Now Reading
Tiket Penerbangan AirAsia KL Ke Sarawak Kini Turun Dari RM1,000 Ke RM200

Tiket Penerbangan AirAsia KL Ke Sarawak Kini Turun Dari RM1,000 Ke RM200

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia menjelaskan harga tiket akan meningkat semakin hampir ke tarikh penerbangan dan juga semasa musim cuti, apabila hampir semua penerbangan hampir penuh sehingga 90%.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Media sosial pada minggu lalu telah dibanjiri oleh luahan orang ramai yang mengatakan mereka tidak boleh pulang ke Sarawak oleh kerana tiket penerbangan terlalu mahal pada musim Krismas.

BACA SINI: “Terbang Ke London Lagi Murah!” – Netizen Kesal Harga Tiket Penerbangan Cekik Darah

Mana tidaknya, tiket ke London adalah lebih murah dari ke Sarawak.

AirAsia tampil beri penjelasan

Setelah tularnya isu tersebut, TRP telah menghubungi salah seorang team AirAsia untuk memberi penjelasan berkenaan perkara ini.

Pihak AirAsia mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tular ini pada 27 November 2021 melalui kenyataan yang dimuat naik di newsroom.airasia.com.

Baca penuh di bawah:


AirAsia ingin memberikan penjelasan berhubung isu hangat di media sosial berhubung harga tiket yang mahal untuk penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak menjelang perayaan Krismas dan musim cuti serta pilihanraya negeri Sarawak yang dijadualkan pada 18 Disember 2021.

AirAsia sentiasa berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan telah beberapa kali menyerahkan permohonan untuk penambahan kekal kekerapan penerbangan berjadual dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak semenjak awal tahun ini – termasuk yang terakhir dikemukakan pada minggu lepas yang meliputi permohonan untuk penerbangan tambahan bagi musim cuti Krismas dan Tahun Baru Cina.

AirAsia telah menerima kelulusan rasmi daripada MOTS dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) untuk tambahan 42 penerbangan mingguan dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak bagi tempoh terhad iaitu dari 11 Disember 2021 sehingga 5 Januari 2022.

Ini telah secara langsung menurunkan harga tiket Kuala Lumpur-Kuching dari sekitar RM1,000 sebelumnya kepada kurang RM200 sehala dan ianya sudah pun hampir habis terjual sebaik jualan dibuka.

Sebagai penerbangan kos rendah, kami memerlukan jumlah inventori yang tinggi untuk membolehkan kami menawarkan harga tiket yang rendah kepada penumpang. Operasi kami adalah berlandaskan kecekapan ekonomi (economies of scale) iaitu dengan mendapatkan jumlah penumpang yang tinggi dan seterusnya membahagikan penjimatan kos kepada mereka. Ini membolehkan penumpang menikmati tambang rendah dan banyak penjimatan. Harga purata untuk tambang penerbangan AirAsia antara Sarawak dan Semenanjung sebelum ini hanya sekitar RM160 sehala setiap penumpang. Harga purata ini mengambil kira harga tertinggi dan terendah termasuk semasa kami menawarkan jualan promosi tambang percuma.

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia.
Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia.
(Kredit: Berita Harian)

Riad turut menjelaskan, “Model penetapan harga AirAsia adalah berdasarkan permintaan dan penawaran dan ianya serupa dengan yang digunapakai oleh syarikat penerbangan lain seluruh dunia.

“Pematuhan terhadap kekerapan penerbangan yang dihadkan oleh SDMC telah menyebabkan pengurangan inventori tiket penerbangan yang ditawarkan dan seterusnya menyebabkan mekanisme penetapan harga dinamik kami menghasilkan harga yang tinggi apabila tiket pada harga rendah telah habis terjual.

“Ini juga adalah mekanisme sama yang digunapakai untuk menawarkan harga promosi termasuk tiket serendah RM99 sehala pada Oktober lalu.

“Secara umumnya, harga tiket akan meningkat semakin hampir ke tarikh penerbangan dan juga semasa musim cuti, apabila hampir semua penerbangan kami hampir penuh sehingga 90%.

“Jumlah kekerapan penerbangan yang dihadkan merupakan faktor utama yang melonjakkan harga tiket bagi semua syarikat penerbangan,” jelasnya.

AirAsia mengendalikan lebih 300 penerbangan mingguan ke Sarawak bagi tempoh sebelum pandemik.

Syarikat penerbangan tersebut juga mengendalikan lebih 300 penerbangan mingguan ke Sarawak bagi tempoh sebelum pandemik – menghubungkan Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dengan Kuala Lumpur, Penang, Johor Bahru, Kota Kinabalu serta pelbagai destinasi di Malaysia.

Untuk laluan Kuala Lumpur-Kuching sahaja, AirAsia mengendalikan sebanyak 12 hingga 15 penerbangan sehari sebelum tempoh pandemik, tetapi dengan kelulusan terbaru daripada MOTS, mereka hanya dibenar mengendalikan 5 penerbangan harian bagi laluan popular tersebut dan ini merupakan pengurangan 67% dalam kapasiti disebabkan sekatan oleh SDMC.

Ramai telah mendapatkan tiket kami pada harga rendah semasa jualan promosi pada Oktober lepas dengan harga tiket antara Kuala Lumpur dan Sarawak hanya serendah RM99 sehala. Amat jelas bahawa permintaan sememangnya tinggi tetapi buat masa ini kami tidak dapat memenuhinya sehinggalah kelulusan diberikan untuk lebih banyak penerbangan.

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia.

Terima kasih, SDMC & MOTS.

Pihak AirAsia turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada SDMC dan MOTS atas kelulusan untuk penambahan penerbangan terbaru bagi musim cuti dan perayaan Krismas.

Mereka turut merayu kepada MOTS dan SDMC untuk juga meluluskan permohonan penerbangan tambahan untuk Tahun Baru Cina, dan seterusnya menghapuskan sepenuhnya sekatan atas kekerapan bagi penerbangan yang telah diluluskan.

Ini akan membolehkan mereka menguruskan kos dengan lebih baik dan cekap dan seterusnya menurunkan tambang untuk manfaat semua penumpang.


Di bawah merupakan lampiran perbandingan kekerapan penerbangan yang dikendalikan oleh, dan/atau diluluskan bagi, AirAsia antara Sarawak dengan Semenanjung dan Sabah bagi tempoh sebelum pandemik Covid-19 dan yang terkini.

Ini tidak termasuk penerbangan domestik dalam negeri Sarawak.

Perbandingan kekerapan penerbangan AirAsia ke Sarawak untuk beberapa bulan yang lepas.
(Kredit: AirAsia)

Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd