Bingung Berapa Kerap Kena Tukar Lampin Bayi? Pakar Pediatrik Beri Penjelasan
Pakar Pediatrik Dr Nisa Khalil bagaimanapun menegaskan agar lampin ditukar sebaik sahaja bayi membuang air besar.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebaik sahaja seorang bayi dilahirkan, mestilah mereka akan dipakaikan lampin bagi menampung najis yang dikeluarkan.
Berbeza dengan orang dewasa, si kecil akan banyak membuang air kecil dan air besar, lebih-lebih lagi mereka yang kerap menyusu.
Tapi mungkin ada yang masih tertanya-tanya, berapa kerap sebenarnya lampin bayi perlu ditukar? Ada juga yang berkata lampin tidak perlu ditukar selagi ia masih kering.
Pelbagai persoalan ini pasti membelenggu mereka yang pertama kali menyandang gelaran ibu ayah.
Baca Artikel Berkaitan: “Bapa Dah Cakna Dengan Tugas Ibu” – Bilik Tukar Lampin Bayi Dipenuhi Golongan Ayah Raih Perhatian
Pakar Pediatrik Jelaskan Kekerapan Lampin Perlu Ditukar Mengikut Usia Bayi
Menerusi hantaran di Threads (@dr.nisa.khalil), Pakar Pediatrik Dr Nisa Khalil berkata sememangnya ramai ibu ayah yang masih bingung mengenai bab kekerapan menukar lampin bayi.
Secara ringkasnya, Dr Nisa menjelaskan ia sebenarnya bergantung kepada situasi dan umur bayi.
#1. Bayi Bawah 3 Bulan
Bagi bayi yang baru dilahirkan sehingga usia tiga bulan, lampin perlu ditukar setiap dua ke tiga jam, atau sebaik sahaja mereka membuang air besar. Ini bermakna sekurang-kurangnya lapan lampin perlu digunakan setiap hari.
Tambahnya lagi, lampin juga perlu ditukar pada waktu malam sekiranya telah dibasahi air kencing.
Ini kerana kulit mereka sangat nipis dan sensitif, membuatkan cepat naik ruam di bahagian punggung dan alat sulit jika lampin tidak ditukar selalu.
#2. Bayi Lebih 3 Bulan
Sebaliknya, kekerapan menukar lampin kurang sedikit bagi bayi yang berusia lebih tiga bulan, iaitu sekitar tiga ke empat jam sehari, bersamaan minimum enam lampin sehari.
Dr Nisa juga berkata jika tidak terlalu penuh atau bocor, mereka tidak perlu dikejut dari tidur pada waktu malam untuk ditukar lampin.
Namun lampin masih perlu ditukar sebaik sahaja si kecil buang air besar tanpa mengira umur mereka.

Tukar Lampin Bayi Ikut Keadaan & Situasi
Dalam pada itu, Dr Nisa turut mengulas isu syarikat lampin yang berkata produknya dapat menyerap air kencing sehingga 12 jam.
“Ya, dia SERAP 12 jam. Tapi itu tak bermakna anda patut biarkan sehingga 12 jam setiap kali,” katanya.
Pakar itu juga menjelaskan bahawa waktu menukar lampin bukanlah bergantung kepada tempoh penggunaan semata-mata, tetapi perlu disalin mengikut situasi termasuk:
- Bayi buang air besar.
- Lampin terasa penuh.
- Kulit bayi kelihatan merah atau rengsa.
- Bau ammonia yang kuat.
- Bayi kelihatan tidak selesa.
Jelas Dr Nisa lagi, bayi tidak perlu dikejutkan setiap dua jam ketika sedang tidur nyenyak pada waktu malam.
Dia menegaskan bahawa tidur juga penting untuk perkembangan si kecil dan mereka tidak seharusnya kerap diganggu.

Kekerapan Menukar Lampin Juga Bergantung Kepada Kualiti Lampin
Di samping itu, Dr Nisa berkata terdapat juga bayi yang boleh bertahan lama jika tidak ditukar lampin dengan kerap. Namun ini bergantung pada keadaan termasuk:
- Lampin berkualiti tinggi yang lebih menyerap.
- Bayi lebih besar yang kurang kencing.
- Kulit bayi yang kurang sensitif.
- Suhu bilik rendah. Sebaliknya suhu tinggi akan membuatkan bayi senang berpeluh dengan tinggi risiko iritasi.
Sebaliknya sesetengah bayi pula perlu ditukar lampinnya dengan lebih kerap, antaranya:
- Bayi baru lahir dengan kulit sangat sensitif.
- Mudah naik ruam lampin.
- Mengalami ekzema atau kulit sensitif.
- Bayi cirit-birit atau kerap berak.
- Lampin murah yang kurang meresap.
“Setiap bayi berbeza. Apa yang berkesan buat bayi rakan anda, mungkin tidak sesuai untuk bayi anda.
“Berhenti menilai ibu ayah yang membiarkan anak tidur lapan jam dengan satu lampin jika kulitnya tiada masalah,” katanya.
View on Threads
Lampin Yang Digunakan Ketika Potty-Training Tidak Perlu Kerap Ditukar
Lepas dah baca penjelasan Dr Nisa di atas, jelaslah bahawa lampin bayi bukan sahaja perlu ditukar dalam tempoh masa yang ditetapkan, tetapi juga bergantung pada keadaan.
Tapi macam mana pula dengan si kecil yang memakai lampin ketika potty-training?Di ruangan balas, Dr Nisa telah menjawab soalan yang diterima daripada seorang pengguna media sosial berkenaan isu ini.
Katanya, lampin yang dipakai hanyalah sebagai ‘backup’ sekiranya terkencing dan bukan lagi menjadi tempat utama si kecil membuang air.
Oleh yang demikian, jika lampin kekal bersih dan kering, tiada masalah untuk memakainya dengan lebih lama.
“Anda tak perlu menukar lampin setiap kali si kecil ke tandas. Ikut keselesaan dan kebersihan, bukan tempoh masa,” katanya

Baca Artikel Berkaitan: Penggunaan Bedak Talkum Jadi Amalan, Namun Betul Ke Ada Risiko Kesihatan?
Baca Artikel Berkaitan:Lelaki Persoalkan Sama Ada Ibu Ayah Patut Basuh Najis Anak Di Tempat Ambil Wuduk
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



