[Video] UAI Perjelas Hukum Terlanggar Kucing Hingga Mati & Tidak Tanam Bangkai
Pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus berkata dosa atau tidak seseorang itu bergantung kepada niatnya, sengaja atau tidak sengaja melanggar kucing.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kadangkala apabila sedang memandu kenderaan, anda boleh lihat terdapat bangkai-bangkai haiwan bergelimpangan di atas jalan raya. Antara haiwan yang sering dilihat adalah kucing.
Walaupun sesetengah pemandu sudah cuba mengelak daripada haiwan yang melintas, namun kemalangan masih berlaku sehingga menyebabkan si bulus tercedera atau lebih parah terkorban.
Bangkai haiwan berkenaan pula selalunya dibiarkan sahaja atas jalan kerana pemandu yang melanggar berasa panik atau tidak tahu untuk berbuat apa.
Hukum Terlanggar Kucing Sampai Mati
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok menyaksikan pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) sedang menjawab soalan dalam satu sesi tazkirah.
Soalan itu berbunyi, “Apakah hukum tersalah langgar kucing mati dan tanpa kita kebumikan ia?”
Jelas UAI, hukumya adalah sama jika seseorang itu terlanggar individu lain. Jika perbuatan tersebut tidak disengajakan, maka ia dikira tidak berdosa.
“Kalau kita tersalah langgar orang, bukan sengaja maka tidak berdosa. Kita bawa kereta atau motosikal masuk dalam kampung, sampai nak konar (kendali stereng) tayar pecah.
“Kita pun terbabas langgar orang tengah makan cendol tepi jalan, patah kaki dia. Tak dosalah kita sebab tak sengaja. Walaupun bab diyat, kita wajib ganti rugi tapi masalah dosa atau tidak. Apatah lagi haiwan, tak berdosalah,” ujarnya.
Dikira Berdosa Jika Sengaja Langgar Haiwan Dihormati Syarak
Perbuatan tersebut dikira sebagai berdosa sekiranya seseorang individu sengaja melanggar haiwan yang dihormati syarak sebagai contoh katak.
“Yang haramnya (apabila) nampak katak tepi jalan kita jalan terus tak kena, kita konar kena (langgar). Hukumnya haram kerana katak haram dibunuh. Katak ni haiwan dihormati syarak.
“Apa makna dihormati? Jumpa katak kena beri salam? Bukan begitu ia haram dibunuh tanpa darurat. Jika darurat boleh bunuh,” tambah pendakwah itu lagi.
Perlu Ke Tanam Kucing Yang Sudah Dilanggar?
Berbalik kepada konteks asal iaitu tentang kucing yang dilanggar mati, UAI berkata si pelaku disunatkan untuk beristighfar dan minta keampunan daripada Allah SWT terhadap perbuatan yang tidak disengajakan itu.
Adakah bangkai kucing tersebut wajib ditanam? Jawapannya adalah tidak.
Hukum sebenar menanam kucing mati adalah sunat supaya bau bangkai tidak membawa kemudaratan kepada orang lain.
UAI juga menegaskan bahawa tiada ukuran tanah diperlukan untuk menanam kucing. Bukan itu sahaja, bacaan talkin kematian dan juga batu nisan juga tidak diperlukan.
“Dia sama macam kita potong rambut (dan) darah luka sunat kita tanam. Kita buka plaster luka nampak banyak darah. Sunat kita tanam kerana keluar dari badan. Tapi harus kita buang dalam tong sampah, sunat kita tanam,” kata UAI.
@kakris2.0 Perkongsian – HUKUM TERLANGGAR KUCING DAN MATI TETAPI TIDAK TANAM #ceramah #ustazazharidrus #semogabermanfaat #fyp #CapCut ♬ Instrument Sholawat Sedih – INDRAGE
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Racun Beruk Gara-gara Masuk Ke Dalam Rumah? Ini Penjelasan UAI
Baca Artikel Berkaitan: Solat Tak Sah Jika Pakaian Ada Bulu Kucing? Ini Penjelasannya
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram