“Tak Semua Lebam Datang Dari Jatuh” – Wanita Kongsi Red Flag Pengasuh Anak
Dalam masa sama, masyarakat juga perlu cakna dalam memastikan perlindungan kanak-kanak dan tidak menilai ibu ayah yang menghantar anak ke rumah pengasuh sejak kecil lagi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada 14 Mei lalu, media melaporkan seorang pengasuh yang didakwa atas tuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah taska di Puchong.
Dalam video tular, dapat dilihat seorang pengasuh menghempap bayi berkenaan dengan badannya sendiri, dipercayai sehingga menyebabkan kematiannya.
Perkara ini sudah tentu menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai lebih-lebih lagi ibu ayah yang turut menghantar anak mereka ke rumah pengasuh.
Baca Artikel Berkaitan: Lebih 2,000 Kes Penderaan Kanak-Kanak Setakat Ogos 2024, Majoriti Budak Perempuan – KPWKM
Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Putuskan Kematian Baby Syifaa Akibat Kecuaian Pengasuh
Wanita Minta Ibu Ayah Pilih Pengasuh Dengan Betul Sebelum Hantar Si Kecil
Baru-baru ini, seorang ibu yang dikenali sebagai Zulfahanani, telah berkongsi pendapatnya di Threads (@zulfahanani) berkenaan isu penderaan kanak-kanak oleh pengasuh.
Dia menegaskan penting untuk ibu ayah memilih pengasuh yang benar-benar mempunyai empati dan bukan hanya menghantar anak kerana harga murah atau tempat yang berhampiran rumah.
Wanita itu mengingatkan bahawa si kecil tidak boleh mempertahankan dirinya sendiri dan boleh terdedah kepada tindakan seseorang pengasuh yang mungkin mengalami burn out.
Perhatikan Tanda-Tanda Red Flag Pengasuh & Perubahan Tingkah Laku Anak
Dia turut berkongsi red flag seorang pengasuh yang ibu ayah perlu cakna termasuk:
- Tidak membenarkan ibu ayah melawat rumah atau pusat jagaan secara mengejut.
- Sentiasa memberi alasan anak berkelakuan ‘nakal’.
- Anak tiba-tiba jadi terlalu takut tanpa sebab yang jelas.
- Terdapat lebam pada bahagian tubuh badan anak yang kurang jelas.
- Anak menangis setiap kali dihantar kepada pengasuh.
Apa yang paling penting, ibu ayah perlu percaya dengan kata hati mereka.

Dalam masa sama, Zulfahanani berkata ibu ayah perlu memerhatikan perubahan tingkah laku yang berlaku pada anak selepas dihantar kepada pengasuh.
“Anak kecil tak pandai cerita dia kena cubit, ditengking, diikat atau dihempas. Kadang perubahan perangai tu satu-satunya ‘bahasa’ yang dia mampu tunjuk,” katanya.
Di samping itu, dia turut berkongsi kesan kanak-kanak yang dimarahi dan ditengking setiap hari oleh pengasuh.
Katanya situasi ini bukan sahaja menyebabkan trauma, tetapi boleh memberi kesan kepada perkembangan emosi dan rasa selamat secara jangka panjang, khususnya buat mereka di bawah usia tiga tahun yang otaknya sedang pesat berkembang.
Pilih Rumah Pengasuh Atau Taska Dengan Ciri-Ciri Keselamatan, Lebih Baik Jika Berdaftar Di Bawah JKM
Tambahnya lagi, ibu ayah perlu menjadi lebih cerewet ataupun picky apabila memilih pengasuh, antaranya termasuk bertanya tentang:
- Adakah kamera litar tutup (CCTV) dipasang?
- Berapa ramai kanak-kanak di bawah jagaan pengasuh?
- Bagaimanakah pengasuh mendisiplinkan kanak-kanak?
- Apakah prosedur kecemasan yang dijalankan?
Dia juga berkongsi sikap yang ibu ayah boleh perhatikan apabila memilih seseorang pengasuh. Bukan sekadar pandai menguruskan kanak-kanak, tetapi juga bergantung kepada cara pengasuh bercakap, memberi respon saat menangis dan memegang si kecil.

Salah satu perkara paling penting adalah ibu ayah perlu mencari pengasuh atau taska yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ini kerana mereka tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak JKM, serta perlu mengikuti latihan dan kursus dalam bidang asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Baca Artikel Berkaitan: Perak Wajibkan Taska Untuk Pasang Kamera CCTV, Elak Kes Tidak Diingini Berlaku
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tertinggal Anak Dalam Kereta: Tadika & Taska Wajib Hubungi Ibu Ayah
Masyarakat Jangan Judge Ibu Ayah Hantar Anak Pada Pengasuh, Tetapi Gesa Penglibatan Pihak Berkuasa
Mungkin ada yang menganggap lebih selamat sekiranya anak tidak dihantar kepada pengasuh sewaktu masih terlalu kecil, namun Zulfahanani mengingatkan bahawa sesetengah ibu ayah tiada pilihan selain kedua-duanya bekerja demi kelangsungan hidup keluarga mereka.
“Masyarakat kena berhenti judge ibu ayah bekerja, dan mula berjuang untuk sistem penjagaan anak yang lebih selamat,” katanya.
Wanita itu juga berpendapat memandangkan kes penderaan kanak-kanak telah kerap kali dilaporkan, malah sehingga menyebabkan kematian, ini bermakna ia bukanlah suatu isu terpencil.
Oleh yang demikian, penting untuk masyarakat mula cakna dalam memastikan perlindungan kanak-kanak, termasuklah menggesa penglibatan berterusan daripada pihak berkuasa, antaranya:
- Pemantauan taska atau pengasuh.
- Latihan penjagaan kanak-kanak.
- Kesihatan mental pengasuh.
- Tindakan undang-undang yang lebih tegas.
View on Threads
Cara Kenal Pasti Lebam Pada Badan Anak Disebabkan Oleh Dera
Dia menutup perkongsiannya dengan menekankan bahawa bukan semua lebam yang terdapat pada anak disebabkan oleh terjatuh atau kemalangan lain.
“Tak semua lebam pada anak datang dari jatuh bermain. Dan itu yang paling menakutkan,” katanya.
Sebelum ini, doktor perubatan Dr Hadi Kamal, menerangkan ibu ayah boleh membezakan lebam pada badan si kecil sama ada disebabkan oleh kecederaan mahupun penderaan.
Bagi penderaan yang berlaku secara fizikal terhadap tubuh badan kanak-kanak, dia berkata ia kebiasaannya melibatkan bahagian tertentu termasuk:
- Pergelangan kaki hingga ke hujung jari, termasuk tapak kaki
- Pipi
- Leher
- Lengan bahagian atas
- Pergelangan tangan hingga ke hujung jari, termasuk tapak tangan
- Alat sulit
- Punggung
- Celah peha
- Peha

Dr Hadi turut berkongsi beberapa tanda lain bahawa si kecil mungkin mengalami penderaan emosi iaitu:
- Kerap mengigau atau mengalami mimpi buruk.
- Menjadi lebih clingy dengan ibu ayah.
- Kerap menangis.
- Tingkah laku impulsif.
- Menunjukkan tingkah laku tidak bersesuaian dengan umur seperti hisap jari dan terkencing di atas tilam.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Anak Tiba-Tiba Jadi Terlalu ‘Clingy’? Mungkin Tanda Emosinya Didera
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Terbaik Buat Ibu Bapa Pilih Taska Terbaik Untuk Anak-Anak
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



