Now Reading
Umat Islam Boleh Ucap ‘Rest In Peace (RIP) Ke?

Umat Islam Boleh Ucap ‘Rest In Peace (RIP) Ke?

Ucapan RIP atau “Rest in Peace” merupakan doa yang dibacakan oleh orang bukan Islam, maka umat Islam dilarang daripada mengucapkannya.

RIP

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, topik hangat yang diperdebatkan oleh pengguna media sosial baru-baru ini adalah ucapan ‘RIP’ atau Rest In Peace yang diucapkan oleh umat Islam susulan kemangkatan Queen Elizabeth II.

BACA LANJUT: Apa Akan Terjadi Selepas Queen Elizabeth II Mangkat? Ini Penjelasannya

Walau bagaimanapun, ramai juga yang masih keliru tentang hukum ungkapan berkenaan di dalam Islam. Bolehkah disebut? Jika tidak boleh, mengapa?

Pelbagai soalan bermain di minda kita semua.

Oleh itu, Mufti Wilayah Persekutuan tampil memperjelaskan topik ini dan memberi pencerahan yang sebetulnya buat umat Islam di luar sana.


Bolehkah Umat Islam Ucap ‘Rest In Peace’?

Jawapannya, seseorang Muslim itu tidak boleh berdoa untuk memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana itu termaktub di dalam nas yang jelas.

“Ucapan RIP atau “Rest in Peace” merupakan doa yang dibacakan oleh orang bukan Islam, maka umat Islam dilarang daripada mengucapkannya.

“Namun Islam sangat menghormati kematian manusia di mana sunnah bagi orang Muslim untuk mengucapkan takziah dan ucapan-ucapan yang baik kepada orang bukan Islam. Wallahua’lam,” tulis Mufti.

Tambahan pula, memberi doa keamanan dan ketenangan buat orang bukan Islam yang meninggal dunia adalah dilarang menurut nas.

Ia dapat dilihat menerusi firman Allah SWT:

مَا كَانَ لِلنَّبِىِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن يَسْتَغْفِرُوا۟ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوٓا۟ أُو۟لِى قُرْبَىٰ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ

أَصْحَٰبُ ٱلْجَحِيمِ

Maksudnya: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” Surah al-Taubah (113).


Menurut Syeikh Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya, para Nabi dan orang-orang beriman tidak boleh turut serta dalam urusan memohon keampunan Allah SWT bagi orang-orang yang syirik.

Ini kerana konsep keimanan Islam dan kenabian tidak menerima pengampunan orang yang mati dalam keadaan syirik, maka tidak perlu memohon keampunan untuk mereka.

Perkara ini termaktub seperti mana firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 116 – yang mengatakan bahawa Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa golongan yang syirik.

Syeikh Ahmad al-Sawi pula mengatakan umat Islam tidak boleh berdoa untuk memohon keampunan bagi orang bukan Islam yang mati dalam keadaan kafir/syirik. Ada pun doa kepada orang bukan Islam yang masih hidup, maka ada perbahasan yang perlu diteliti.

Jika tujuan doa tersebut untuk mendoakan agar beliau dikurniakan hidayah Islam atau kebaikan dunia maka ia dibolehkan. Tetapi jika doanya untuk memohon keampunan bagi dosa beliau ketika hidupnya memang dalam keadaan kafir maka tidak diterima doa tersebut.

Para Ulama Fiqh bersepakat bahawa perbuatan memohon keampunan bagi orang yang mati dalam keadaan bukan islam atau kafir adalah dilarang. Bahkan ada pendapat lebih keras mengatakan individu yang memohon keampunan bagi orang kafir juga turut dihukum kafir.

Ini kerana ia berlawanan dengan nas yang jelas bahawa Allah SWT tidak akan mengampunkan sesiapa yang berlaku syirik kepada-Nya, ditambah lagi dengan nas bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan kafir maka dia akan menjadi ahli neraka.

Ada pun bagi orang Islam yang mendoakan orang kafir agar diberi hidayah maka tidak mengapa. Perkara ini dipersetujui oleh ulama mazhab Hanafi dan diizinkan untuk mendoakan hidayah menurut mazhab Hanbali.

Sebahagian daripada ulama juga menzahirkan untuk berdoa memohon keampunan kepada bayi dan anak-anak orang kafir, kerana itu termasuk daripada undang-undang di akhirat kelak.


Boleh Ucap Takziah Kepada Orang Bukan Islam

Penerangan di atas jelas menunjukkan bahawa umat Islam DILARANG sama sekali untuk mengungkapkan ‘Rest In Peace (RIP)’ di atas pemergian orang bukan Islam.

Walau bagaimanapun, kehidupan berbilang kaum di dunia ini haruslah memiliki adab dalam apa jua yang kita lakukan. Termasuklah ketika menerima berita bahawa seseorang rakan/kenalan bukan Islam meninggal dunia.

Oleh itu, Islam membenarkan umatnya untuk mengucapkan ‘Takziah’ kepada ahli keluarga, jiran-jiran, rakan, ataupun sesiapa sahaja yang kehilangan seseorang tanpa mengira agama dan bangsa.

Bahkan hukum mengucapkan takziah adalah sunnah. Syeikh al-Mawardi menukilkan kata-kata Imam al-Syafie dalam kitabnya berkenaan ucapan takziah bagi orang Islam yang ibu bapanya meninggal dalam keadaan bukan Islam iaitu:

أعظم الله أجرك وأخلف عليك

Maksudnya: “Semoga Allah menambahkan ganjaran kepada kamu dan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik”.

Manakala ucapan untuk orang bukan Islam pula adalah seperti berikut:

أخلف الله عليك ولا نقص عددك

Maksudnya: “Semoga Allah menggantikan yang lebih baik bagi kamu, dan semoga bilangan kamu (semua) tidak berkurang”.


Kesimpulannya

Orang Islam tidak boleh berdoa memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana itu termaktub di dalam nas yang jelas.

Ucapan RIP atau “Rest in Peace” merupakan doa yang dibacakan oleh orang bukan Islam, maka umat Islam dilarang daripada mengucapkannya.

Namun Islam sangat menghormati kematian manusia di mana sunnah bagi orang Islam untuk mengucapkan takziah dan ucapan-ucapan yang baik kepada orang bukan Islam.

Semoga bermanfaat.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd