Now Reading
Doktor Kongsi Cerita Menyentuh Hati Ketika ‘On Call’ Dalam Penerbangan Pulang Dari Istanbul

Doktor Kongsi Cerita Menyentuh Hati Ketika ‘On Call’ Dalam Penerbangan Pulang Dari Istanbul

Dr Yazeed sempat membantu dua orang penumpang yang mengalami masalah kesihatan dalam satu penerbangan yang sama sebelum mereka meninggal dunia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Takdir tentang jodoh, ajal dan maut semuanya di tangan Tuhan.

Sebagai orang Islam, kita wajib percaya bahawa setiap yang hidup akan ditemukan dengan ajal masing-masing tanpa mengira umur dan keadaan. Boleh jadi seseorang itu kelihatan sihat, tetapi ditakdirkan meninggal dunia pada usia muda.

Antara impian setiap umat Islam adalah untuk meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah iaitu suatu kematian dalam keadaan suci dan mendamaikan.

BACA JUGA: Kematian Yang Dicemburui, Ustazah Meninggal Dunia Sewaktu Pimpin Bacaan Al-Quran

Doktor sempat bantu dua penumpang dalam penerbangan sebelum mereka meninggal dunia

Terdahulu, seorang pengguna Facebook (Yazeed Yahaya) yang juga merupakan seorang doktor berkongsi pengalamannya ketika berada dalam penerbangan Turkish Airline TK 060.

Kisahnya bermula selepas 10 hari 7 malam bercuti ke Istanbul bersama keluarga serta sahabat dan sudah tiba masa untuk pulang ke Kuala Lumpur, Malaysia.

Doktor dikenali sebagai Dr Yazeed Yahaya ini berada di tempat duduk belakang dalam penerbangan bersama isterinya. Selesai dihidangkan dengan menu pertama oleh kru bertugas, Dr Yazeed ingin tidur untuk merehatkan badan.

Tidak lama selepas itu, seorang pramugara mengejutnya dari tidur dan meminta bantuan membantu salah seorang penumpang dikenali sebagai Almarhumah Dr Siti Hajar yang dikatakan mengalami sesak nafas.

Tak tahu macam mana pramugara itu tahu yang saya ini seorang doktor. Terima kasih kepada Dr Sri Yulis, rakan yang turut bercuti bersama kerana memaklumkan kepada pramugara bertugas.

Dr Yazeed Yahaya.

Ketika itu, Dr Yazeed bekerjasama dengan seorang lagi rakannya iaitu Dr Shalini bagi memberi bantuan kepada penumpang tersebut menggunakan alat yang ada di dalam pesawat.

Tidak lama selepas itu, keadaan Almarhumah semakin pulih tetapi pesawat terpaksa membuat pendaratan kecemasan di lapangan terbang terdekat iaitu di Karachi, Pakistan untuk mendapatkan rawatan segera.

Sumber: Facebook/Yazeed Yahaya

Apa yang menyentuh hati Dr Yazeed adalah apabila Almarhumah dan ibunya sempat mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan.

Almarhumah Dr Siti Hajar dan ibunya adalah dua insan yang sangat berhemah dalam tutur kata sepanjang kami bantu mereka. Akhlak yang baik terserlah dari diri mereka. Sebelum keluar, Almarhumah dan ibunya sempat memberitahu saya, ‘thank you for standing with us’.

Dr Yazeed Yahaya.

Almarhumah dilaporkan meninggal dunia di Unit Rawatan Kecemasan Hospital Karachi dan jenazahnya telah tiba di Malaysia pada petang semalam (21 September) untuk urusan pengebumian.

Seorang lagi penumpang memerlukan bantuan di dalam penerbangan sama

Setelah dua jam berada di landasan kecemasan di lapangan terbang Karachi di Pakistan, penerbangan mereka diteruskan seperti biasa. Dr Yazeed cuba untuk melelapkan matanya tetapi tidak berjaya.

Ketika pesawat berada dalam ruang udara Thailand, tiba-tiba seorang wanita dikenali sebagai Almarhumah Puan Rosminah hampir rebah ke lantai ketika berdiri menunggu giliran untuk memasuki tandas.

Kebetulan pula wanita tersebut berada di sebelah tempat duduk Dr Yazeed, doktor ini sempat memaut Puan Rosminah selepas badannya dikatakan menggeletar.

Sekali lagi Dr Yazeed bersama-sama Dr Shalini bekerjasama untuk memberikan bantuan sebaik mungkin sehinggalah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada awalnya, Puan Rosminah masih boleh berkomunikasi. Namun dalam sekelip mata sahaja, dia tiba-tiba tahap kesihatannya merosot sehingga nadi tidak dapat dikesan. Kami segera berikan bantuan pernafasan (CPR).

Dr Yazeed Yahaya.

Walau bagaimanapun, Almarhumah Puan Rosminah telah dijemput Ilahi.


Daripada pengalaman yang dilaluinya itu, Dr Yazeed menceritakan bahawa raut wajah kedua-dua penumpang ketika dia memberikan bantuan adalah sangat suci dan bersih.

Doktor ini juga sempat mengingatkan orang ramai tentang ajal yang pastinya akan menjemput kita tanpa mengira waktu dan tempat.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd