Now Reading
[Video] Imam Besar Masjid Putra Perjelas Isu ‘Dua Darjat’ Untuk Solat Jumaat

[Video] Imam Besar Masjid Putra Perjelas Isu ‘Dua Darjat’ Untuk Solat Jumaat

Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya iaitu Ustaz Ikmal Zaidi Hashim telah tampil menjelaskan isu tersebut melalui satu video live di Facebook yang kini telah dipadam olehnya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Beberapa hari lalu iaitu Jumaat, 10 September telah tular satu video menunjukkan beberapa VIP telah dilihat ‘memotong barisan’ orang lain yang sedang menunggu untuk memasuki Masjid Putra, Putrajaya bagi menunaikan Solat Jumaat secara berjemaah.

Tidak lama kemudian, pintu pagar Masjid Putra ditutup dan mereka yang sedang beratur tidak dapat memasuki masjid kerana dikatakan sudah cukup kuota.

Perkara tersebut tidak dinafikan telah menimbulkan rasa ketidakpuasan hati orang ramai kerana ianya disifatkan sebagai memberi layanan yang berbeza kepada Jemaah lain.

Susulan isu tersebut, Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya iaitu Ustaz Ikmal Zaidi Hashim telah tampil menjelaskan isu tersebut melalui satu video live di Facebook yang kini telah dipadam olehnya.

Menurutnya, Masjid Putra sememangnya memperuntukkan kuota khusus untuk kalangan VIP di Jabatan Kerajaan bagi solat Jumaat.

Kuota itu adalah sebanyak 10% (30 tempat) daripada kapasiti 300 jemaah yang dibenarkan serta untuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas.

Tuan-tuan kena faham, Masjid Putra adalah masjid kerajaan, duduk di sebelah Jabatan Perdana Menteri. Jadi kita kena bagi kuota sedikit, tak banyak, 10% sahaja. Untuk siapa? Untuk VIP. Jangan marah saya, itu ketetapan. Kita nak bagi peluang kepada VIP – pengarah dan ke atas. Mereka ini sibuk, kadang-kadang lambat keluar daripada mesyuarat pada hari Jumaat. Jadi kita bagi peluang kepada mereka untuk penuhkan kuota 30 orang, (manakala) 270 kuota untuk jemaah biasa.

Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Ikmal Zaidi Hashim melalui FB live.

Ikmal juga menjelaskan bahawa VIP juga harus memberikan nama lebih awal kepada pihak masjid untuk mendapat tempat solat Jumaat.

Manakala kuota orang awam pula menggunakan konsep “siapa cepat dia dapat”.

Masjid Putra beri kenyataan

Mengenai video yang tular tentang Jemaat Solat Jumaat itu, pihak Masjid Putra juga tidak terlepas untuk mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut.

Pihak masjid menyatakan bahawa pengurusan kehadiran Jemaat di Masjid Putra sama ada solat fardhu atau Solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Bagi Solat Jumaat adalah seramai 300 orang.

Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk Jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang ditetapkan.

Pihak Masjid Putra turut memohon kemaafan di atas kekhilafan yang berlaku dalam hal ini.

Dalam perkembangan yang sama, Ikmal Zaidi turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak yang merakam kejadian berkenaan dan meyebarkannya.

Sedangkan mereka yang menunggu di luar pagar pada hari itu sudah pun dimaklumkan tentang kuota yang sudah dipenuhi.

Dia turut mengaku “tidak redha” dengan tindakan merakam video itu dan berkata dia tetap mendoakan agar mereka mendapat hidayah daripada Allah.

Namun jelasnya lagi, mereka haruslah meminta maaf terlebih dahulu daripadanya.

Timbalan Menteri Agama minta tiada layanan ‘kayangan’ di masjid

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
(Kredit: Utusan)

Berhubung kes ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa Pihak Pengurusan Masjid diminta agar tidak membeza-bezakan layanan kepada individu atau kumpulan tertentu sebaliknya melayan sama rata jemaah yang hadir untuk menunaikan solat di masjid.

Layanan ‘kayangan’ itu tidak seharusnya berlaku. Saya sendiri pun sebenarnya apabila ke masjid saya beratur, paling penting yang mahu ke masjid perlu pergi awal dan ambil tempat sesuai.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd