Now Reading
Mufti P.Pinang Sedia Sokong Nuramira Sertai Tilawah Al-Quran Jika Hafalannya Bagus

Mufti P.Pinang Sedia Sokong Nuramira Sertai Tilawah Al-Quran Jika Hafalannya Bagus

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perkembangan pelawaanya untuk bertemu Nuramira sebelum ini.

Nama wanita bernama Siti Nuramira Abdullah sebelum ini begitu asing di kalangan rakyat Malaysia.

Namun kisahnya tiba-tiba meledak hingga menjadi kecaman ramai selepas dia mencetuskan kontroversi seolah-olah sengaja menghina agama Islam sewaktu membuat persembahan komediri di Crackhouse Comedy Club pada Jun lalu.

Menerusi video yang tular di media sosial, Siti Nuramira yang turut dikenali sebagai Amy memperkenalkan diri serta mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan tudung dan baju kurung dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

Perbuatan tersebut bukan sahaja menyebabkan dia ditahan dan berdepan pertuduhan di mahkamah, malah turut menarik perhatian ramai golongan agamawan termasuklah Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor.

Dr Wan Salim mahu dengar bacaan al-Quran Nuramira

Dr Wan Salim kemudiannya mempelawa Nuramira untuk hadir ke pejabatnya bagi mendengar sendiri bacaan 15 juzuk al-Quran tersebut.

“Kalau sudi dia boleh datang ke pejabat saya di Komtar kerana saya ingin mendengar sendiri dia membaca Quran yang kononnya dia menghafal 15 juzuk,” katanya kepada FMT.

BACA JUGA : Selepas JAWI, Polis Pula Siasat Video Wanita Buka Tudung & Baju Lepas Mengaku Hafal Al-Quran

Akan beri sokongan jika benar-benar mahu berubah

Terbaharu, Dr Wan Salim memaklumkan sedia memberi sokongan kepada Nuramira untuk menyertai tilawah al-Quran jika hafalannya benar-benar bagus.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perkembangan pelawaanya untuk bertemu Nuramira sebelum ini.

“Cuma saya harap dia tidak lagi mengulangi perbuatannya menghina agama Islam seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Semoga dia berubah menjadi penganut Islam yang baik dan taat kepada hukum-hukum agamanya,” katanya kepada FMT.

Mufti Pulau Pinang itu bagaimanapun menyerahkan kepada Nuramira sama ada dia ingin menerima pelawaaannya tersebut.

Mahu Nuramira lupakan apa yang berlaku dan buka buku baharu

Malah beliau benar-benar berharap wanita ini akan melupakan apa yang sudah berlaku sebaliknya membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

“Yang penting adalah kesanggupan kembali ke pangkal jalan setelah menginsafi kesilapan yang dilakukan. Ini lebih baik daripada berlarutan di dalam kebatilan. Inilah harapan dan nasihat saya kepada Siti Nuramira.

“Anggaplah kata-kata ini sebagai nasihat seorang ayah kepada anak sendiri yang inginkan kebaikan untuknya,” kata beliau lagi.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd