Now Reading
Graduan UniSZA Terima Ijazah PhD Seorang Diri, Ahli Keluarga Lain Di Gaza

Graduan UniSZA Terima Ijazah PhD Seorang Diri, Ahli Keluarga Lain Di Gaza

Dr Hanan Kamel meluahkan rasa sedih apabilla terpaksa menghadiri majlis konvokesyen UniSZA Ke-15 berseorangan kerana ahli keluarga yang lain kini menghadapi peperangan di Gaza.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (5 November), seorang graduan Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Palestin, Dr Hanan Kamel Mohammed Saad, 51 meluahkan rasa sedih apabila terpaksa menghadiri majlis konvokesyen berseorangan tanpa ahli keluarga di sisi.

Menurutnya, ahli keluarga lain yang kini berada di Gaza sedang menghadapi peperangan melawan pihak musuh.

Untuk makluman semua, Hanan Kamel adalah antara 3,608 graduan UniSZA yang menerima ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana, sarjana muda dan diploma pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA, Terengganu.


Hanya Boleh Hantar Mesej Ringkas Kepada Keluarga, Akses Internet Terhad

Apabila menceritakan nasib keluarga tercinta yang sedang berada di Palestin, Hanan Kamel berkata kali terakhir dia dapat berhubung dengan mereka adalah pada Sabtu (4 November) menerusi platform media sosial.

“Keluarga sempat mengucapkan tahniah kepada saya semalam, namun sedih apabila mereka tidak dapat meraikan kejayaan yang diraih bersama-sama hari ini.

“Tetapi, saya akui perasaan gembira bercampur sedih mengenangkan nasib keluarga di Gaza dan saya mengharapkan mereka diberi perlindungan Allah,” ujarnya.

Tambah Hanan, dia hanya boleh membalas mesej ringkas sahaja bersama keluarganya kerana talian internet yang lemah serta sering kali terputus di Gaza.

Sumber: Facebook (Universiti Sultan Abidin)

Tiada Tempat Selamat Di Gaza Kerana Serangan Bom Tak Berkesudahan Oleh Israel

Jelas Hanan, serangan tidak berkesudahan daripada rejim Zionis menyebabkan situasi di Gaza kelihatan sangat buruk sehingga tiada tempat untuk penduduk menjadikan tempat tinggal.

“Ramai penduduk di sana bukan saja kehilangan ahli keluarga, malah juga hilang tempat tinggal akibat tindakan Israel yang mengebom Gaza.

“Bagaimanapun, saya bersyukur buat masa sekarang ahli keluarga saya berada di tempat yang selamat dan berharap mereka terus bertahan,” kata Hanan.

Graduan yang sedang mencari pekerjaan di Malaysia itu berkata bahawa dia hanya mampu menitipkan doa agar keadaan di tanah air bakal beransur pulih serta diberikan kebebasan.

Sumber: Facebook (Universiti Sultan Abidin)

Graduan PhD Dari Palestin Tidak Dapat Hadir Ke Majlis Konvokesyen UniSZA

Selanjutnya, seorang lagi graduan PhD Fakulti Informatik & Komputeran, Saber T R Syouri, 50 dilaporkan tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis graduasi berkenaan.

Saber berkata, situasi genting yang berlaku di Palestin menghalangnya untuk datang ke Malaysia bagi menerima skrol PhD miliknya.

“Saya minta maaf, betul-betul minta maaf. Saya tidak dapat berada di sana (UniSZA) pada hari istimewa ini untuk bergraduasi.

“Ini kerana situasi di sini berbahaya dan rumit. Mohon berdoalah dan doakan Palestin serta umat Islam,” kata Saber menerusi tayangan video ketika majlis konvokesyen.

Memetik laporan Astro Awani, Saber difahamkan sedang berlindung di Tebing Barat dan beliau telah kehilangan beberapa ahli keluarga termasuklah anak perempuan serta anak lelaki dalam serangan di Gaza baru-baru ini.

Sumber: Facebook (Universiti Sultan Abidin)

Nyawa Terkorban Di Gaza Semakin Meningkat

Terdahulu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan tiada sebarang gencatan senjata bakal diadakan dalam peperangan ke atas Palestin.

Kenyataan tersebut telah dikeluarkan walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa bantuan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan manusia.

Jelas Netanyahu, dia menyifatkan gencatan senjata adalah seperti menyerah kepada pejuang Hamas.

Susulan serangan yang semakin mengganas, angka nyawa terkorban dilaporkan meningkat pada hari ini (6 November) iaitu sejumlah 9,500.

Menurut sumber Astro Awani, pejabat media kerajaan di Gaza memaklumkan lebih separuh daripada jumlah mangsa terkorban berikut merupakan para wanita dan kanak-kanak.

Baca Artikel Berkaitan: Ibu Bapa Wakilkan Arwah Anak Ambil Skrol Ijazah Di UMPSA

Baca Artikel Berkaitan: “Syahid Sekeluarga” – 2 Siswazah USIM Terkorban Dalam Serangan Bom Di Gaza

Baca Artikel Berkaitan: “Syahid Balik Menuntut Ilmu” – Pelajar Palestin Nak Pulang Ke Malaysia Ditembak Israel


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd