[Video] Ini Cara Jawab Salam Yang Sebetulnya, Ramai Tak Tahu!
Jelas Lokmanul Hakim, ramai yang sebelum ini menjawab kiriman salam dengan menyebut ‘Waalaikumussalam’ dan ia adalah cara yang salah untuk menjawab kiriman berkenaan.
Perkara seperti mengirim salam kepada seseorang merupakan suatu hal yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di negara ini.
Apabila menerima kiriman salam itu kebiasaannya orang ramai hanya akan menjawabnya semula dengan Waalaikumussalam.
Lelaki kongsi cara jawab kiriman salam
Namun baru-baru ini Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam, Lokmanul Hakim Hussain telah berkongsi bagaimanakah cara yang betul untuk menjawab kiriman salam berkenaan di TikTok rasminya.
Menerusi video yang dikongsikan umum mengetahui sekiranya ada yang mengirim salam adalah wajib ke atas seseorang untuk membalas atau menjawabnya.
Namun ramai yang tidak tahu sebenarnya terdapat cara yang betul untuk menjawab salam tersebut.
“Ramai di kalangan kita bila nak jawab salam dia akan menyebut ‘Waalaikumussalam’ ini cara yang salah.
“Kerana ‘Waalaikumussalam’ ini maknanya ktia bagi salam kepada kamu, iaitu kepada orang yang menyampaikan salam.
“Bukan kita jawab salam orang yang mengirim salam,” katanya dalam video tersebut.
Ada dua cara untuk jawab kiriman salam
Menurut Lokman terdapat dua cara yang betul untuk menjawab kiriman salam.
Pertama cara yang paling minimal untuk melepaskan kewajipan adalah dengan menyebut Waalaihissalam (jika lelaki yang mengirim salam) atau Waalaihassalam (wanita yang kirim salam).
Ini bermaksud, kita menyampaikan salam kepada individu berkenaan sama ada lelaki mahupun perempuan.
Terdapat hadis Nabi SAW tentang jawab kiriman salam
Menurut Lokmanul berdasarkan kepada hadis Nabi SAW, baginda berkata kepada Aisyah R.A bahawa Jibril A.S kirim salam kepada kamu, wahai Aisyah.
Lalu Aisyah menjawab salam tersebut dengan ‘Walaaihisalam Warahmatullah Wabarakatuh’ ke atas Jibril yang bermaksud ‘Salam, rahmat Allah dan berkat daripada Allah SWT.’ Maka kata Lokmanul itu adalah cara minimal untuk menjawab kiriman salam.
“Cara kedua adalah kita menyebut salam ke atas orang yang menyampaikan salam dan juga ke atas orang yang mengirimkan salam. Maknanya kita bagi salam kepada orang yang menyampai dan kepada orang yang mengirimkan salam.
“Kalau yang menyampaikan salam itu lelaki dan yang mengirimkan salam itu lelaki maka kita menyebut ‘Waalaika Waalahissalam’. Kalau penyampai itu lelaki dan pengirim adalah perempuan maka kita menyebut ‘Waalaika Waalaihassalam’.
“Manakala jika penyampai itu perempuan dan pengirim adalah lelaki, kita menyebut ‘Waalaiki Waalaihissalam’. Namun jika yang menyampai itu perempuan dan pengirim juga adalah wanita maka kita menyebut ‘Waalaiki Waalaihassalam’,” jelasnya.
Jelasnya berdasarkan hadis Nabi SAW datang kepada Rasulullah dan menyampaikan salam ayahnya kepada baginda. Lalu Nabi SAW menjawab salam tersebut yang bermaksud ‘ke atasmu dan ke atas ayah kamu ucapan salam’.
Rupanya ramai yang baru tahu cara jawab salam
Melihat di ruangan komen, ada juga memberitahu mereka baru mengetahui itu adalah cara yang betul untuk menjawab kiriman salam.
Malah ada juga yang berterima kasih atas perkongsian ilmu tersebut serta memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh orang ramai.