Sukarelawan Muda Bersihkan Artifak Perang Dunia Kedua Yang Dirosakkan
Kumpulan belia Generasi Penang dan Penggerak Komuniti Muda (PEKA) secara sukarela membersihkan kubu pillbox yang telah diconteng di Pantai Permatang Damar.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!
Vandalisme adalah perbuatan yang tidak elok, lebih-lebih lagi apabila dilakukan pada artifak negara. Tetapi, agak menyedihkan apabila ianya terjadi kepada beberapa kubu lama di Pulau Pinang ketika Perang Dunia Kedua.
Baru-baru ini, sekumpulan sukarelawan belia di Pulau Pinang bantu membersihkan kawasan kubu berusia 80 tahun itu dan menghidupkan semula rupa kubu tersebut.
Inisiatif ini terhasil daripada program “Sayangi Warisan Kita” dengan kerjasama antara dua kumpulan belia Pulau Pinang, Generasi Penang dan Penggerak Komuniti Muda (PEKA).
Dianggarkan 30 orang belia bersemangat untuk memelihara sejarah dengan membersihkan sebahagian kawasan pantai dan memulihkan ‘pillbox’ yang telah dirosakkan dari jam 8 pagi sehinggi 12 malam.
Bukan itu sahaja, mereka juga mengutip sampah di sepanjang pantai sehingga memenuhkan 10 beg plastik sampah!

Sumber: Twitter @Joshuawsz
Untuk membersihkan semula rupa kubu berkenaan, mereka telah membeli 11 botol semburan penghilang grafiti yang ditemui di kedai perkakasan dan secara online. Mereka juga membawa bekalan air sendiri kerana tiada sumber air bersih di kawasan berhampiran.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila kebanyakan contengan di dinding pillbox berjaya dipadamkan. Mesti mereka menyental dinding tersebut dengan kuat sejak pagi.

Sumber: Twitter @Joshuawsz
Walaupun masih ada sedikit kesan daripada semburan cat grafiti tersebut kerana kekurangan semburan penghilang grafiti, mereka berjaya membuang perkataan dan simbol yang tidak baik.

Sumber: Twitter @Joshuawsz
Pangkalan tentera jadi tapak vandalisme
Bunker kecil atau dipanggil sebagai ‘pillbox‘ adalah seperti kubu yang mempunyai lubang untuk membolehkan anggota tentera menembak musuh dengan senjata.
Nama pillbox itu dikaitkan dengan bentuk kotak lama yang digunakan untuk membawa pil ubat pelbagai bentuk seperti segi empat sama, bujur, poligon atau bulat.
Dianggarkan terdapat 20 kubu pillbox di tepi pantai, bukit dan persimpangan jalan di Pulau Pinang dibina untuk berkhidmat kepada British semasa serbuan Jepun ke atas Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua suatu ketika dahulu.
Mereka menggunakannya sebagai pos pertahanan tentera yang boleh memuatkan sekitar 12 tentera.

Sumber: budakmatang3780
Apa yang menyedihkan adalah apabila kawasan tersebut kini ditinggalkan, disalah guna untuk vandalisme serta menjadi sarang penagih dadah.
Ada juga yang dijadikan tapak pembuangan sampah.
Walau bagaimanapun, satu perkara yang menarik tentang perkara ini adalah masih wujud pihak yang mengambil berat dan berusaha keras untuk menghidupkan semula persekitaran kubu tersebut.
Sukarelawan tersebut berharap orang ramai sentiasa berwaspada terhadap kesan vandalisme dan perbuatan itu perlu dihentikan supaya tidak memusnahkan artifak bersejarah yang berharga seperti ini.
Mereka juga menggesa orang ramai untuk lebih menghargai struktur sejarah berkenaan kerana ianya adalah sejarah negeri dan boleh dijadikan tempat pelancongan yang baik.
BACA JUGA: Lokasi ‘Dark Tourism’ Yang Famous Di Lembah Klang & Kisah Di Sebaliknya. Seram!
Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: Facebook, Twitter, dan Instagram.