Now Reading
“Henti Guna Agama Untuk Lariskan Produk!” – SKMM Kuatkuasa Kod Baharu Cegah Isu Ini

“Henti Guna Agama Untuk Lariskan Produk!” – SKMM Kuatkuasa Kod Baharu Cegah Isu Ini

Walau bagaimanapun, kod kandungan yang akan dikuatkuasakan itu tidak menghalang tokoh atau selebriti agama daripada menjadi jurucakap sesuatu produk.

produk tunggang agama

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


“Berniaga sambil tunggang agama.”

Perkara yang sering terjadi dan telah menjadi perdebatan hangat di kalangan rakyat Malaysia. Mana tidaknya, terdapat beberapa syarikat yang dilihat mempromosikan produk atau sesuatu perniagaan dengan menerapkan unsur keagamaan bertujuan untuk meraih perhatian.

Oleh itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bakal menguatkuasakan kod etika baharu dalam pengiklanan bagi menghalang sebarang penggunaan elemen dan unsur agama untuk melariskan perniagaan atau pemasaran produk.

Kod Kandungan 2022 yang digubal Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) itu juga bertujuan bagi mengelak salah guna hujah dan unsur eksploitasi agama yang digunakan pengiklan atau pemilik produk untuk memikat hati pengguna.

Kod baharu berkenaan dijangka bakal dilaksanakan selewat-lewatnya tahun ini, perubahan itu dibuat demi menjaga kesucian dan sensitiviti agama. Selain itu, ia juga bagi mengelakkan timbul salah tanggapan orang ramai terhadap agama.

Antara penyalahgunaan agama dalam iklan yang dikesan berleluasa, termasuk produk yang kononnya sudah dibacakan ayat al-Quran dan dakwaan boleh menyembuhkan penyakit, selain produk yang didakwa mesra wuduk.


Larangan Terpakai Kepada Semua Agama

Berita Harian melaporkan bahawa Pengarah Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood menyatakan larangan itu terpakai kepada semua agama dan bukan hanya agama Islam sahaja bagi melarang penyalahgunaan agama dalam iklan sebagai gimik pemasaran bagi melariskan jualan produk.

Perubahan yang dicadangkan antaranya bagi menangani kandungan menghasut atau provokasi, tindakan kekerasan berdasarkan jantina, selain melarang penyalahgunaan agama dalam iklan. Peruntukan baharu ini akan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun 2022.

Pengarah Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood menerusi Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau memberikan beberapa contoh di mana produk yang didakwa dibacakan al-Quran dan boleh menyembuhkan penyakit dan produk kecantikan mesra wuduk.

Jika benar dakwaan itu, penjual sendiri perlu menjelaskan dengan lebih terperinci dan membuktikan kesahihan tuntutan berkenaan.


Elak Guna Agama Sebagai Gimik Pemasaran & Untuk Lariskan Jualan

produk tunggang agama

Madiha dalam masa yang sama turut mengingatkan semua pihak agar berhenti menggunakan agama sebagai gimik pemasaran untuk menarik pelanggan dan melariskan jualan.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kod kandungan yang akan dikuatkuasakan itu tidak menghalang tokoh atau selebriti agama daripada menjadi jurucakap sesuatu produk.

Apa yang dilarang hanyalah mereka tidak boleh lagi membuat dakwaan atau tuntutan yang mengelirukan atau memperdaya pembeli dengan dakwaan agama. Perubahan dan larangan itu bukan saja untuk melindungi pengguna, tetapi ia disebabkan pihak kami mendapati banyak aduan dan isu dibangkitkan membabitkan perkara ini.

Pengarah Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood menerusi Berita Harian.

Aduan Boleh Dibuat

Madiha turut menasihatkan pengguna yang mengesan kandungan merangkumi pengiklanan, penyiaran dan kandungan mudah alih yang tidak sesuai serta sensitif supaya membuat aduan kepada suruhanjaya berkenaan.

Aduan boleh disalurkan menerusi Portal Aduan, e-mel atau surat kepada Biro Aduan Forum Kandungan SKMM.

Selain itu, beliau menggalakkan pengguna mengamalkan kawalan kendiri dan amalan selamat ketika melayari internet terutama di platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan Snapchat.


Sekadar rekod, CMCF yang ditubuhkan secara rasmi pada 2001 adalah sebuah badan pemantau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang terletak di bawah SKMM.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd