Tidak Dapat Dijejaki Sejak 1988, Ibu Masih Menanti Kepulangan Anak Yang Hilang Lepas Tamat Belajar Di US
Menurut adik kepada Abdul Khalid iaitu Rohani, 57, mereka sekeluarga masih berusaha mencari abang sulungnya yang sudah 36 tahun tiada khabar berita selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat pada 1988.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
“Abang long, pulanglah. Mak rindu”.
Itulah kata-kata dari seorang ibu yang tidak dapat menahan rasa rindu terhadap anak sulungnya yang tidak pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian di luar negara.
Memetik laporan Harian Metro, ibu kepada individu terbabit yang dikenali sebagai Jas berusia 77 tahun menceritakan anaknya telah ‘hilang’ sejak 36 tahun lalu selepas menamatkan pengajian di Universiti of Southwestern Louisiana, Amerika Syarikat.
Abdul Khalid Kali Terakhir Pulang Ke Malaysia Pada Tahun 1988
Anak sulung bernama Abdul Khalid Deman yang kini berusia 58 tahun telah melanjutkan pengajian di peringkat universiti pada tahun 1985 ketika berumur 19 tahun dan pernah dua kali pulang ke Malaysia iaitu pada 1986 serta 1988 sebelum hilang tanpa jejak.
“Kali terakhir kami berjumpa pada 1988 dan ketika itu, abang long ada beritahu dia akan pulang pada 1989,” kata Jas.
Wanita ini juga menyifatkan Abdul Khalid sebagai seorang anak yang baik kepadanya.
Malah ketika kali terakhir mereka berjumpa pada 1988, anaknya kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
“Abang long seorang anak yang baik, berhati lembut dan tidak banyak bercakap. Ketika kali terakhir berjumpa, dia seperti biasa, tiada berbeza, tetapi apa pun yang berlaku saya harap anak dapat pulang,” katanya.
Jas serta arwah suaminya yang sudah meninggal pada 21 tahun lalu juga reda dan tidak marah sekiranya anak mereka itu mengambil keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia selepas habis pengajian.
Saya reda dengan apa yang berlaku, tetapi memang sangat berharap dapat berjumpa kembali anak sulung yang dirindui. Kami tidak kisah apa yang berlaku sebelum ini (tidak pulang), mak dan adik-adik tak marah, malah arwah ayah juga tak marah. Sebelum mak tutup mata, harap dapat jumpa abang long.
Jas.
Pihak Keluarga Cuba Sedaya Upaya Mencari Abdul Khalid
Menurut adik kepada Abdul Khalid iaitu Rohani, 57, mereka sekeluarga berusaha mencari abang sulungnya itu yang ditaja oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk belajar di luar negara.
Jelasnya, pihak MARA juga membuat hebahan mengenai penuntut yang tidak dapat dikesan di televisyen, tetapi tidak membawa sebarang petunjuk.
Mereka turut membuat pemeriksaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mendapati kali terakhir abangnya pulang ke Malaysia adalah pada tahun yang sama yakni 36 tahun yang lalu.
Kami buntu nak cari abang long, nak pergi ke Amerika Syarikat belanjanya besar dan kami tak tahu lokasinya. Kami memang rindukan abang long terutama mak yang berharap dapat bertemu dengannya.
Rohani Deman.
Meskipun abangnya tidak pulang ke tanah air, namun mereka tetap melunaskan pembayaran pinjaman pendidikan milik Abdul Khalid yang kini sudah selesai dibayar pada tahun lalu.
Adik Berharap Abangnya Dapat Dijumpai Semula
Walaupun sudah 36 tahun, namun Rohani sekeluarga tidak putus harapan untuk mencari abang sulungnya itu.
Kisah ini turut dikongsikan oleh anak saudaranya di laman TikTok (@rozmalmalakan) sebelum menjadi tular dan mendapat perhatian ramai.
Namun sehingga kini, masih tiada khabar berita yang diterima tentang Abdul Khalid.
Rohani berharap agar dia dan sekeluarga dapat bertemu semula dengan abangnya itu jika dia masih hidup.
Kami sangat berharap dapat khabar berita abang long dan kembali bertemu dengannya jika dia masih ada di dunia ini. Itu doa kami setiap hari.
Rohani Deman.
Sekiranya anda mempunyai sebarang maklumat berhubung Abdul Khalid, boleh menyalurkan info kepada Rohani di talian 019-6862407.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.