Now Reading
Kes Jangkitan Ameba ‘Pemakan Otak’ Belum Wujud Di Malaysia – KKM

Kes Jangkitan Ameba ‘Pemakan Otak’ Belum Wujud Di Malaysia – KKM

Naegleri Fowleri adalah ameba termofilik atau dikenali juga sebagai organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah.

Siti Murni
ameba pemakan otak

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 28 Disember lalu telah mengesahkan bahawa tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau dirujuk sebagai ‘ameba pemakan otak’ direkodkan di negara Malaysia setakat ini.

BACA JUGA: KKM Siap Siaga Susulan Situasi Semasa & Perubahan Polisi Covid-19 Di China

Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun menasihatkan rakyat Malaysia untuk kekal berwaspada, khususnya ketika ingin melakukan aktiviti di kawasan air tawar.

Ini kerana Naegleri Fowleri adalah ameba termofilik atau dikenali juga sebagai organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah di seluruh dunia, namun tidak ditemui dalam air masin seperti di laut.

Pertama, elakkan menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ. Elakkan aktiviti seperti menyelam dan melompat ke dalam air yang mana air yang mungkin dicemari ameba boleh memasuki rongga hidung secara terus.

Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan rasmi.

Dr Noor Hisham dalam masa yang sama menyeru supaya rakyat mencuci badan dengan air terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air.

Tambahnya lagi, kita semua disarankan untuk segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher secara tiba-tiba, terutamanya selepas melakukan aktiviti dalam air.


Kes Pertama Jangkitan Ameba Naegleria Fowleri Di Korea Selatan

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KDCA) mengesahkan kes membabitkan seorang lelaki warga Korea Selatan berusia dalam lingkungan 50 tahun meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Mangsa dikatakan maut selepas dijangkiti Naegleria Fowleri.

Mangsa dilaporkan menetap selama empat (4) bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke Korea Selatan pada 10 Disember lalu.


Ameba Naegleria Fowleri Menyebabkan Jangkitan Otak Yang Teruk

Antara gejala Primary Amoebic Meningeoncephalitis (PAM) pada peringkat awal menyerupai meningitis yang disebabkan bakteria seperti:

  • Sakit kepala.
  • Demam.
  • Loya atau muntah.

Manakala, gejala serius pula adalah seperti:

  • Kekakuan leher.
  • Kekeliruan.
  • Kurang kesedaran terhadap orang sekeliling.
  • Sawan.
  • Halusinasi.
  • Koma.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata kebiasaannya gejala muncul sekitar lima hari, namun boleh juga muncul seawal sehari dan selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti. Keadaan pesakit boleh bertambah teruk dengan cepat dalam tempoh lima hari.

Malah, kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset gejala.

Ia juga dikenali sebagai ameba pemakan otak kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang. Ameba tersebut masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar.

Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan rasmi.

Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada bukti jangkitan boleh merebak melalui wap air atau titisan aerosol.

Sejurus masuk ke dalam hidung, ameba bergerak ke otak sehingga menyebabkan jangkitan otak teruk, dikenali ‘Primary Amoebic Meningoecephalitis’ (PAM) dan boleh membawa maut.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd