Now Reading
Ini Cara Ibu Ayah Boleh Perkenalkan Allah SWT Kepada Si Kecil Sejak Lahir Lagi

Ini Cara Ibu Ayah Boleh Perkenalkan Allah SWT Kepada Si Kecil Sejak Lahir Lagi

Salah satu perkara penting ialah mengamalkan gaya hidup yang mengutamakan agama Islam dan Allah SWT setiap hari.

In Brief
  • Perkenalkan Allah SWT kepada bayi sejak lahir dengan membiasakan mereka mendengar kalimah suci dan bacaan al-Quran.
  • Didikan agama perlu berterusan mengikut peringkat usia anak, daripada lahir hingga melebihi dua tahun.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Buat umat Islam, kelahiran di muka bumi ini selalunya akan disambut dengan lafaz azan dan iqamah di kedua belah telinga oleh ayahanda tercinta.

Itulah pertama kali seorang bayi yang baru dilahirkan mendengar kalimah suci Allah SWT.

Kemudian, menjadi tanggungjawab ibu ayah untuk mula mendidik anak agar mengenali agama Islam dan Allah SWT sejak kecil lagi supaya dapat membentuk peribadi seorang Muslim yang mulia.

Kenalkan Si Kecil Dengan Allah SWT Sejak Baru Dilahirkan

Sebenarnya cahaya mata boleh diperkenalkan dengan Allah SWT sejak mula dilahirkan lagi.

Ibu ayah tidak perlu menunggu si kecil boleh memahami apa yang diperkatakan untuk menjelaskan tentang keagungan Allah SWT.

Berdasarkan perkongsian oleh Homeschooling Islam di Instagram, ibu ayah boleh mula memperkenalkan Allah SWT kepada si kecil kurang dua tahun dengan cara berbeza mengikut kepada usia mereka.

Katanya usia sehingga dua tahun tidak terlalu awal dan merupakan tempoh yang amat penting buat si kecil.

#1. Si Kecil Baru Lahir Sehingga 6 Bulan

Ketika tempoh ini, biarkan anak kerap mendengar kalimah suci Allah SWT sejak dari lahir lagi agar mengenali namaNya.

Walaupun si kecil masih tidak memahami sebarang perkataan, namun mereka akan mengingati suara anda apabila berkali-kali mengulangi perkataan agung itu.

Suasana yang mengutamakan agama Islam dan Allah SWT juga penting buat si kecil.

Banyakkan mengaji al-Quran, menyebut lafaz ‘Bismillah’ dan ‘Alhamdulillah’ serta membaca doa di hadapan mereka.

“Anda tidak menerangkan tentang Allah SWT, tetapi menjadikan namaNya biasa didengari si kecil,” jelasnya.

Kerap menunaikan ibadah di hadapan si kecil juga boleh menjadi kebiasaan untuk mereka agar turut melakukan tuntutan Allah SWT setelah besar kelak. (Foto: Pexels)
#2. Usia 6 Bulan Hingga 12 Bulan

Menjelang usia enam bulan, ibu ayah boleh mula menjelaskan tentang ciptaan Allah SWT yang terdapat di sekeliling kita.

Sama ada matahari, bulan, tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan, tunjukkan kepada si kecil bahawa semua mahkluk ini diciptakan oleh Tuhan sekalian alam.

Kaedah ini secara tidak langsung dapat menanam dalam diri mereka bahawa setiap perkara di dalam dunia ini mempunyai pencipta iaitu Allah SWT.

Foto: Pexels
#3. Selepas Usia 1 Tahun Hingga 18 Bulan

Usia satu tahun masih terlalu kecil untuk menerangkan tentang hukum atau syariah Islam.

Oleh itu, ibu ayah disarankan agar menanamkan rasa kasih sayang Allah SWT terhadap orang Muslim berbanding larangan dalam Islam.

Sebutkan bahawa Allah SWT menyayangi dan melindungi keluarga anda, serta memberikan rezeki dan kesenangan kepada seluruh dunia.

Bak kata Homeshooling Islam, biarkan kanak-kanak mengenali Islam sebagai agama penuh kasih sayang, keselamatan dan belas kasihan.

Mendidik anak tentang belas kasihan Allah SWT juga secara tidak langsung dapat menanamkan rasa kasih sayang antara individu. (Foto: Pexels)
#4. Usia 18 Bulan Hingga 2 Tahun

Pada tempoh usia ini, si kecil sudah boleh memahami apa yang diterangkan dan menjawab apabila ditanya tentang sesuatu.

Anggap tempoh masa ini sebagai ‘ulang kaji’ kepada apa yang diterapkan oleh ibu ayah ketika si kecil berusia kurang satu tahun.

Tunjukkan pada alam sekitar dan tanyakan pada anak tentang siapakah yang mencipta makhluk-makhluk di muka bumi ini.

Jangan anggap anak tidak faham jika mereka tidak dapat menjawab soalan tersebut. Sebaliknya terangkan semula tentang Allah SWT sebagai pencipta.

Apa yang paling penting, biarkan si kecil melihat bagaimana anda mengagungkan Allah SWT dalam perbuatan harian anda.

Sama ada membaca doa sebelum makan, mengucapkan syukur ketika gembira dan beristighaf apabila ditimpa musibah, semuanya pasti menjadi peringatan kecil bagaimana Allah SWT ada dalam kehidupan harian kita.

Jangan Berhenti Didikan Agama Hanya Sehingga Usia 2 Tahun

Selepas ibu ayah berjaya mendidik anak mengenali Allah SWT sehingga usia dua tahun, jangan berhenti di situ sahaja.

Teruskan didikan di rumah agar anak-anak mengikut landasan agama yang benar.

Seperti tokoh dakwah Islam di Mesir, Imam Hassan al-Banna, yang sentiasa mengingatkan anak-anaknya dengan Allah SWT atas segala apa yang berlaku.

Jika ibu bapa rasa ilmu agama tidak mencukupi, hantarlah anak belajar dengan individu bertauliah seperti di sekolah agama. InsyaAllah anak-anak akan membesar menjadi individu yang mengutamakan agamanya.

Baca Artikel Berkaitan: Cinta Allah, Tak Ikut Trend, Politik & Banyak Lagi Tips Didik Anak Yang Dipraktik Oleh Ibu Ini

Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Cara Didik Anak Menurut Imam Hassan al-Banna

Baca Artikel Berkaitan: “Otak Belum Faham Tentang Balas Budi” – Pakar Perjelas Kanak-Kanak Bersifat Baik Bukti Didikan Bagus


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd