Now Reading
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Tawan Hati Netizen Dengan Video Trend Wes Anderson

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Tawan Hati Netizen Dengan Video Trend Wes Anderson

Datuk Ramli Mohd Nor yang merupakan Orang Asli pertama dilantik sebagai Ahli Parlimen serta Timbalan Speaker Dewan Rakyat dilihat turut melakukan trend video Wes Anderson di TikTok.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Kalau anda perasan, bukan setiap hari kita dapat melihat ahli politik mengikuti trend popular di TikTok kan? Tetapi baru-baru ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat iaitu Datuk Ramli Mohd Nor dilihat turut serta membuat video ala-ala Wes Anderson.

Dengan meraih 335,800 tontonan dan 30,000 likes setakat artikel ini ditulis, video tersebut memaparkan hari bekerja Ramli ketika berada di Parlimen sebagai seorang Timbalan Speaker.

Sumber: TikTok Ramli Mohd Nor

Berdasarkan filmografi gaya Wes Anderson, beliau dilihat berjalan dalam keadaan garisan lurus sambil melakukan pergerakan simetri berserta suntingan warna yang ‘vibrant’.

Lebih menghiburkan lagi adalah apabila lakonan beliau dilakukan dengan riak wajah yang selamba terutamanya ketika menyorok di belakang tiang dan bermain buaian.

Kepada anda yang kurang mengenali Ramli, beliau juga dikenali sebagai ‘speaker’ yang pernah mengingatkan ahli Parlimen supaya tidak berkelakuan seperti di dalam zoo ketika sedang bersidang.

Ketika Parlimen bersidang pada Februari lalu, beliau memberitahu Ahli Parlimen berkenaan tanggapan buruk masyarakat terhadap pekerjaan mereka di lokasi terbabit selepas ada yang bertanya ‘Macam mana keadaan ‘zoo’ sekarang?’.

Oleh itu, beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya menjaga kelakuan dan menjunjung nilai murni serta adab ketika berada di Dewan Rakyat kerana ia dirakam secara langsung untuk dilihat oleh masayarakat.


Netizen Memuji Dan Kagum Dengan Video Suntingan ‘Wes Anderson’ Miliknya

Selepas video tersebut mula tular, ramai yang memberikan komen serta reaksi kepadanya.

Boleh dikatakan rata-rata netizen kagum dan menganggap ia agak comel melihat bekas pegawai polis melakukan trend berkenaan.

Malah, ada yang turut memuji team media sosial beliau kerana mengambil tahu tentang trend golongan muda.

Sementara itu, segelintir pengguna media sosial sempat bergurau dengan beliau kononnya ada Ahli Parlimen yang mengajarnya untuk membuat TikTok.


Siapa Sebenarnya Lelaki Ini Dan Kenapa Beliau Seseorang Yang Dianggap Istimewa?

Untuk pengetahuan anda, Ramli bukanlah ahli politik biasa kerana beliau adalah ahli Parlimen pertama daripada masyarakat Orang Asli dan menjadi yang pertama daripada masyarakat itu dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Ramli dilahirkan di Penempatan Orang Asli Batu 12, Jalan Pahang, Gombak, Selangor. Bapanya berasal dari suku Semai di Cameron Highlands, Pahang manakala ibunya berasal dari suku Temiar di Gua Musang, Kelantan.

Bapanya, Allahyarham Mohd Nor Abdullah atau Bah Ayob merupakan salah seorang anggota pengasas unit Senoi Praaq polis – pasukan pejuang hutan yang dilatih oleh Perkhidmatan Udara Khas British untuk menentang pemberontakan komunis.

Sumber: Facebook Ramli Mohd Nor

Ramli memulakan kerjayanya sebagai pegawai trafik pelabuhan di Johor dari tahun 1980 hingga 1984 dan berkhidmat selama 34 tahun bersama pasukan polis (PDRM) sejak tahun 1984.

Sebelum bersara pada 2018, beliau adalah timbalan pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Ketika zaman belajarnya, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Perniagaan (Kepujian) dari University of East London dan juga terus mendapat dua Ijazah Sarjana, satu dalam Pentadbiran Awam dari Open University Malaysia dan satu lagi dalam Bussines Administration dari The University of the West (UWS), Scotland, UK.

Beliau kemudiannya mengambil PhD dalam Pengajian Perniagaan di Universiti Antarabangsa Malaya-Wales (IUMW).

Selain fasih berbahasa Mandarin, satu lagi fakta menarik tentang Ramli adalah beliau dipilih untuk menjalani latihan di Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat semasa beliau masih berkhidmat dalam kor polis.

Beliau menghabiskan tiga bulan berlatih di Akademi FBI di Quantico bersama 56 anggota polis lain yang dipilih dari seluruh dunia pada tahun 2014.


Orang Asli Pertama Yang Dilantik Sebagai Ahli Parlimen

Perjalanan politik Ramli Mohd Nor bermula apabila beliau bertanding dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 2019 sebagai calon pilihan mewakili gabungan Barisan Nasional (BN).

Sumber: Facebook Ramli Mohd Nor

Beliau memperoleh kemenangannya (12,038 undi) dalam pilihan raya dengan mengalahkan calon Pakatan Harapan iaitu M. Manogaran (DAP) dan dua lagi calon bebas; Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.

Beliau kemudian menjadi Orang Asli pertama yang dipilih ke Dewan Rakyat. Kemenangan Ramli membawa harapan besar dan suara yang lebih kuat untuk masyarakat Orang Asli dalam landskap politik.


Timbalan Speaker Parlimen Pertama Yang Dilantik Dalam Kalangan Orang Asli

Pada Oktober 2021, beliau telah dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat oleh UMNO selepas Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman mengemukakan peletakan jawatannya pada Ogos 2021.

Beliau kemudiannya menjadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama yang bersidang sebagai Speaker Dewan Rakyat sementara pada Mac 2022 untuk menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun semasa beliau mempengerusikan mesyuarat Dewan Khas.

Sumber: Facebook Ramli Mohd Nor

Kemudian secara rasmi pada Disember 2022, beliau dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat bersama Alice Lau, ahli parlimen Pakatan Harapan yang mewakili Lanang.

Tiga nama dicadangkan untuk jawatan timbalan speaker iaitu Ramli, Lau dan ahli Perikatan Nasional (PN) yang mewakili Masjid Tanah Datuk Mas Ermiyati Samsudin.

Undian dilakukan dan Ramli memperolehi 148 undi, Lau memperolehi 146 manakala Mas Ermieyati hanya memperoleh 74 undi.

Ramli kini berkhidmat sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat di bawah Speaker Datuk Johari Abdul yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani.

BACA JUGA: How Much Does The Dewan Rakyat Speaker Earn Every Month & What Are The Benefits He Gets?

BACA JUGA: What Is The Dewan Rakyat Speaker’s Role And Why Is It Such A Big Deal?


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd