Now Reading
Pelajar Jual PerantiSiswa Untuk ‘Upgrade’ Beli iPad Raih Pelbagai Reaksi Orang Ramai

Pelajar Jual PerantiSiswa Untuk ‘Upgrade’ Beli iPad Raih Pelbagai Reaksi Orang Ramai

Antara alasan pelajar yang ingin menjual Samsung Tab A8 yang diterima dari program PerantiSiswa adalah kerana pengguna iPhone lebih sesuai menggunakan iPad.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Menerusi Belanjawan 2022, pihak kerajaan telah mengumumkan pemberian tablet percuma kepada lebih 350,000 orang pelajar B40 di Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara di bawah inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Bermula bulan Ogos lalu, kerajaan telah mula mengagihkan peranti tersebut secara berperingkat kepada pelajar IPT dan memaklumkan mereka tidak perlu memulangkan semula gajet itu selepas tamat belajar.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemberian berkenaan sebagai tanda penghargaan dan pemangkin semangat buat para pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.

BACA JUGA: “Tak Perlu Pulang Tablet PerantiSiswa, Kerajaan Bagi Terus Pada Penerima” – PM

Ada Pelajar Yang Mahu Jual Gajet PerantiSiswa Untuk Beli iPad

Namun baru-baru ini, tular di media sosial apabila segelintir pelajar yang menerima gajet daripada program PerantiSiswa dikatakan ingin menjual alat pembelajaran berkenaan.

Di dalam tangkap layar iklan tersebut, antara barangan yang ingin dijual adalah tablet itu sendiri iaitu Samsung Galaxy Tab A8 berserta barangan lainnya seperti Smart Keyboard Trio, Casing, dan Stylus Pen.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas beliau dilihat memuat naik hantaran di laman Twitter (@SyedSaddiq) semalam, 24 Oktober.

Syed Saddiq meluahkan rasa kesal selepas melihat tindakan pelajar yang seolah-olah tidak menghargai pemberian dari pihak kerajaan bagi membantu proses pembelajaran.

Beliau juga menasihati pelajar untuk memulangkan semula gajet berkenaan untuk diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan.

Selain itu, beberapa iklan tentang penjualan gajet PerantiSiswa juga telah dilihat di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai.

Boleh dikatakan gajet berjenama Samsung yang diberikan oleh kerajaan itu dijual pada pada lingkungan harga RM800 sehingga RM1,000.

Antara alasan yang digunakan oleh mereka untuk menjual gajet tersebut adalah kerana ingin menaik taraf dengan membeli iPad memandangkan sudah serasi dengan iPhone dan ada juga yang memaklumkan mereka langsung tidak menggunakannya.

Orang Ramai Kesal Lihat Tindakan Pelajar Jual PerantiSiswa

Di ruangan komen hantaran yang dimuat naik di laman Facebook (Khairul Azri) itu, ramai yang memberi pendapat kurang setuju selepas melihat segelintir pelajar IPT yang ingin menjual peranti berkenaan.

Malah, ramai juga yang merasakan tindakan mereka menjual peranti tersebut seperti sudah mengambil hak orang yang lebih memerlukan.

Ada juga yang memberi cadangan agar pihak kerajaan mendaftar dan menampal gajet tersebut dengan ‘Hak Kerajaan Malaysia’ agar peranti tersebut tidak disalah guna.

Kepada para pelajar di luar sana yang mendapat peranti tersebut, gunakanlah pemberian berkenaan sebaik mungkin kerana ramai lagi golongan di luar sana yang juga memerlukan alat bantuan pembelajaran.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd