perkara yang sama.

Majikan bakal berdepan tindakan di bawah Akta Pekerja 1955 jika didapati memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau memotong gaji kerana menghentikan operasi sementara (shutdown).


Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Tentang Paksaan Ambil Cuti Tahunan

Menjengah ke ruangan komen, ada individu yang berpendapat sukar untuk mengetengahkan isu ini kepada Jabatan Sumber Manusia.

“Biasanya kalau macam ni kita bantah bermakna kita declare perang dengan HR. Kita mungkin menang sekali tapi dia (majikan) mesti nak menang 10 kali. Jadi ramai yang diam dan layan dengan terpaksa,” ujar seorang individu.

Malah, ada juga berkongsi pengalaman mereka apabila dipaksa untuk mengambil cuti tahunan.

“Dulu kerja kilang kena paksa AL sebab tak ada barang tu benda biasa. Nak report pun tak ada hitam putih,” ujar seorang pengguna TikTok.

Ada juga yang bertanya apa bakal berlaku sekiranya pekerja menerima arahan diberikan oleh majikan untuk mengambil cuti tahunan.

Bagi pendapat Affy, ia tidak menjadi satu masalah kerana pekerja sukarela bersetuju dengan arahan yang ditetapkan.

Sumber: TikTok (@farid_affy)

Baca Artikel Berkaitan: Apa Perlu Buat Kalau Terima MC Ketika Sedang Cuti Tahunan?

Baca Artikel Berkaitan: Pekerja Ramai-ramai Pakat Berhenti Sebab Bos Tak Bagi Cuti

Baca Artikel Berkaitan: Individu Beli MC Palsu Dianggap Satu Kesalahan Rasuah – SPRM


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd