Now Reading
Produk Shein Dikesan Ada Bahan Toksik Tinggi, Apa Kesannya Pada Tubuh Badan?

Produk Shein Dikesan Ada Bahan Toksik Tinggi, Apa Kesannya Pada Tubuh Badan?

Pihak berkuasa Korea Selatan menjalankan pemeriksaan mingguan ke atas produk dari tapak e-dagang seperti Shein dan menemui bahan kimia toksik yang tinggi pada pakaian kanak-kanak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kepada mereka yang selalu membeli barangan dari platform Shein, ada perkara penting yang perlu diambil perhatian.

Baru-baru ini, pegawai kerajaan Korea Selatan dilaporkan telah mengesan bahan kimia toksik tahap tinggi dalam beberapa kasut dan aksesori kanak-kanak yang dijual oleh platform e-dagang dari China iaitu Shein.

Shein yang berpangkalan di Singapura kini mengalami perkembangan yang cukup pesat seperti mana platform lain dari China seperti AliExpres dan Temu kerana menawarkan harga yang rendah.

Pertumbuhan yang berlaku secara mendadak ini menarik perhatian pihak berkuasa di Korea Selatan dan Kesatuan Eropah bagi melihat dengan lebih dekat tentang amalan perniagaan serta standard keselamatan mereka.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Fail TRP)

Pihak berkuasa Seoul menjalankan pemeriksaan mingguan bagi barangan yang dijual di platform seperti Shein, Temu dan AliExpress dan menyaksikan keputusan yang agak membimbangkan.

Ini kerana barangan yang dijual di Shein terutamanya kasut kanak-kanak, beg kulit dan tali pinggang didapati mengandungi jumlah phthalates yang tinggi.

Apa itu phthalates? Phthalates adalah sebatian kimia yang digunakan untuk menjadikan plastik lebih tahan lama dan fleksibel. Phthalates ialah pemplastik yang digunakan dengan getah untuk mencetak imej pada pakaian dan kasut.

Dalam ujian yang dijalankan oleh pihak berkuasa, sepasang kasut mengandungi 428 kali ganda paras phthalates daripada jumlah yang dibenarkan.

Ia adalah kandungan yang tertinggi dijumpai oleh pihak berkuasa setakat ini.

Dalam perbandingan yang lain, tiga buah beg pula mempunyai jumlah setinggi 153 kali had phthalates daripada had ditetapkan.

Sumber: Giphy

Phthalates berisiko menyebabkan gangguan hormon dan boleh dikaitkan dengan masalah obesiti, penyakit jantung, kanser dan masalah kesuburan.

Lebih membimbangkan lagi apabila phthalates juga terkandung dalam kosmetik, syampu, sabun, bekas dan permainan yan digunakan dalam kehidupan seharian.

Pemeriksaan juga mendapati tali pinggang kulit yang dijual mempunyai jumlah plumbum yang tinggi iaitu sebanyak 1.78 kali lebih banyak daripada yang dibenarkan oleh peraturan Korea.

Pada awal April tahun ini, pihak berkuasa Seoul turut menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas 93 produk dari tapak seperti Temu serta AliExpress dan mendapati 43% mengandungi daripadanya mempunyai bahan kimia berbahaya.


Produk Tersebut Telah Dikeluarkan Dari Senarai Jualan

Pihak berkuasa Seoul telah meminta platform tersebut untuk mengeluarkan produk ini daripada senarai jualan dan kebanyakan syarikat terlibat mematuhi arahan yang diberikan.

Jurucakap Shein memberitahu AFP bahawa produk yang dianggap bahaya itu telah dialih keluar dari platform mereka sementara menunggu siasatan dan menegaskan bahawa mereka mengambil serius berkaitan keselamatan produk.


Apa Kesannya Terhadap Tubuh Badan Kita?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, phthalates terkandung dalam produk plastik dan boleh memasuki tubuh badan dalam bentuk mikroplastik melalui makanan dan udara.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, macam mana ia boleh berlaku?

Mikroplastik pada asasnya adalah produk plastik bersaiz besar yang dipecahkan menjadi bentuk lebih kecil. Oleh kerana plastik sukar untuk dikitar semula, maka mikroplastik akhirnya dibuang di lautan, udara dan tanah.

Menurut Open University, mikroplastik boleh masuk ke dalam tanah melalui pelbagai cara seperti pengairan menerusi air tercemar dan penguraian dalam pertanian.

Mikroplastik kemudiannya diserap oleh akar tumbuhan, organisma tanah, dan ekosistem yang lebih luas.

Ia juga bermakna makanan yang dimakan dalam kehidupan seharian seperti ayam, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran juga berkemungkinan tercemar dengan mikroplastik.

Lebih membahayakan lagi, saluran pernafasan kita turut terdedah dengan mikroplastik kerana adanya bahan plastik ini yang terapung di udara.

Sumber: Giphy

Persekitaran Yang Penuh Dengan Plastik

Penyelidik turut menjumpai mikroplastik dalam tisu buah pinggang, hati, otak dan darah manusia.

Cornell Chronicle berkata negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina mendahului senarai kapita global pengambilan mikroplastik dalam pemakanan.

Sementara itu, kajian baharu oleh penyelidik Cornell pula mendedahkan rakyat di negara China, Mongolia dan United Kingdom mendahului senarai negara yang paling banyak menghirup mikroplastik dalam udara.

Jadi, apa yang Malaysia boleh lakukan dengan semua plastik di sekeliling kita?

Pada 2020, bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin mengarahkan agar sisa plastik yang diimport secara haram dikembalikan ke negara asal.

Malay Mail melaporkan bahawa pengeksport terbesar sisa plastik haram ke Malaysia bukanlah Itali tetapi United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat dan Jepun.

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia’s Green Queen: How Did Yeo Bee Yin Do?

Kajian yang dijalankan oleh Visual Capitalist pada 2023 meletakkan Malaysia sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada pencemaran plastik di lautan, dengan 73,098 tan metrik selepas Filipina dan India. (Sumber: Capitalist)

Boleh Ke Nak Elakkan Mikroplastik Dan Bahan Kimia?

Satu-satunya cara untuk menyingkirkan sepenuhnya mikroplastik dan bahan kimia toksik lain dalam kehidupan kita adalah dengan memerlukan campur tangan kerjasama global.

Jadi, apa yang boleh kita lakukan pada masa ini adalah dengan mengurangkan sentuhan dengan bahan berbahaya sebanyak mungkin.

Beberapa cadangan daripada pakar termasuklah:

  • Sentiasa basuh pakaian baru sebelum memakainya untuk menyingkirkan lapisan kimia toksik.
  • Elakkan dari membeli daripada jenama yang tidak telus tentang proses pembuatannya.
  • Elakkan dari membeli pakaian atau barang yang dilabel sebagai tahan kotoran, air atau bau.
  • Berhati-hati dengan cara kita membuang produk plastik terpakai supaya ia tidak masuk ke dalam persekitaran.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd