Kanak-kanak Autisme Maut Lepas Terkurung 3 Jam Dalam Van Sekolah
Pemandu van terus pulang ke rumahnya tanpa menyedari kanak-kanak yang masih berada di dalam van tersebut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!
Baru-baru ini tular mengenai kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun selepas dia dipercayai tertinggal selama tiga jam di dalam sebuah van.
Laporan media memaklumkan kejadian itu berlaku di hadapan rumah seorang pemandu van di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim memaklumkan pihaknya menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut pada jam 7.46 malam semalam.
Mangsa mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim.
Hasil siasatan mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke pusat jagaan harian di Taman Nusari Aman, tetapi pemandu van terus pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa yang masih berada di dalam van tersebut.
Menurut laporan BERNAMA, mangsa berada di dalam kenderaan itu dari jam 2.30 petang sehingga 5.30 petang.
Mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan tidak menyedarkan diri pada jam 5.30 petang dan segera dibawa ke Hospital Tunku Jaafar, Seremban sebelum disahkan meninggal dunia.
Bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Susulan kejadian itu, pemandu van berusia 34 tahun itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: Facebook, Twitter, dan Instagram.