Now Reading
[Foto] Keadaan Semasa Pantai Tok Bali, Kelantan Selepas Dilanda Banjir

[Foto] Keadaan Semasa Pantai Tok Bali, Kelantan Selepas Dilanda Banjir

Selepas kejadian banjir pada hujung tahun 2022, Pantai Tok Bali kini dilihat dipenuhi dengan sampah sarap dipercayai kesan daripada banjir yang melanda.

pantai tok bali

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Pantai Tok Bali merupakan sebuah pantai yang terletak di negeri Kelantan. Pantai Tok Bali terkenal dengan kelebihan tersendiri, malah bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan, ia juga menjadi lokasi wajib singgah untuk pelancong asing juga.

Terdapat banyak rumah tumpangan serta resort-resort indah di sepanjang Pantai Tok Bali ini. Contohnya Tok Aman Beach Resort, Villa Danialla, dan banyak lagi.

Pantai Tok Bali juga merupakan lokasi untuk mencari rezeki buat para-para nelayan kerana tempat ini terkenal dengan hasil tangkapan yang boleh membawa keuntungan buat golongan ini.

Sumber: Flickr

Keadaan Semasa Pantai Tok Bali, Kelantan Setelah Dilanda Banjir Pada Disember 2022

Selepas kejadian banjir pada hujung tahun 2022, Pantai Tok Bali kini dilihat dipenuhi dengan sampah sarap dipercayai kesan daripada banjir yang melanda.

Malah, para pelancong yang tiba terpaksa berdepan dengan sisa seperti botol plastik kosong, kayu reput, dan daun-daun kering yang bertaburan di sepanjang pantai berpasir yang dibarisi pokok casuarina dan pokok kelapa di pantai tersebut.

Sumber: Bernama

Menurut laporan Bernama, Siti Masyitah Mohd Sekeri, 30, pengunjung dari Johor Bahru, terkejut melihat keadaan pantai itu, ketika dia pergi ke sana bersama anak-anaknya pada musim cuti sekolah.

“Memang indah apabila saya datang ke sini tiga tahun lalu, dan saya berharap ia akan dikekalkan dalam keadaan bersih, tetapi saya terkejut dengan apa yang saya lihat hari ini. Sampah bertimbun sana sini. Ia sangat menyedihkan,” jelasnya.

Pencinta alam yang meminati pantai dan laut, Mohd Zulfadhli Rosley, memberikan pendapat bahawa pantai yang tidak terurus bukan sahaja menjejaskan pelancongan di Tok Bali, malah habitat hidupan laut.

“Saya berharap pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan tidak mengabaikan tanggungjawab menjaga kebersihan pantai Tok Bali,” kata individu berusia 31 tahun dari Pengkalan Chepa itu.

Mengulas lanjut, seorang individu yang tinggal berhampiran dengan kawasan itu, Zakaria Harun, 49, berkata, dia dan keluarganya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan selepas paras air naik ke peha pada 18 Disember lalu.

“Timbunan sampah di pantai mungkin tertinggal akibat banjir. Saya terpaksa membersihkan sisa yang terkumpul di sekitar rumah saya,” katanya.


Banjir Di Sekitar Pantai Timur

Umum sedia maklum, hujung tahun lalu, situasi banjir di Pantai Timur iaitu di sekitar Kelantan, Terengganu, dan Pahang telah merekodkan peningkatan mangsa pada tarikh 19 Disember 2022.

Di Kelantan, portal eBanjir mencatatkan mangsa banjir yang meningkat kepada 12,104 orang daripada 3,295 keluarga pada tarikh tersebut di sebelah petang- berbanding 8,645 orang daripada 2,586 keluarga di sebelah pagi.

Malah, sebanyak 95 PPS dibuka membabitkan sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan Public InfoBanjir, 11 sungai utama melepasi paras bahaya termasuk Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 39.92 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.10 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.74 m), pada 19 Disember 2022.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd