Now Reading
Mufti Dedah Status Sebenar Jika Air Tercemar Dengan Darah Haid

Mufti Dedah Status Sebenar Jika Air Tercemar Dengan Darah Haid

Status air kolam renang yang tercemar dengan darah haid dianggap suci jika isi padu air melebihi dua kolah, dengan syarat tiada kesan bau, warna atau rasa.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Haid merupakan satu kejadian fitrah atau semulajadi yang telah ditetapkan oleh Allah terhadap kaum wanita. 

Sebelum ini, darah haid pernah menjadi isu apabila wujudnya pemeriksaan secara besar-besaran dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah.

Apabila isu ini dibincangkan secara umum di media sosial, rata-rata warganet memberi pelbagai reaksi. Ada yang setuju dan sebaliknya.

Berikutan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberi penjelasan tentang isu tersebut yang sebenarnya sudah melanggar undang-undang Seksyen 377D, Kanun Keseksaan (Akta 574).

BACA JUGA: Wajar Atau Tidak? Pejabat Mufti Perjelas Isu Pemeriksaan Darah Haid Pelajar Wanita

Apakah status air kolam renang bercampur darah haid?

Terbaharu, wujud lagi persoalan tentang darah haid. Kali ini melibatkan status air kolam renang pula.

Persoalan ini timbul apabila ada individu bertanya tentang status air kolam yang sudah bercampur dengan darah haid.

Kredit: Mimpisu

Berikutan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberi penjelasan bahawa status air kolam renang yang bercampur darah haid dianggap air mutanajjis iaitu air yang bercampur najis.

Status air kolam renang akan bertukar sedemikian sekiranya kolam tersebut mempunyai isi padu air kurang daripada dua kolah, bersamaan dengan 200 liter atau 200 kilogram.

Namun, status air kolam renang yang tercemar dengan darah haid dianggap suci jika isi padu air melebihi dua kolah, dengan syarat tiada kesan bau, warna atau rasa.

Jika air kolam renang sudah melebihi dua kolah sekalipun tetapi mempunyai bau, warna atau rasa, maka statusnya akan bertukar menjadi air mutanajjis.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الْمَاءُ لاَ يَنْجُسُ إِلاَّ مَا غَيَّرَ رِيحَهُ أَوْ طَعْمَهُ

Maksudnya: “Air tidak boleh menjadi najis melainkan jika berubah bau atau rasanya.  ”

Riwayat Al-Baihaqi (1274) di dalam Al-Sunan Al-Kubra.


Menurut riwayat yang lain, sabda Nabi Muhammad SAW:

الماءَ طَهورٌ لا يُنَجِّسُه إلا ما غلَب على رِيحِه وطَعمِه ولَونِه

Maksudnya: “Air itu suci dan menyucikan tiada sesuatu yang menajiskannya melainkan jika berubah salah satu sifat bau, rasa dan warnanya.”

Ibn Majah (521).


Terdapat riwayat lain di mana baginda SAW menyifatkan air di Telaga Buda’ah kekal suci kerana isipadu air melebihi dua kolah walaupun terkandung kain bercampur darah haid di dalamnya.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri :

قيل يا رسولَ اللهِ  أَنَتَوَضَّأُ مِنْ بِئْرِ بُضَاعَةَ وَهِيَ بِئْرٌ يُلْقَى فِيهَا الْحِيَضُ وَالنَّتْنُ وَلُحُومُ الْكِلَابِ قَالَ الْمَاءُ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ

Maksudnya : ” Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Adakah boleh kami mengambil wuduk daripada telaga Buda‘ah iaitu telaga yang  dibuangkan di dalamnya kain-kain  yang digunakan perempuan haid (terkandung darah haid), benda yang berbau busuk dan daging anjing. Nabi SAW menjawab: Air itu suci dan tidak  ada sesuatu yang menajiskannya.” 

Riwayat al-Tarmizi (66).

Fuqaha Syafieyyah menyatakan hadis berkaitan telaga Buda’ah tidak bertentangan dengan hadis berkaitan dua kolah kerana airnya terlalu banyak sehingga tidak terkesan dengan najis yang masuk di dalamnya. ( Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, (1/85).


Kesimpulan

Kredit: Sunshine Coast News

Status air kolam renang yang bercampur darah haid tidak akan menjadi air bernajis sekiranya mencapai kapasiti air lebih 200 liter serta tidak berubah sifat dari segi bau, rasa dan warna.

Sekiranya sudah cukup syarat iaitu melepasi kapasiti air, namun berubah pula sifat- sifatnya, maka status air kolam renang itu akan bertukar menjadi air mutanajjis.


Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd