Now Reading
#JusticeForBella: Pengasas Rumah Bonda Dera OKU, Saksi Dakwa Bella Dicili & Dijirus Air Panas

#JusticeForBella: Pengasas Rumah Bonda Dera OKU, Saksi Dakwa Bella Dicili & Dijirus Air Panas

Bella mengalami kecederaan seperti melecur di bahagian tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama terdapat pada tubuh badannya.

siti bainun

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, pada Julai tahun lalu, media sosial pernah dibanjiri oleh isu mengenai penderaan fizikal kepada seorang kanak-kanak perempuan OKU yang dikenali sebagai Bella.

Oleh disebabkan itu, hashtag #JusticeForBella juga pernah trending di Twitter, Facebook, dan juga Instagram.

BACA SINI: TLDR; #JusticeForBella Trending Di Media Sosial. Beberapa Pihak Bongkar Segalanya


Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Terpalit Isu Dera OKU

Pada 20 Ogos 2021, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun iaitu Bella.

Menurut laporan Bernama, Siti Bainun, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak itu telah mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kredit: Harian Metro

BACA SINI: #JusticeForBella: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Didakwa Abai Kanak-kanak Sindrom Down


Terkini: Saksi Dakwa Bella Dicili & Dijirus Air Panas

Rakan baik kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali pada Rabu (30 Mac) memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa remaja perempuan Down Sindrom dikenali sebagai Bella ada menceritakan kepadanya bahawa dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat.

Pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, 39, menjelaskan bahawa Bella memaklumkan kejadian itu ketika mereka berada di dalam ambulans untuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan remaja berkenaan dilihat berada dalam keadaan trauma.

Kredit: Harian Metro

Semasa berada dalam ambulans ke HKL, saya bertanya kepada Bella apa yang terjadi. Bella yang memanggil saya ‘mommy’ mengatakan dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat.

Jelas Zurianty semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan kes.

Saksi pendakwaan pertama itu yang mengenali Siti Bainun sejak 2015 berkata sebaik sahaja tiba di hospital, remaja itu dilihat tidak mampu berjalan dengan baik dan sukar bergerak kerana kakinya sakit.

Saya nampak Bella macam tidak larat dan dia kata kakinya sakit, tapi saya tak boleh pegang sebab saya bimbang Bella mungkin dijangkiti Covid-19. Bella juga merujuk beberapa nama individu yang melakukan perbuatan itu terhadapnya.

Jelas Zurianty semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan kes.

Siti Bainun Abai Bella

Mengulas lanjut, semasa Zurianty berada di hospital, Siti Bainun tidak pernah bertanyakan keadaan Bella sebaliknya mempersoalkan mengapa anak-anak di bawah jagaannya dibawa ke pusat kuarantin di Maeps, Serdang.

Terdahulu ketika membacakan laporan polis yang dibuatnya pada 24 Jun 2021, Zuriaty berkata Bella mengalami kecederaan seperti melecur di bahagian tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama terdapat pada tubuh badannya.

Saksi turut menjelaskan bahawa laporan polis itu dibuat berhubung kecederaan dan penderaan yang terdapat pada tubuh badan Bella.

Memberikan gambaran terperinci, saksi itu berkata meskipun Bella seorang remaja Down Sindrom, dia seorang yang sangat manja, rajin, baik dan berdikari serta boleh menguruskan diri sendiri seperti solat dan sangat pembersih.

Mulanya Akrab…

Apabila ditanya tentang hubungan Siti Bainun dengan Bella, Zuriaty memberitahu bahawa pada mulanya hubungan mereka sangat baik apabila Siti Bainun dilihat sangat sayang kepada Bella dan sentiasa cuba mengambil hati remaja itu dengan membeli barang-barang yang Bella suka.

Bella suka mekap, bekas air kerana Bella suka minum air dan baju baharu namun pada Ogos 2020, saya mula lihat mereka tidak berapa mesra selepas Siti Bainun enggan membawa Bella berjalan ke Kuala Selangor untuk ke rumah abang ipar Siti Bainun.

Jelas Zurianty semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan kes.

Zuriaty menjelaskan, disebabkan keengganan Siti Bainun membawa Bella, dia juga ada bertanya kepada Siti Bainun mengapa dia bertindak sedemikian dan Siti Bainun memberitahu dia enggan membawa Bella kerana remaja itu suka buat perangai dan degil.

Saksi itu menjelaskan bahawa dia membawa Bella menaiki keretanya ke Kuala Selangor selepas Siti Bainun enggan membawa remaja itu bersamanya.

Sepanjang berada di sana (Kuala Selangor), Siti Bainun tidak mengendahkan Bella dan tidak bertanya sama ada remaja itu sudah makan atau tidak. Pemerhatian saya mendapati Bella tidak buat perangai dan tidak degil malah jika dia hendak minum air dia akan mengambilnya sendiri.

Jelas Zurianty semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan kes.

Siti Bainun, 30, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd