[Video] “Ingatkan Gempa Bumi”- Penduduk Dengar Bunyi Kuat Ketika Runtuhan Bangunan Berlaku Di Kuchai Lama
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika runtuhan berlaku di sebahagian Blok A bangunan Kuchai Entrepreneurs Park di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Satu kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku pada Selasa lalu (15 Ogos) apabila sebahagian struktur bumbung bangunan Blok A Kuchai Entrepreneurs Park di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur telah runtuh.
Lebih membimbangkan lagi, runtuhan tersebut dilihat menghempap beberapa buah kereta sehingga mengakibatkan kerosakan.
Memetik laporan Sinar Daily, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor memaklumkan pihak mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut daripada orang awam sekitar jam 10:40 malam.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut bergegas ke lokasi terbabit bagi melakukan pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan mendapati bangunan yang terjejas itu merupakan bangunan komersial yang tidak berpenghuni.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kami menjalankan pemeriksaan di semua lima tingkat bangunan untuk memastikan tiada sesiapa berada di dalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor.
Pada masa sama, mereka turut menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi sementara menunggu pihak berkuasa melakukan pemeriksaan rapi bagi menjamin keselamatan bangunan terbabit.
Netizen Kongsi Video Keadaan Di Lokasi Runtuhan
Keadaan runtuhan yang berlaku pada Selasa lalu sempat dirakam oleh beberapa orang awam di kawasan berhampiran dan memuat naiknya di media sosial.
Ada yang menyangka kejadian ini berlaku di luar negara dan agak terkejut apabila mengetahui bahawa ia terjadi di Malaysia.
Malah, rakaman daripada kamera litar CCTV yang dikatakan berlaku semasa runtuhan berlaku juga sempat dirakam dan ia dimuat naik oleh pengguna TikTok.
Orang Ramai Di Kawasan Sekitar Kejadian Sangka Bunyi Runtuhan Adalah Petanda Bencana Gempa Bumi
Salah seorang pekerja di kawasan berhampiran menceritakan dia terdengar bunyi dentuman kuat ketika runtuhan berlaku dan menyangka ia adalah petanda gempa bumi.
Menurut seorang lagi saksi kejadian dikenali sebagai Dr J. Louis yang merupakan doktor di sebuah klinik sekitar 70 meter dari bangunan terbabit, dia berkongsi detik apabila hampir terkena blok runtuhan ketika mahu mengalihkan keretanya yang dikatakan telah dihempap dengan batu besar.
Saya cuba mengeluarkan kereta saya dan sedang sibuk memeriksa cermin sisi saya yang rosak apabila batu besar menghempap kereta. Saya bernasib baik kerana sempat mengelak dan menyelamatkan diri tetapi kereta saya rosak.
Salah seorang saksi kejadian, Dr J. Louis.
Sehingga kini, tiada laporan melibatkan kemalangan jiwa diterima dan pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan kejadian buat masa ini atas faktor keselamatan.
Artikel Berkaitan: Siling Runtuh Di BMC Mall Cheras, Tiada Kemalangan Jiwa Direkodkan
Artikel Berkaitan: Disangka Gempa Bumi, Jubin Retak Punca Pengunjung Harbour Mall Sandakan Panik
Sumber: Sinar Daily
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.