Now Reading
Kecewa Jualan Tiket Piala AFF Suzuki Terhad, Peminat Bola Sepak Malaysia ‘Serang’ Instagram Jay Chou

Kecewa Jualan Tiket Piala AFF Suzuki Terhad, Peminat Bola Sepak Malaysia ‘Serang’ Instagram Jay Chou

Stadium Nasional Bukit Jalil boleh memuatkan kira-kira 80,000 orang tetapi ia akan dihadkan kepada 59,000 tempat duduk untuk memberi laluan kepada persiapan konsert Jay Chou.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Peminat Harimau Malaya atau lebih dikenali sebagai Ultras Malaya dilihat telah menyerang akaun media sosial seorang penyanyi daripada Taiwan iaitu Jay Chou dengan komen berunsur kebencian.

Hal tersebut terjadi kerana berlakunya kekurangan tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi perlawanan separuh akhir Pertama Piala AFF Malaysia antara Malaysia dan Thailand pada Sabtu ini (7 Januari).

Stadium tersebut yang mempunyai kapasiti penuh sebanyak 80,000 tempat duduk tidak dapat digunakan sepenuhnya dan hanya tersedia untuk 59,000 penonton bola sepak sahaja.

Berbaki 21,000 tempat duduk pula terpaksa ditutup bagi tujuan persiapan struktur pentas untuk konsert Jay Chou yang bakal hadir ke Malaysia pada 15 Januari ini sempena Jelajah Dunia Karnival.

Sumber: Twitter @hannahyeoh

Walaupun tempat konsert Jay Chou telah ditempah sejak tahun 2019 lagi dengan tiket jualannya juga sudah habis dijual, sebilangan besar peminat bola sepak tetap mahu menyalahkan Ikon Mandopop tersebut kerana menjadi punca tempat duduk perlawanan AFF agak terhad.

Media Sosial Jay Chou Dibanjiri Komen Negatif

Mereka juga dilihat meninggalkan komen berunsur negatif di hantaran terbaharu penyanyi itu di laman Instagram miliknya (@jaychou).

Malah ada juga yang memintanya untuk menangguhkan konsert atau mengadakannya di lokasi lain kerana menganggap stadium bukanlah tempat untuk melakukan konsert.

“Saya tidak suka konsert… Saya suka bola sepak. Pergi buat konsert anda di tempat lain. Tangguhkan konsert anda ke tahun depan,” kata seorang individu.

“Disebabkan awak, peminat bola sepak Malaysia tidak boleh mendapatkan 21,000 tempat duduk,” kata seorang lagi pengguna media sosial.

Peminat bukan sahaja menyerang akaun Instagramnya, malah akaun Facebook miliknya turut ‘diserang’ juga.

Malah ada juga segelintir peminat bola sepak agak bengang apabila pentas tersebut telah mula didirikan meskipun konsert itu akan berlangsung pada minggu depan.

Sebenarnya, persiapan konsert peringkat antarabangsa mengambil masa yang agak lama sehingga berminggu-minggu untuk siap dipasang dengan selamat dan kukuh.

Sementara itu, ada juga rakyat Malaysia yang turut mempertahankan Ikon Mandopop itu dengan menjelaskan bahawa isu ini bukanlah salah Jay Chou.

Sebaliknya, isu ini berlaku kerana kecuaian pihak penganjur yang tidak merancang dengan betul.

Hannah Yeoh Keluarkan Kenyataan Berhubung Isu Tempat Duduk Di Stadium Bagi Perlawanan Bola

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh cuba menangani aduan orang ramai tentang kekurangan jualan tiket bagi perlawanan Piala AFF 2022.

Hannah dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa tempahan stadium untuk Jelajah Dunia Jay Chou telah dilakukan pada 13 Mac 2019 manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula melakukan tempahan AFF 2022 pada 18 Ogos 2022.

Konsert itu memerlukan 14 hari untuk menyiapkan pentas persembahannya dan dikendalikan oleh 500 orang kru termasuklah 185 kru antarabangsa, 45 jentera berat, 200 pembesar suara dan 800 buah lampu.

Malah, persiapan konsert itu telah ditangguhkan selama 2.5 hari bagi memberi laluan kepada Piala AFF.

Singapura & Thailand Hadapi Dilema Yang Sama

Singapura turut berdepan situasi sama pada 24 Disember lalu apabila perlawanan bola sepak pasukan mereka menentang Myanmar terpaksa dipindahkan dari Stadium Nasional yang menempatkan 55,000 orang ke Stadium Jalan Besar yang hanya memuatkan 6,000 orang.

Perkara ini berlaku rentetan konsert Jay Chou yang diadakan pada 17 dan 18 Disember.

Disebabkan itu, penganjur stadium tidak dapat membuat persiapan bagi menyediakan kemudahan padang dan bilik persalinan dalam tempoh yang agak singkat.

Selain itu, peminat Thailand turut bersimpati dengan penyokong bola sepak Malaysia kerana mereka juga akan menghadapi masalah yang sama pada aksi separuh akhir kedua Kejohanan AFF antara Malaysia dan Thailand.

Perlawanan itu akan dilakukan di Stadium Thammasat yang hanya menempatkan 25,000 orang berbanding Stadium Rajamangala yang menempatkan 51,000 orang.

Ini berikutan stadium yang lebih besar telah digunakan untuk konsert Maroon 5 Disember lalu dan kini sedang memberi laluan kepada konsert KPOP pula pada Sabtu ini (7 Januari).

Rumput di padang tersebut juga tidak dapat dipulihkan tepat pada masanya untuk perlawanan bola sepak.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd