Now Reading
Video Hina Agama Islam: Merdekarya Bongkar Kisah ‘Pahit’ Dengan Pasangan Alex & Amy

Video Hina Agama Islam: Merdekarya Bongkar Kisah ‘Pahit’ Dengan Pasangan Alex & Amy

Pasangan Amy dan Alex ini pernah memberi ugutan bunuh dan ingin membakar bar milik Merdekarya sekitar tahun 2015.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Pada Sabtu (9 Julai) lalu, satu video tular di media sosial apabila seorang wanita didakwa menghina agama Islam di sebuah kelab terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Video berdurasi 54 saat itu menunjukkan wanita berkenaan lengkap memakai baju kurung beserta tudung ketika memperkenalkan dirinya di atas pentas dan mendakwa dirinya telah menghafal 15 juzuk al-Quran.

Namun tidak lama selepas itu, wanita yang dikenali sebagai Amy atau nama sebenar Siti Amira Natasya tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudung yang dipakai dan hanya meninggalkan pakaian agak seksi pada badannya.

Tindakan yang dilakukan oleh Amy mendapat sambutan oleh para penonton di lokasi tersebut apabila mereka memberikan tepukan dan sorakan.

Video asal yang dimuat naik di TikTok (@mie_8099) telah dipadam namun dikongsikan semula oleh pengguna Twitter (MYNEWSHUB) sehingga mendapat 2.3 juta tontonan setakat artikel ini ditulis.

Nama saya Siti Amira Natasya binti Abdullah. Saya berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Saya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Saya telah menghafal 15 juzuk al-Quran. Tetapi…

Siti Amira Natasya binti Abdullah.

Wanita didakwa hina Islam ditahan oleh pihak polis

Menurut laporan Berita Harian, suspek yang disyaki berusia 26 tahun itu ditahan oleh pasukan pegawai dan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada malam Sabtu (9 Julai).

Wanita tersebut ditahan reman selama tiga hari bermula Ahad (10 Julai) sehingga Selasa (12 Julai) dan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, benci-membenci atau berniat jahat.

Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Harian Metro turut melaporkan bahawa teman lelaki kepada wanita ini yang dikenali sebagai Alex telah direman oleh pihak polis sejak Ahad (10 Julai) sehingga Rabu (13 Julai).

Menerusi laporan Astro Awani, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail memaklumkan pihak mereka turut mengendalikan siasatan di bawah Bahagian Penguatkuasaan JAWI berhubung video tular tersebut.

Di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), individu yang menghina agama Islam dengan pelbagai cara boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.


Merdekarya dedah kisah pernah disabotaj oleh Amy dan Alex

Baru-baru ini, satu akaun Twitter milik Merdekarya (@Merdekarya) mendakwa wanita tesebut bersama teman lelakinya pernah cuba untuk mencemarkan nama baik Merdekarya.

Sumber: MYNEWSHUB

Kisahnya bermula apabila Alex kerap lepak di Merdekarya pada sekitar tahun 2015 dan didakwa selalu mengganggu pelanggan wanita sehingga menyebabkan pergaduhan.

Selepas menerima banyak aduan daripada pengunjung tentang kelakuan tidak bermoral Alex, Merdekarya memberi pilihan kepada lelaki berkenaan untuk tidak menjejakkan kaki ke tempat berkenaan atau menghentikan perbuatannya.

Pada awalnya, keadaan menjadi terkawal apabila Alex memilih untuk tidak kembali ke bar itu.

Namun, Alex didakwa telah membawa ‘isterinya’ iaitu Amy dan datang semula ke Merdekarya sebulan lalu dengan membawa satu cadangan untuk menganjurkan acara komedi berbentuk bengkel seksual berserta persembahan daripada kumpulan Alleycats.

Walau bagaimanapun, permintaan Alex dan Amy telah ditolak oleh pihak Merdekarya.

Enggan bayar bil dan ugut untuk membunuh serta membakar kedai

Pada hari mereka berdua datang ke Merdekarya, Alex dan Amy dipercayai meninggalkan bar tersebut tanpa membayar sebarang bil dan membuat dakwaan tidak berasas menerusi media sosial.

Bukan itu sahaja, Alex juga mengugut untuk membunuh mereka yang datang ke Merdekarya dan ingin membakar bar tersebut.

Amy turut mendakwa telah termakan daging babi dalam hidangannya di bar Merdekarya dan ingin membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Merdekarya telah membuat laporan polis berhubung kejadian dan Alex ditahan oleh pihak berkuasa polis serta didakwa di mahkamah. Alex dilaporkan mengaku bersalah dan dibebaskan dengan kompaun RM100.


Crackhouse Comedy Club diarah untuk tutup oleh pihak DBKL

Merdekarya menambah bahawa Alex dan Amy merancang untuk menggunakan pentas seni tempatan bagi mempromosikan pemujaan seks mereka. Jika lokasi itu tidak memberi kebenaran, mereka merancang untuk menggunakan pihak berkuasa bagi menutup tempat berkenaan.

Inilah yang berlaku kepada Crackhouse Comedy Club. Oleh disebabkan itu, Merdekarya berharap DBKL dapat menarik balik penggantungan lesen Crackhouse Comedy Club.

Kedua-dua Merdekarya dan Crackhouse KL sering menganjurkan acara ‘open-mic‘ sebagai langkah untuk mencungkil bakat seni baharu.

Ramai yang mempertahankan Crackhouse termasuk pelawak popular iaitu Harith Iskander yang berpendapat bahawa Crackhouse KL tidak bersalah.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd