Anak Bakal Bersekolah? Ini Senarai Barang Tahun 1 Yang Ibu Ayah Boleh Mula Sediakan
Ibu ayah dicadangkan agar membeli barangan yang tidak terlalu mahal kerana risau barang tersebut tercicir atau hilang.
- Ibu ayah perlu sediakan pelbagai barangan sekolah lebih awal seperti uniform, beg ergonomik, peralatan tulis, fail subjek, dan botol air.
- Selain barangan sekolah, keperluan di rumah seperti meja belajar, rak buku, dan tempat simpan beg juga perlu disediakan untuk anak.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ibu ayah yang telah mendaftarkan anak-anak untuk ke Tahun 1 bagi tahun 2027 pasti teruja menyemak keputusan permohonan yang telah dibuka sejak 1 Ogos lalu.
Namun dalam keterujaan itu, ibu ayah jangan lupa untuk melakukan persediaan barangan ke sekolah dengan lebih awal.
Bukan sedikit tau barang yang perlu disediakan. Memang banyak dan semestinya akan memakan sedikit kos pada awalnya.
7 Barang Ibu Ayah Wajib Sediakan Untuk Anak Mula Tahun 1
Berikut kami kongsikan senarai barangan untuk bantu ibu ayah buat persediaan awal bagi anak-anak yang bakal menjejakkan kaki ke bangku sekolah pada tahun depan.
#1. Pakaian Sekolah
Bila bercakap tentang masuk ke sekolah, perkara pertama yang sering difikirkan mestilah tentang uniform sekolah kan?
Namun ibu ayah dinasihatkan untuk membeli hanya satu atau dua pasang uniform sekolah terlebih dahulu.
Ini kerana buat masa ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan murid-murid untuk ke sekolah dengan memakai baju pendidikan jasmani atau baju sukan sahaja, kecuali bagi hari Isnin.
Baju pendidikan jasmani dan baju sukan boleh dibeli di sekolah masing-masing atau kedai buku terpilih setelah cikgu membuat makluman. Manakala seluar sukan panjang sama ada berwarna hitam atau biru gelap pula boleh dibeli di mana-mana kedai.
Ibu ayah diingatkan untuk semak terlebih dahulu peraturan pakaian mengikut sekolah anak masing-masing.
Selain baju sekolah, jangan lupa untuk sediakan juga beberapa pasang stokin, kasut sekolah berwarna hitam, baju dalam (singlet atau camisole) dan tudung bagi pelajar perempuan beragama Islam.

#2. Beg Ergonomik
Pemilihan beg yang bersesuaian adalah penting agar anak tidak berasa terbeban ketika mengangkatnya.
Jika dahulu ramai ibu ayah yang memilih beg beroda untuk anak kecil, kini tidak lagi. Sebaliknya, keutamaan diberikan terhadap beg ergonomik kerana dapat menyokong bentuk badan dan melindungi tulang belakang.
Walaupun harga beg ergonomik lebih mahal berbanding beg biasa, iaitu bermula RM100 ke atas mengikut jenama, namun kebiasaannya ia boleh bertahan bertahun lamanya.
Yang penting, tulang belakang anak anda akan lebih terjaga dan beg juga tidak akan terasa begitu berat!
Lebih elok jika ibu ayah membawa anak sendiri ke kedai untuk mencuba beg tersebut kerana terdapat saiz yang berbeza bergantung kepada ketinggian anak.

#3. Peralatan Tulis
Di samping itu, sudah tentu ibu ayah juga perlu menyediakan peralatan tulis untuk digunakan di sekolah termasuk:
- Pensil
- Pemadam
- Pembaris
- Pengasah pensil
- Gunting (hujung bulat)
- Gam
- Pensil warna
- Kotak warna
Mungkin ada yang mahu membelikan alatan tulis berjenama yang mahal dengan kualiti lebih tinggi.
Tetapi ibu ayah diingatkan bahawa tidak mustahil jika anak-anak kecil kerap menghilangkan barangan mereka di sekolah.
Oleh itu, ada yang mencadangkan agar membeli alatan tulis yang murah sahaja seperti dari kedai Mr DIY atau Eco-Shop.
Bila anak dah besar sedikit dan pandai menjaga barang, boleh tukarkan kepada barangan branded.

#4. Fail Untuk Setiap Subjek
Tidak dinafikan, kini semakin banyak perkara yang diajar di sekolah kebangsaan dan boleh mencecah sehingga 10 mata pelajaran bagi murid Tahun 1.
Untuk memudahkan urusan menyimpan buku mengikut jadual setiap hari, ibu ayah boleh menyediakan fail bagi setiap subjek.
Senang untuk sekalikan buku teks, buku latihan dan buku aktiviti dalam satu fail yang dilabel. Anak pun boleh susun jadual dengan sendiri.
#5. Buku Sekolah
Jika anak anda bersekolah di sekolah kebangsaan, mereka akan menerima buku teks secara percuma sahaja yang kemudiannya perlu dipulangkan sebelum tamat penggal.
Namun memandangkan buku teks sekolah perlu dikongsi dengan murid sebelum ini, mungkin ada kebanyakannya yang sudah lusuh atau comot. Jadi ibu ayah juga boleh memilih untuk membeli buku sekolah baharu.

Kerajaan juga sudah mula menyediakan buku aktiviti secara percuma buat murid-murid.
Selain itu, ibu ayah hanya perlu membuat pembelian buku tulis di kedai buku sekolah. Dapatkan senarai daripada guru setiap subjek terlebih dahulu agar tidak terlebih beli buku tulis.
#6. Sticker Label Nama
Ketika di bangku sekolah dahulu, mesti ada yang berpengalaman sering hilang atau tertukar barang dengan rakan-rakan kan?
Untuk elakkan perkara ini berlaku ke atas anak-anak, boleh sediakan pelekat label nama untuk dilekatkan pada setiap barangan mereka termasuk fail subjek, buku sekolah dan alatan tulis.
Tapi diingatkan juga, jika namanya anak kecil, tak mustahil kalau barang-barang mereka masih hilang walaupun sudah ditampalkan nama.
Sticker label nama boleh dicetak sendiri di rumah buat mereka yang mempunyai mesin cetak. Jika tidak, terdapat banyak sahaja penjual yang membuka tempahan custom.
#7. Botol Air & Bekal Makan
Satu lagi barang penting yang perlu disediakan ialah botol air agar anak tidak mengalami dehidrasi ketika di sekolah.
Pilih botol air yang berkualiti dan selamat digunakan seperti:
- Botol plastik food-grade yang bebas BPA dan menggunakan bahan tidak toksik seperti HDPE, PP dan Tritan.
- Botol stainless steel gred 304 atau 316 yang boleh tahan sejuk.
Walaupun botol kaca sering menjadi pilihan kerana bagus untuk kesihatan, namun elakkan sama sekali kerana boleh jadi berbahaya buat kanak-kanak jika terpecah.
Sediakan juga bekal makan dengan kualiti yang sama seperti di atas jika anak akan membawa bekal ke sekolah. Jangan lupa beg bekal yang dilengkapi tisu dan tisu basah.

Jangan Biar Anak Belajar Di Merata Tempat, Keperluan Di Rumah Juga Perlu Disediakan
Apabila anak bakal mula bersekolah, bukan bermakna ibu ayah hanya perlu membuat persediaan barang-barang untuk dibawa ke sekolah sahaja ya.
Sebaliknya, persediaan ini termasuklah menyediakan keperluan buat mereka di rumah.
Antara barang-barang yang perlu disediakan di rumah bagi keselesaan anak yang sudah mula bersekolah ialah:
- Meja dan kerusi belajar
- Rak buku
- Tempat gantung atau simpan beg sekolah
- Tempat simpan peralatan tulis lebihan

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.