Now Reading
Digelar Zionis Oleh Penganjur, Pemegang Sepanduk ‘War Criminal’ Di Himpunan Solidariti Palestin Luah Rasa Kecewa

Digelar Zionis Oleh Penganjur, Pemegang Sepanduk ‘War Criminal’ Di Himpunan Solidariti Palestin Luah Rasa Kecewa

Menurut pengguna Facebook itu, sepanduk ‘War Criminal’ dengan gambar Benjamin Netanyahu yang dibawa olehnya di perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ anjuran Viva Palestina Malaysia (VPM) tidak bermotifkan politik.

perhimpunan aman palestin viva palestina (1)

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (22 Oktober), Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dibanjiri dengan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa demi menunjukkan solidariti mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Ribuan peserta yang hadir ke perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ anjuran Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE dilihat mengenakan pakaian mengikut motif warna bendera Palestin dan membawa sepanduk yang mengutuk kekejaman Israel serta memberi sokongan kepada Palestin.


Perhimpunan Aman ‘Freedom for Palestine’ Cetus Kontroversi

Walau bagaimanapun, perhimpunan aman tersebut telah menimbulkan kontroversi apabila pihak penganjur dikatakan tidak membenarkan peserta untuk melaungkan ‘Allahuakbar’ bagi mengelakkan peserta bukan beragama Islam berasa tidak selesa.

Bukan itu sahaja, Pengerusi VPM iaitu Datuk Dr Musa Nordin juga mengecam tindakan individu yang membawa sepanduk bertulis ‘War Criminal’ yang terpampang gambar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dengan menggelarkan mereka sebagai Rejim Zionis.

Tindakan itu membuatkan ramai peserta tidak berpuas hati dan menyelar perbuatan Dr Musa berkenaan yang dikatakan tidak seiring dengan sokongan terhadap Palestin.

Sumber: Instagram @azfarheri

Pemilik Sepanduk ‘War Criminal Netanyahu’ Luah Rasa Kecewa Dengan Tindakan Dr Musa

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook oleh individu yang memegang sepanduk ‘War Criminal Netanyahu’ iaitu Syed Muhammad Shafiq Al-Husaini, lelaki berkenaan telah tampil meluahkan perasaannya kepada pihak penganjur.

Dia telah mengambil keputusan untuk terus pulang dan tidak menyertai perhimpunan aman anjuran VPM selepas digelar Zionis serta dikatakan menghalang kebebasan bersuara milik peserta.

Jelasnya lagi, sepanduk yang dibawa itu tidak bersifat politik dan hanya menyatakan kebenaran yang berlaku.

Orang yang memberi arahan itu (Dr Musa) adalah yang terpaling Palestin di Dataran Merdeka pada saat itu. Plakad tersebut menyatakan sesuatu yang benar. Netanyahu adalah penjenayah perang. Kenapa kita nak jaga sangat hati Amerika dan Israel?

Syed Muhammad Shafiq Al-Husaini.

Berkaitan laungan Allahuakbar pula, lelaki ini juga berpendapat masyarakat beragama Islam sepatutnya mendidik golongan Non-Muslim bahawa slogan takbir berkenaan tidak bersifat ganas sebaliknya ia menyatukan orang ramai.

Penganjur cuba membawa perspektif ‘ humanitarian’ yang melampau sehingga merendah-rendahkan sisi agama dan tanah suci umat Islam dalam perjuangan Palestin. Betapa kurang ajarnya MC mereka dan betapa lemahnya ‘vibe’ serta suasana perhimpunan.

Syed Muhammad Shafiq Al-Husaini.

Jelasnya, perhimpunan aman Palestin yang disertainya itu seolah-olah telah memalukan negara Malaysia.


Ini Pula Penjelasan Dari Pihak Penganjur Viva Palestina Malaysia (VPM)

Sedar dengan kontroversi yang berlaku, pihak penganjur perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ tampil memberikan penjelasan kepada orang ramai.

Memetik sumber laporan Scoop, Dr Musa menganggap sepanduk ‘War Criminal’ dengan gambar Netanyahu itu boleh mencetuskan provokasi serta tidak menggambarkan adab dalam VPM yang mempertahankan etika meskipun dalam keadaan beremosi.

Malah, Dr Musa turut menafikan tindakan beliau yang melabel individu berkenaan sebagai Zionis.

Sumber: Scoop

Saya tidak kata dia zionis. Saya kata kita tidak sepatutnya ke tahap zionis. Kita adalah ahli syurga, kita adalah orang Islam (dengan) adab yang tinggi yang diajar oleh Rasul. Nabi ditindas, namun baginda mengekalkan bahasa, sikap dan kesopanan.

Pengerusi Viva Palestina Malaysia, Datuk Dr Musa Mohd Nordin.

Dalam pada itu, beliau juga menafikan larangannya yang tidak membenarkan laungan takbir Allahuakbar tetapi lebih kepada menghormati kumpulan agama lain yang turut menyertai perhimpunan tersebut.

Kami mahu semua orang terlibat, jika anda melaungkan takbir, maka anda mengasingkan masyarakat bukan Islam dalam khalayak ramai itu. Saya tidak menyebut tentang menghentikan laungan takbir, ia (perhimpunan) sangat jelas dari awal. Mereka fikir mereka boleh ‘melaungkan keislaman’ mereka, tapi VPM menghormati kumpulan agama lain.

Pengerusi Viva Palestina Malaysia, Datuk Dr Musa Mohd Nordin.

Perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ yang dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE itu turut disertai oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar, serta pelakon dan model terkenal Kavita Sidhu.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd