Now Reading
Pembunuhan Abby Choi: Ini Kronologi Kes Pada Mula Hingga Akhir

Pembunuhan Abby Choi: Ini Kronologi Kes Pada Mula Hingga Akhir

Sosialit Hong Kong Abby Choi yang dikenali sebagai seorang yang baik hati telah ditemui mati dicincang dan dimasak di dalam periuk.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Berita tentang tragedi pembunuhan seorang sosialit Hong Kong Abby Choi Tin-Fung membuatkan ramai terkejut selepas mengetahui kematiannya yang sangat mengerikan.

Kes tersebut disusuli dengan penangkapan bekas ahli keluarga mentuanya berikutan dakwaan berlakunya pertikaian berkaitan harta.

Mereka didakwa telah memotong anggota badan Abby Choi dan memasaknya dalam dua buah periuk sup berserta lobak putih dan lobak merah di dalamnya.

Choi mempunyai hubungan yang baik dengan bekas mentuanya walaupun selepas perceraian. Bahkan Choi juga membelikan kediaman empat bilik tidur di Kadoorie Hill, Ho Man Tin untuk mereka.

Ketika Choi membuat keputusan untuk menjual kediaman mewah berharga HKD67 juta (RM38 juta) yang berada di bawah nama bekas bapa mentuanya Kwong Kau, hubungan mereka sudah mula keruh.

abby-choi
Sumber: Sky News

Kenalan rapat Choi mendakwa sosialit itu mahu menjual rumah berkenaan untuk memulakan langkah dalam bidang pelaburan.

Walaupun Choi berjanji untuk membelikan bekas ibu bapa mentuanya rumah yang lain, tetapi Kwong Kau berkeras untuk tidak mahu berpindah dari kawasan kediaman mewah itu.

Difahamkan, beberapa golongan selebriti berkelas tinggi seperti Andy Lau dan Kelly Chen juga memiliki kediaman di lokasi yang sama.

Disebabkan itu, bekas bapa mentua Abby Choi dipercayai menjadi dalang di sebalik pembunuhan kejam ini.


Kronologi Tragedi Yang Berlaku Sejak 22 Februari

22 Februari (Rabu) – Sosialit Hong Kong Abby Choi dan pemandunya yang merupakan bekas abang iparnya, Anthony Kwong sepatutnya mengambil anak perempuannya yang berusia 8 tahun dari sekolah.

24 Februari (Jumaat) â€“ Dua hari kemudian, pihak polis menyiasat kehilangannya dan cuba mengesahkan butiran keberadaannya yang diberikan oleh bekas keluarga mentua Choi.

Polis menjumpai sepasang kaki wanita yang dipercayai milik Choi di dalam peti sejuk di apartmen yang disewa di Tai Po, kira-kira 20 minit perjalanan dari kediaman yang menjadi pertikaian mereka.

Kwong Kau dipercayai telah menyewa apartmen tersebut beberapa minggu sebelumnya dan keluarga bekas mentua Choi didakwa sengaja memberikan maklumat palsu tentang keberadaan sosialit berkenaan.

Pada masa yang sama, pihak polis juga menemui dompet, ID dan kad kredit Choi di apartmen tersebut. Lebih memusykilkan lagi apabila kediaman itu tidak mempunyai sebarang perabot kecuali kain untuk menutupi dinding.

Barang-barang lain yang turut dijumpai termasuklah:

  • Gergaji elektrik
  • Dua periuk sup dengan tisu manusia di dalamnya
  • Penggiling daging yang digunakan pada daging manusia
  • Dua jenis pisau daging
  • Tukul
  • Penutup muka
  • Baju hujan berwarna hitam

Penemuan beberapa barangan tersebut menyebabkan bekas abang ipar Choi Anthony Kwong, bekas bapa mentua Kwong Kau dan juga bekas ibu mentua Jenny Li ditangkap pada Jumaat itu.

25 Februari (Sabtu) â€“ Bekas suami Choi, Alex Kwong telah ditangkap selepas membuat cubaan untuk melarikan diri dari Hong Kong menaiki bot laju di Pier Tung Chung di Pulau Lantau. Dia ditemui dengan wang tunai anggaran HK$500,000 (RM285,845) berserta jam tangan mewah bernilai HK$ 4 juta (RM2,286,761).

26 Februari (Ahad) â€“ Anthony Kwong, Kwong Kau dan Alex Kwong didakwa atas kes pembunuhan Choi selepas pihak polis menemui tengkorak, rambut serta tulang rusuk di dalam salah satu periuk yang ditemui di apartmen mereka.

Bekas ibu mentua Choi, Jenny Li pula didakwa kerana telah memusnahkan bukti yang membabitkannya dalam kes pembunuhan Choi.

Seorang wanita dikenali dengan nama samaran Yung Yung dikatakan perempuan simpanan Kwong Kau dan mereka telah bersama selama enam bulan. Dia bekerja sebagai tukang urut di salon urut sekitar Daerah Prince Edward.

Yung Yung dipercayai telah membantu Kwong Kau menyewa apartmen di mana anggota badan Choi dijumpai.

ABBY CHOI
Sumber: CNN

Bukan itu sahaja, Yung Yung juga didakwa membantu menyewakan sebuah flat mewah pada pertengahan Februari lalu di West Kowlonn bagi melindungi Alex Kwong dari pihak polis.

Walau bagaimanapun, pihak polis berjaya menahan Yung Yung pada Ahad lalu di sekitar jalan Tsim Sha Tsui.

Sehingga kini, pihak polis percaya bahawa Choi diserang di dalam sebuah van dengan tujuh tempat duduk yang ditemui di apartment Kwong Kau pada Ahad lalu.

Bahagian belakang tengkorak Choi mempunyai lubang dan ahli patologi mendakwa ia adalah penyebab kepada kematian ahli sosialit Hong Kong tersebut.


Siapa Sebenarnya Abby Choi?

abby-choi-1
Sumber: Sky News

Abby Choi adalah anak perempuan kepada keluarga kaya yang mempunyai perniagaan pembinaan di China dan mempunyai nilai bersih peribadi (net worth) lebih daripada HK$ 100 juta (anggaran RM57 juta).

Dia dikenali dengan kehidupan mewahnya terutama gaya fesyen yang unik dengan memadankan pelbagai jenis pakaian.

Minatnya dalam bidang fesyen terserlah ketika dia dilihat menghadiri Paris Fashion Week dan menghiasi muka hadapan majalah popular seperti Vogue, Harper’s Bazaar dan Elle.

Pada bulan lalu, Choi muncul sebagai muka hadapan majalah fesyen dan gaya hidup mewah, L’Officiel Monaco. Penampilannya mendapat pujian kerana dilihat sangat sempurna.

Dalam majalah itu, Choi berjaya mengukir namanya sebagai personaliti media sosial yang paling dicari di dalam industri.

Choi telah berkahwin dengan Alex Kwong ketika berusia 18 tahun dan mereka dikurniakan dua orang anak.

Selepas bercerai dengan Alex Kwong, Choi menjalin hubungan dengan Chris Tam Chuk-Kwan, anak pengasas rantaian makan Tamjai Yunnan Mixian dan dikurniakan dua orang anak.

Walau bagaimanapun, mereka tidak mendaftarkan perkahwinan dan dipercayai harta warisannya akan diberikan kepada dua orang anak yang dikurniakan bersama Alex Kwong.

Kenalan dan ahli keluarga menceritakan bahawa Choi adalah seorang yang baik dan penyayang. Suaminya Chris Tam juga bersyukur kerana diberi peluang untuk hidup bersama Choi.

Ketik Abby masih hidup, dia adalah orang yang sangat baik dan selalu mahu membantu orang ramai. Saya rasa sesiapa yang berpeluang untuk menjadi keluarganya atau rakannya memang sangat bertuah.

Chris Tam berkata di laman Facebook miliknya.

Rakan Choi, Pao Jo-Yee menawarkan ganjaran besar untuk mereka yang berjaya menangkap Alex Kwong sebelum dia berjaya diberkas oleh pihak polis.

Menurutnya, Choi merupakan individu yang tidak akan mempunyai musuh. Malah, sosialit itu juga sering memberikan hadiah kepada ibunya.

Ibu Choi yang dikenali dengan nama ‘Fifth Sister’ sering berkongsi videonya ketika bersama anak perempuannya itu.

Ketika sambutan hari lahir Choi yang terakhir, ibunya meluahkan rasa terharu kerana diberi rahmat mendapat anak-anak yang pandai bersyukur.

Namun sejak berita kematian Choi, ibu kepada sosialit ini tidak bercakap tetapi dia dilihat memberi reaksi tanda suka kepada ucapan takziah yang diterima di ruangan komen.


Sejarah Bekas Ahli Keluarga Mentua Abby Choi

Bekas bapa mertua Choi, Kwong Kau berusia 65 tahun pernah menjadi sarjan polis yang dianugerahkan pingat perkhidmatan Polis Hong Kong pada tahun 2001. Walau bagaimanapun, dia telah meletak jawatan pada tahun 2005 selepas didakwa terlibat dalam kes rogol.

Isterinya Jenny Li berusia 63 tahun pula adalah seorang pesara yang diisytiharkan muflis pada tahun 2017.

Bekas suami Choi Alex Kwong berusia 28 tahun adalah seorang penganggur dan menjadi buruan pihak polis selama bertahun-tahun selepas melarikan dari kes penipuan.

Alex Kwong didakwa menipu mangsa kira-kira HK$ 5 juta (RM2,858,452) dari tahun 2014 sehingga 2015 dalam perniagaan pelaburan emas.

Abangnya Anthony Kwong berusia 31 tahun adalah rakan niaga Choi dan mereka adalah pengarah syarikat yang memiliki Bear Bear Snack.

Walau bagaimanapun, gerai pancake mereka dilaporkan terlibat dalam pertikaian kontrak berjumlah lebih daripada HK$ 130,000 (RM74,319) dan mereka didakwa mempunyai hutang yang tidak dibayar pada tahun 2019.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd