Ibu Pertama Kali Menyusu? Ini Tips Agar Susu Badan Banyak
Sebagai info, lebih banyak susu badan yang dikeluarkan, lebih banyak juga yang akan dihasilkan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Antara salah satu tanggungjawab seorang ibu seusai melahirkan bayi adalah untuk menyusukan si kecil dengan susu badan.
Seperti yang diketahui susu badan ibu penting buat bayi agar dapat menerima nutrisi yang secukupnya, lebih-lebih lagi cecair pekat kekuningan yang mula-mula dihasilkan digelar kolostrum.
Namun kadangkala, kaum hawa terutamanya mereka yang baru pertama kali bergelar ibu mungkin mengalami masalah susu badan yang kurang dan tidak mencukupi untuk si kecil.
Dah kerap menyusu tapi berat badan anak tak bertambah seperti yang sepatutnya. Terpaksalah ibu ayah sediakan susu formula pula sebagai nutrisi utama sehingga bayi cecah usia dua tahun.
Baca Artikel Berkaitan: “Susu Tak Keluar Pun Lagi?” – Pakar Ini Ulas Topik Bila Sebenarnya Susu Ibu Mula Dihasilkan
Baca Artikel Berkaitan: Bila Ibu Ayah Boleh ‘Stop’ Kejutkan Bayi Bangun Malam Untuk Menyusu? Ini Jawapan Pakar
Baca Artikel Berkaitan: Susu Ibu Waktu Pagi & Malam Ada Kandungan Hormon Berbeza? [Video]
Kenal Pasti Tanda Bayi Tidak Dapat Susu Yang Cukup
Sebelum mengetahui cara untuk mengatasi masalah ini, ibu ayah perlu tahu kenal pasti tanda-tanda yang menunjukkan si kecil tidak mendapatkan susu yang mencukupi.
Antaranya termasuk:
- Berat badan bayi meningkat perlahan atau tidak mencukupi berdasarkan carta pertumbuhan.
- Bayi tidak menyusu dengan kerap, iaitu antara 8 ke 12 kali sehari.
- Sesi menyusu yang singkat menunjukkan bayi tidak dapat susu yang mencukupi.
- Kurang kencing mungkin tanda dehidrasi kerana pengambilan susu tidak mencukupi.
- Tidak berak selama beberapa hari atau pengurangan drastik.
Tips Tingkatkan Penghasilan Susu Ibu
Ibu boleh mengalami masalah kekurangan susu badan disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon, nutrisi tidak mencukupi, pengambilan ubat tertentu atau bayi tidak menyusu dengan betul.
Bagi mengelakkan masalah ini, ibu boleh mengamalkan beberapa tips yang dapat membantu bagi meningkatkan bekalan susu badan.
Bukan sahaja dari segi pemakanan, malah juga dengan melakukan perkara-perkara tertentu yang boleh merangsang penghasilan susu badan secukupnya buat si kecil tercinta.
#1 Kerap menyusukan bayi
Mungkin kedengaran remeh, tetapi tindakan mudah seperti kerap menyusukan bayi, iaitu sekitar 10 hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam, juga dapat merangsang penghasilan susu badan.
Menurut Hello Doktor, lebih kerap menyusukan bayi dipercayai akan merangsang hormon prolaktin agar lebih banyak susu dihasilkan.
Malah, ibu juga perlu tahu tentang ‘supply and demand’ dalam konteks penyusuan, iaitu semakin banyak susu akan dihasilkan apabila semakin banyak yang dikeluarkan.
Di samping itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi hantaran di TikTok Kenali Ubat Anda, sebelum ini telah berkongsi penerangan oleh Pakar Perbidanan, Dr Siti Maisarah.
Katanya cara terbaik bagi merangsang penghasilan susu adalah dengan melakukan susuan secara terus (direct feeding) kepada bayi.
“Bila bayi menyusu dia akan hasilkan hormon dari payudara, pergi ke otak, kemudian ke payudara semula. Ia adalah kitaran. Makin banyak susu diberi terutamanya pada waktu malam, susu akan keluar dengan banyak,” jelasnya.
@kenaliubatanda Cara dan tips untuk TAMBAHKAN susu badan ibu. Tonton sampai habis dan save video ini untuk rujukan #kenaliubatanda #knowyourmedicine #pharmacist #breastfeedingtips #ibumenyusu #fyp #tipspenyusuan #tipsmenyusu #tipsmenyusuibayi ♬ original sound – Kenali Ubat Anda – Kenali Ubat Anda KKM
Tonton video penuh [DI SINI].
#2 Pam susu badan
Selain menyusukan bayi secara terus (dikenali sebagai direct feeding), ibu juga boleh mengepam susu badan, lebih-lebih lagi jika bekerja dan berjauhan dengan bayi bagi menyediakan stok susu.
Malah tindakan mengepam susu juga dapat merangsang (stimulate) penghasilan lebih banyak susu.
Di samping itu, ia juga dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah susu bengkak akibat susu yang tidak dikeluarkan daripada dalam payudara.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Simpan Susu Badan Dalam Freezer, Nak Panaskan Semula Pun Ada Caranya
#3 Mengurut
Di samping itu, urutan badan juga dipercayai dapat merangsang penghasilan susu badan dengan lebih baik. Caranya adalah dengan mengurut perlahan di kawasan payudara dan belakang badan.
Ibu juga boleh melakukan urutan marmet, iaitu teknik perahan tangan yang dapat membantu melancarkan pengaliran susu dan merangsang kelenjar.
Kaedah ini sekali gus dapat membantu dalam melegakan masalah bengkak susu atau mastitis yang dialami oleh ibu.
Jika berkemampuan, ibu juga boleh mendapatkan perhidmatan bidan (midwife) yang pandai mengurut.
#4 Kedudukan betul ketika menyusu
Dalam masa sama, kedudukan yang betul ketika menyusukan bayi juga boleh mempengaruhi penghasilan susu badan. Jadi ibu kenalah pastikan posisi tubuh dalam keadaan yang betul dan selesa.
Berdasarkan laman web Mayo Clinic, terdapat lima posisi yang sesuai bagi menyusukan bayi iaitu:
- Cradle hold
- Cross-cradle hold
- Laid-back position (secara berbaring)
- Side-lying position (berbaring di bahagian tepi)
- Football/ clutch hold

#5 Kurangkan tekanan stres
Pernah dengar tak yang stres boleh menyebabkan susu ibu semakin berkurang? Sebenarnya perkara ini memang betul!
UT Southwestern Medical Center menyifatkan tekanan sebagai sebab utama susu ibu hilang, yang berlaku disebabkan oleh peningkatan hormon stres seperti kortisol yang mengurangkan penghasilan susu.
Oleh yang demikian, penting untuk para ibu cuba kurangkan rasa tertekan. Kekal dalam keadaan yang bertenang dan berfikiran positif semasa menyusukan bayi, walaupun sedang mengalami masalah kekurangan susu badan.
#6 Minum air secukupnya
Selain itu, ibu yang menyusukan bayi juga wajib minum air dengan lebih banyak berbanding individu biasa.
Malah susu badan juga diperbuat daripada 88% air, jadi pengambilan air yang secukupnya penting bagi penghasilan susu.
Bercakap kepada WebMD, pakar pemakanan Carla Ornelas berkata, ibu menyusukan bayi disyorkan agar minum 125 ouns air kosong setiap hari, yakni bersamaan 16 cawan.

Pemakanan Juga Penting Untuk Tingkatkan Bekalan Susu Badan
Menurut Pantang Plus, susu badan dihasilkan dengan sekitar 300 kalori, iaitu bersamaan dengan 200 gram isi ayam, semangkuk salad ringkas, sayur kacang panjang dan secawan air masak.
Jadi para ibu sama sekali tidak boleh ketepikan pemakanan bagi meningkatkan bekalan susu badan ya!
Berdasarkan laman web Healthline, berikut merupakan antara makanan yang dipercayai dapat membantu dalam merangsang penghasilan susu badan.
#1 Ubi & lobak
Beta karotena dalam sayur-sayuran berwarna merah dan oren penting bagi penghasilan susu badan. Ubi keladi, ubi bit dan lobak merah juga mempunyai faedah tambahan bagi membekalkan zat besi dan mineral.
Malah ada juga ibu yang mengamalkan pengambilan sup lobak putih bagi memperbanyakkan susu badan.
#2 Sayur-sayuran berdaun hijau
Sayur-sayuran berdaun yang berwarna hijau gelap seperti bayam dan kale merupakan sumber enzim, vitamin dan mineral penting.
Sayur-sayuran ini juga membekalkan kompoun phytoestrogen yang dipercayai dapat merangsang penghasilan susu badan.

#3 Betik hijau
Sering diamalkan di Asia, betik hijau mengandungi enzim, mineral dan vitamin terutamanya vitamin A dan C.
Untuk info, wanita yang menyusukan anak memerlukan antara 115 hingga 120mg vitamin C setiap hari. Namun pastikan betik hijau dimasak sehingga lembut terlebih dahulu sebelum dimakan.
#4 Rempah-ratus
Terdapat juga rempah-ratus yang dipercayai dapat membantu penghasilan susu badan seperti adas, halba dan jintan manis.
Ia boleh diambil dengan memasak di dalam masakan atau dijadikan minuman dengan merebusnya terlebih dahulu.
Namun ada pakar perubatan yang tidak menggalakkan penggunaan jamu. Jadi ibu-ibu sila buat rujukan dulu ye!
#5 Bijirin
Oat merupakan sejenis bijirin yang dikenali sebagai ‘comfort food’ yang dapat menghasilkan perasaan tenang. Keadaan ini sekali gus boleh mencetuskan penghasilan hormon oksitosin yang terlibat dalam penghasilan susu badan.
Bijirin lain yang dipercayai dapat memperbanyakkan susu badan termasuklah millet, beras perang dan barli.
#6 Kacang kuda & lentil
Legum seperti kacang kuda dan lentil dikatakan dapat meningktkan penghasilan susu badan.

#7 Yis Brewer
Mungkin kedengaran pelik, tetapi yis Brewer yang digunakan untuk membuat bir dan membakar roti juga dipercayai dapat membantu penghasilan susu.
Ini kerana ia mengandungi phytoestrogen yang dapat membantu kesihatan tisu payudara dan pengeluaran susu.
#8 Kekacang
Kacang mentah termasuk gajus, walnut dan macadamia juga dipercayai dapat menyokong penghasilan susu badan.
#9 Bijan
Juga terkenal di Asia, biji bijan sama ada putih atau hitam merupakan sumber kalsium yang dapat membantu meningkatkan susu badan.
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Ibu Kena Pantang Makan Kalau Menyusu Bayi? Ini Penjelasan Pakar Pediatrik
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Jenis Makanan Berzat Yang Boleh Diambil Untuk Ibu Menyusu
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.