[Video] Peniaga Di Korea Jual Lemang Instant, Masak 3 Minit & Boleh Terus Makan
Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat ‘lemang instant’ ini adalah santan, pulut dan garam.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap kali tiba musim perayaan di Malaysia, menu paling wajib kena ada atas meja adalah lemang. Kalau tak ada hidangan ini, mesti akan rasa seperti ada sesuatu yang tidak lengkap.
Zaman sekarang ini kalau korang tak nak bakar lemang sendiri, ada banyak peniaga yang menjualnya di tepi jalan. Nak pesan secara online dan datang untuk ‘pick up’ sahaja pun boleh.
Maklumlah, boleh tahan leceh juga nak bakar lemang sendiri. Kalau tersilap langkah, boleh jadi ia akan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.
‘Lemang Instant’ Dijual Di Korea Selatan
Berbicara tentang lemang, wujud satu perniagaan di Korea Selatan yang menjual ‘lemang instant’ di mana pembeli tidak perlu leceh menyediakan sukatan bahan untuk dimasukkan dalam buluh.
Tinggal buka bungkusan plastik dan bakar je atas api. Senang kan?
Keunikan ini terserlah menerusi video dimuat naik di laman TikTok (@camping formania) di mana ‘lemang instant’ tersebut diberikan nama ‘Bamboo Steamed Rice’ seperti yang tertera pada bungkusan paket.
Ketika bungkusan itu dibuka, terdapat dua batang buluh dalam setiap paket dan ia hanya perlu dimasak di atas api sebelum boleh dimakan.

Bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam buluh berkenaan adalah santan, pulut serta garam dan ia perlu dimasuk di atas api selama tiga hingga lima minit atau boleh juga dipanaskan dalam gelombang mikro selama tiga minit 30 saat.
Cara untuk membuka buluh itu pun sama seperti lemang yang biasa kita makan ketika hari raya.
Berdasarkan carian kami di sebuah laman web di Korea Selatan, harga jualan untuk dua batang ‘lemang instant’ ini adalah sekitar RM67.52 (₩19,800)
Orang Ramai Terpegun Tengok Produk ‘Lemang Instant’ Di Korea Selatan
Meskipun video tersebut ditulis dengan kapsyen berbahasa Korea, tetapi ramai rakyat Malaysia yang tertarik melihat produk jualan yang dipaparkan.
Mana tidaknya, menu tradisional di Malaysia kini sudah semakin dikenali di peringkat antarabangsa dengan cara yang lebih unik.
Malah, pengguna TikTok juga terkejut apabila mengetahui menu tersebut juga sudah mempunyai versi ‘instant’ yang lebih mudah untuk dimasak.
“Wow diorang punya lemang lagi advance dari kita,” ujar pengguna TikTok.
Namun, ada juga masyarakat yang berpendapat lemang tersebut tidak setanding dengan lemang yang biasa dimakan kerana hanya menggunakan beras pulut sahaja.
“Diorang cuma beras pulut je, lemang lagi special sebab ada daun pisang dan santan. Tapi ini pun idea yang bagi untuk jual lemang di pasar raya atau 7E,” kata pengguna media sosial.

Cara Untuk Buat Lemang Instant Guna Resepi Khairulaming
Kalau tiba-tiba korang terasa nak makan lemang ketika bukan di musim perayaan, boleh je kalau nak buat sendiri di rumah.
Boleh cuba ikut resepi dari Khairulaming ini.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Beras pulut
- Daun pisang
- Santan
- Air
- Garam

Cara-caranya adalah:
- Ambil satu mangkuk besar beras pulut yang telah dicuci dan rendam dalam air lebih kurang satu jam.
- Potong daun pisang dan pastikan ketinggian daun pisang itu sama dengan ketinggian cawan kertas.
- Gulung daun pisang tersebut dan masukkan ke dalam cawan kertas.
- Guna setengah kotak besar santan (atau tiga kotak kecil santan), setengah cawan air, dan setengah sudu garam.
- Tapis air dari beras yang direndam dan gaulkan dengan santan supaya lebih lembut.
- Masukkan ke dalam acuan dan pastikan acuan itu penuh dengan 2/3 beras pulut dan tambah satu lapisan santan di atasnya.
- Masa untuk kukus adalah sekitar 40 minit dan tekan menggunakan sudu untuk menjadikannya lebih mampat dan padat.
- Tutup pengukus dan sambung kukus lagi 20 minit.
- Apabila lemang dah sejuk, keluarkan cawan kertas dan sedia untuk dihidang.
Senang je kan? Selamat mencuba! 😊
Baca Artikel Berkaitan: Lebih 9K Retweets, Khairulaming Ajar Tips Mudah Buat Lemang Cara Instant. Ooh, Simple Je!
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tak Perlu Guna Parang, Pakcik Ini Kongsi Cara Mudah Keluarkan Lemang Dari Buluh. Boleh Cuba!
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.