Tular Video Pandu Kereta Sambil Bawa Adik, Bapa Kanak-kanak 12 Tahun Sudah Beri Keterangan Kepada Polis
Remaja bawah umur itu dilihat memandu sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih di sekitar kawasan perumahan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof memberitahu bahawa bapa kepada kanak-kanak berusia 12 tahun yang tular memandu kereta di kawasan perumahan sudah hadir memberi keterangan sekitar jam 11:30 malam semalam (29 Julai).
Siasatan awal mendapati bahawa kanak-kanak itu mahu membawa dua orang adiknya berusia empat dan enam tahun bersiar-siar di kawasan perumahan mereka.
Memetik laporan BERNAMA, kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor pada Ahad lalu (28 Julai) kira-kira jam 8:00 malam.
Susulan itu, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kanak-kanak Bawah Umur Pandu Kereta Sambil Bawa 2 Orang Adik
Sebelum ini tular sebuah video dimuat naik semula di laman X (@update1111) yang menunjukkan aksi seorang wanita menahan sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih di sekitar kawasan perumahan.
Kereta tersebut dipercayai dipandu oleh seorang kanak-kanak Tingkatan Satu sambil membawa dua orang kanak-kanak yang berada di tempat duduk penumpang tanpa memakai tali pinggang keledar.
Sebelum kereta itu ditahan, Perodua Viva tersebut dilihat dipandu dalam keadaan laju ketika melalui bonggol di hadapan sebuah rumah.
Menurut wanita berkenaan, remaja tersebut didakwa sudah beberapa kali dilihat memandu kereta di kawasan terbabit dan mahu membuat laporan polis berhubung kes itu.
Ketika ditanya mengenai umurnya, kanak-kanak itu mendakwa dia sudah berusia 14 tahun.
Meskipun diberitahu mahu melaporkan perkara itu kepada pihak polis, namun remaja itu seolah-olah tidak takut, malah meminta wanita tersebut untuk berjumpa dengan ayahnya.
Case semalam. Budak pompuan 13 thn, pandu kereta laju dlm taman. Pddk nampak adik umur 3 tahun duduk depan bonet keta, kakak bawak keliling taman…. 😱😨😰 pic.twitter.com/7W3apzppuJ
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) July 29, 2024
Orang Ramai Risau Lihat Tindakan Remaja Pandu Kereta
Perkongsian video tersebut telah meraih pelbagai reaksi dari orang ramai dan rata-ratanya terkejut melihat apa yang berlaku terutamanya selepas mengetahui umur remaja berkenaan yang masih bawah umur.
Selain itu, masyarakat turut berpendapat bahawa ibu bapa kepada remaja itu perlu bertanggungjawab demi memastikan keselamatan anak mereka terjamin.

Baca Artikel Berkaitan: Ibu Bapa Serah Diri Ke Balai Polis Lepas Biarkan Anak 10 Tahun Pandu Kereta Ke Sekolah
Baca Artikel Berkaitan: “Nak Pi Kedai” – Kanak-Kanak 6 Tahun Di Langkawi Pandu Kereta Sebelum Terbabas Langgar Tiang [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak 11 Tahun Tular Bawa Kereta Di Jalan Raya Ditahan Polis
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.