Lelaki 52 Tahun Nekad Jalan Kaki Selama 11 Bulan Ke Mekah Untuk Tunai Haji
Lelaki ini juga menolak troli seberat 250 kilogram sepanjang berjalan kaki sejauh 6,500 kilometer dari England ke Mekah.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Selain Hari Raya Aidilfitri, sambutan Hari Raya AidilAdha juga ditunggu-tunggu oleh umat Islam apabila menjelangnya bulan Zulhijjah mengikut kalendar Islam.
Hari Raya Haji yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban disambut oleh umat Islam seluruh dunia pada 10 hingga 13 Zulhijjah sempena memperingati kesediaan Nabi Ibrahim AS mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS dalam penyerahan diri kepada Tuhan dan menandakan berakhirnya musim haji di Mekah.
BACA JUGA: Hari Raya AidilAdha Jatuh Pada 10 Julai
Hajat lelaki untuk mengerjakan haji tercapai dengan cara berjalan kaki sejauh 6,500 kilometer
Setiap umat Islam pasti mempunyai impian untuk mengerjakan ibadah rukun Islam kelima bagi mendekatkan diri kepada Tuhan. Lelaki warganegara British ini merupakan salah seorang yang memasang impian sama untuk mengerjakan ibadah haji di Mekah.
Impian Adam Muhammad berusia 52 tahun ini akhirnya tercapai apabila dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki dari England ke kota Mekah menerusi sembilan negara berbeza selama 11 bulan.

Negara-negara yang direntas oleh Adam sebelum tiba di Mekah adalah seperti berikut:
- Netherlands
- Jerman
- Czech Republic
- Hungary
- Romania
- Bulgaria
- Turki
- Syria
- Jordan
Dalam perjalanan sejauh 6,500 kilometer ke Mekah, Adam juga menolak sebuah troli yang berisi barangan keperluan serta menjadi tempat untuk dirinya berteduh.
Menerusi laporan Harian Post, troli seberat 250 kilogram itu juga digantung dengan kain putih sebagai simbolik pakaian ihram bagi ibadah haji yang bakal dilakukan di kota Mekah.
Adam dilaporkan telah memulakan perjalanannya dari England sejak bulan Ogos 2021.

Ketibaan Adam disambut meriah oleh penduduk Mekah
Setibanya di kota Mekah pada Ahad lalu (26 Jun), Adam meluahkan rasa bersyukur dan terharu apabila ketibaannya disambut meriah di Masjid Aisha oleh penduduk tempatan. Rakyat Arab Saudi di sana juga bermurah hati membantunya ketika di sana.
Menurut laporan Gulf Today, hasrat Adam untuk berjalan kaki ke Mekah dibuat secara tiba-tiba dan tidak menyangka dia berjaya melakukannya.
Haji adalah impian saya yang paling tinggi. Niat saya untuk berjalan kaki bagi menunaikan haji di Mekah muncul secara tiba-tiba. Tak sangka akhirnya saya berjaya sampai dengan selamat.
Adam Muhammad.

Apabila kita betul-betul serius dengan apa yang diimpikan, tiada apa yang mustahil dan menjadi penghalang untuk menjadikan perkara tersebut bertukar realiti.
Semoga Adam dan seluruh umat Islam yang mengerjakan ibadah haji tahun ini mendapat haji mabrur.
Kepada anda yang tidak berpeluang untuk mengerjakan haji di Mekah dan ingin melakukan ibadah korban, ada beberapa perkara sunat yang boleh diamalkan untuk menambah pahala.
BACA JUGA: Berniat Untuk Lakukan Ibadah Korban? Ini Antara Perkara Sunat Yang Dianjurkan Dalam Islam
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.