Tular Sejadah Solat Jemaah Dengan Corak ‘Love’ Di Tengah, Ini Komen Dari Ustaz Wadi Annuar
Ustaz Wadi Annuar menjelaskan bahawa kedudukan makmum perempuan perlu berada di belakang imam dan bukannya secara bersebelahan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Solat secara berjemaah adalah salah satu perkara yang digalakkan dalam agama Islam lebih-lebih melibatkan pasangan suami isteri kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.
Bagi kedudukan untuk solat berjemaah, ia adalah berbeza mengikut jantina dan hukumnya boleh berubah sekiranya posisi seperti yang ditetapkan tidak diikuti dengan betul.
Sejadah Solat Jemaah Dengan Corak Berbentuk ‘Love’ Undang Perdebatan
Baru-baru ini, sepasang sejadah berwarna putih dan merah yang dikatakan dijual di pasaran telah tular di media sosial selepas dimuat naik di laman X (Twitter @Eqramm) dan mendapat banyak perhatian dalam kalangan masyarakat.
Selain warnanya yang romantik untuk pasangan suami isteri, sejadah tersebut juga mempunyai bentuk ‘love’ jika diletakkan secara bersebelahan.
Walau bagaimanapun, kedudukan sejadah secara bersebelahan itu mengundang perdebatan orang ramai selepas posisi untuk solat berjemaah bagi lelaki dan wanita adalah sebaliknya dan bukan secara bersebelahan.
Meskipun susunan sejadah itu yang tidak tepat untuk lelaki dan wanita melakukan solat jemaah bersama-sama, ada juga netizen yang menjelaskan bahawa posisi secara bersebelahan itu hanya tepat jika imam dan makmum adalah berjantina sama.
Dalam pada itu, segelintir netizen pula berkata sepasang sejadah itu mungkin boleh digunakan untuk menguatkan silaturahim antara ibu dan anak perempuan atau ayah serta anak lelaki mereka.

Ini Pula Komen Dari Ustaz Wadi Annuar
Perkongsian tentang sepasang sejadah dengan corak berbentuk ‘love’ di bahagian tengah itu juga telah meraih perhatian dari pendakwah bebas di Malaysia iaitu Ustaz Wadi Annuar.
Menerusi ciapan dimuat naik di laman X (Twitter @ustazwadiannuar), pendakwah ini memberi penjelasan bahawa kedudukan makmum perempuan perlu berada di belakang imam dan bukannya secara bersebelahan.
Hukum makmum perempuan berada di sebelah kiri atau kanan imam adalah makruh serta boleh mengurangkan pahala bersolat jemaah.
Bahkan, ada sebahagian ulama mengatakan bahawa hilang fadilat pahala solat jemaah itu sendiri meskipun solatnya sah.
Ustaz Wadi Annuar.
Kedudukan makmum perempuan adalah dibelakang imam bukan disebelah imam. Hukum makmum perempuan berada disebelah kiri atau kanan imam adalah makruh.
— Ustaz Wadi Annuar (@ustazwadiannuar) February 5, 2024
Dan makruh dalam perkara berkaitan solat jemaah mengurangkan pahala jemaah, bahkan ada sebahagian ulama mengatakan bahawa hilang… https://t.co/qTTFu4tBcM
Kelebihan Melakukan Solat Secara Jemaah Dalam Islam
Solat jemaah dari segi syarak bermaksud menyambungkan solat yang dilakukan dengan mengikut perbuatan imam dan ia merupakan salah satu syiar Islam sebagai cara untuk memupuk perasaan kasih sayang sesama Muslim.
Memetik sumber Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, solat berjemaah adalah sunat muakkad dan Allah SWT akan mengurniakan pahala sebanyak 27 kali ganda berbanding melakukan solat secara bersendirian.
Perkara ini selari dengan hadis daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat. [Riwayat Muslim (1509)]

Di dalam riwayat lain pula menyatakan :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian. [Riwayat Muslim (1504)]
Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/183)
Panduan Untuk Kedudukan Solat Jemaah Dalam Islam
Solat secara berjemaah ini perlu mematuhi susunan saf mengikut keutamaan seperti berikut:
- Imam.
- Makmum Lelaki Dewasa.
- Kanak-kanak Lelaki.
- Perempuan Dewasa.
- Kanak-kanak Perempuan.
Untuk mengetahui kedudukan solat secara berjemaah, boleh lihat gambar rajah di bawah.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Masjid Ditenggelami Air, Jemaah Di Indonesia Tetap Tenang Tunai Solat Jumaat Atas Bot
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Alif Satar Kongsi Tips ‘5 Second Rule’ Agar Mudah Bangun Awal Untuk Solat Subuh
Baca Artikel Berkaitan: Teguran Si Isteri Berjaya Buat Lelaki Ini Istiqamah Solat Subuh Berjemaah Di Masjid Selama 2 Tahun
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



