Peniaga Dedah Ditipu Individu Pura-pura Tempah 500 Pek Makanan Untuk Acara Di Universiti Malaya
Sebut harga untuk tempahan 500 pek makanan di PichaEats juga telah dipersetujui dan ‘diperkukuhkan’ lagi dengan surat didakwa daripada pihak Universiti Malaya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kes scam semakin dibimbangi masyarakat kerana pelbagai taktik dan tipu daya yang cuba dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan dengan cara tidak sepatutnya.
Kecanggihan teknologi turut menjadi punca semakin banyak kes penipuan kerana wujudnya aplikasi yang membolehkan seseorang mengubah suai gambar, suara, tulisan dan sebagainya.
Lebih merisaukan lagi, ia boleh membuatkan mangsa mudah terpedaya dan terpaksa menanggung kerugian yang banyak.
Peniaga Dakwa Ditipu, Ada Individu Tempah 500 Pek Makanan Kononnya Untuk Acara Universiti
Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook, sebuah perniagaan dikenali sebagai PichaEats mendedahkan bahawa perniagaan telah ditipu oleh seorang individu yang mendakwa dirinya bekerja di Universiti Malaya.
Pelaku dipercayai telah menempah 500 pek makanan untuk satu acara yang dikatakan akan berlangsung pada hari ini (7 Jun).
Pada Rabu lalu, kami terima tempahan last minute dari ‘Universiti Malaya’ untuk 500 pek makanan bagi menyediakan hidangan untuk acara pada hari Jumaat (hari ini, 7 Jun) kerana syarikat yang sepatutnya menguruskannya telah menarik diri pada saat akhir.
PichaEats.
Dakwa PichaEats lagi, sebut harga untuk tempahan tersebut juga telah dipersetujui dan ‘diperkukuhkan’ lagi dengan surat ditandatangani oleh pihak Universiti Malaya.
Kami juga sudah tandatangan segala dokumen dan bersetuju untuk menyiapkan segala tempahan. Nak dipendekkan cerita, kami kena tipu. Sebenarnya tak ada pun acara atau tempahan dan dokumen tersebut adalah palsu.
PichaEats.
Kes ini secara tidak langsung memberi kesan kepada 15 tukang masak kerana mereka telah mengeluarkan kos untuk membeli bahan-bahan bagi untuk ‘acara’ tersebut.
Nasib yang menimpa PichaEats turut dialami oleh satu lagi syarikat sehingga menyebabkan syarikat terbabit mengalami kerugian.
Laporan Polis Telah Dibuat Oleh PichaEats
Susulan kes yang berlaku, PichaEats telah membuat laporan polis kerana bimbang wujud pihak lain yang turut menjadi mangsa penipuan tersebut.
Mereka juga memaklumkan perkara ini kepada pihak Universiti Malaya kerana pelaku telah menggunakan nama universiti berkenaan untuk tujuan penipuan.
PichaEats turut menasihati orang ramai agar menyemak nombor telefon 0163271408 di laman web semakmule bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sepertinya.

Netizen Bantu Beli Untuk Habiskan 500 Pek Makanan
Bagi mengelakkan pembaziran, PichaEats telah mempromosikan 500 pek makanan itu di laman Facebook mereka bagi mana-mana pihak pada hari ini (7 Jun) untuk makan tengah hari, minum petang atau makana malam.
Kalau anda perlu makanan hari ini (makan tengah hari, minum petang, makan malam) untuk keluarga, di pejabat atau mahu memberi sedekah, kami boleh bantu hulurkan hidangan ini kepada masyarakat yang memerlukan.
PichaEats.
Tanpa disangka-sangka, ramai netizen tampil memberikan sokongan dengan membuat pembelian makanan tidak terjual itu sehingga menyebabkan ruangan mesej mereka dibanjiri dengan pengguna media sosial.
PichaEats Berterima Kasih Kepada Netizen, Makanan Habis Terjual
Tindakan murni netizen menyebabkan makanan yang sebelum ini sudah siap disediakan habis dijual.
Selepas melihat dorongan positif yang diberikan, PichaEats mengucapkan terima kasih atas sokongan daripada netizen dan akan menghargai setiap pertolongan yang diberikan.
Terima kasih sangat-sangat atas sokongan ini. Terima kasih juga kerana menyebarkan tentang kes ini dan terima kasih juga membawa kepada perubahan. Disebabkan anda, 15 orang chef di PichaEats tidak perlu menanggung kerugian.
PichaEats.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.