Guru Kongsi Cara Mohon Potongan Cukai LHDN Bagi Sumbangan Kepada Sekolah
Pengurangan atau pelepasan cukai itu diberikan buat sumbangan menerusi Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah (TSUWAS) untuk projek yang dijalankan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pendidikan merupakan tonggak sesebuah negara dalam menghasilkan generasi berjaya pada masa akan datang.
Namun masih terdapat institusi pendidikan yang tidak mempunyai kelengkapan mencukupi terutamanya sekolah-sekolah yang terletak di kawasan pedalaman, seterusnya membuatkan anak murid belajar dalam keadaan tidak kondusif.
Situasi ini membuatkan ramai ibu bapa malah guru sendiri membuat keputusan untuk memberikan sumbangan bagi meningkatkan taraf sekolah atau kelas, sama ada dari segi kecantikan mahupun peralatan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Sumbangan Ke Sekolah Boleh Dapat Potongan Cukai
Mungkin ramai yang tidak tahu, tetapi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi pengecualian dan potongan cukai untuk sumbangan menerusi Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah (TSUWAS).
Pihak sekolah bagaimanapun hendaklah memohon terlebih dahulu sebelum para penyumbang dapat menikmati pengecualian dan potongan cukai ini.
Seperti yang dikongsikan oleh guru di sebuah sekolah di Shah Alam, Cikgu Elmiza, dia berkata permohonannya baru sahaja diluluskan oleh LHDN.
“Tahu tak penyumbang untuk projek sekolah boleh diberikan pelepasan cukai LHDN? Sekolah saya baru dapat surat kelulusan dari LHDN untuk Projek Smart Classroom!,” katanya.
Tambahnya lagi, dia yakin bahawa lebih banyak individu dan syarikat yang akan melabur dalam pendidikan jika boleh mendapatkan pengecualian/pengurangan cukai.
View on Threads
Langkah-Langkah Permohonan LHDN Bagi TSUWAS
Dalam pada itu, Cikgu Elmiza turut berkongsi langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak sekolah bagi mendapatkan kelulusan LHDN.
Dia membahagikan langkah tersebut ke dalam empat fasa yang bermula dengan penubuhan badan TSUWAS.
#1. Fasa 1A: Penubuhan Badan TSUWAS
Bagi suatu projek, satu jawatankuasa perlu dibentuk yang merangkumi lima guru dan lima wakil PIBG, sebelum mesyuarat dijalankan bagi pemilihan projek.
Untuk layak mendapatkan pengecualian/potongan cukai LHDN, projek yang dirancang mestilah bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Sebaliknya projek yang melibatkan pembinaan tidak dibenarkan.
Minit mesyuarat perlu disediakan yang merangkumi:
- Nama terdiri daripada Kumpulan A (YDP PIBG dan guru besar) dan Kumpulan B (setiausaha dan bendahari).
- Mandat wakil penandatangan pengeluaran wang TSUWAS. Jumlah wang lebih RM50,000 ditandatangani kedua-dua kumpulan, manakala kurang dari itu hanya oleh Kumpulan A.
- Lampiran salinan kad pengenalan setiap AJK di bahagian belakang.
#2. Fasa 1B: Perancangan Kertas Kerja Projek
Dalam proses perancangan projek, kertas kerja perlu dihasilkan dan mendapat kelulusan Guru Besar.
Lampirkan juga sebut harga perbelanjaan serta dokumen pendaftaran sekolah yang boleh didapatkan daripada pihak kerani.
Kesemua kertas kerja penubuhan TSUWAS, dokumen pendaftaran sekolah dan perancangan kertas kerja projek perlu dihantar ke Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
#3. Fasa 2: Pembukaan Akaun Bank
Selepas menerima kelulusan dari pihak KPM, buka akaun bank TSUWAS bagi tujuan mengumpul sumbangan.
Dokumen yang perlu disediakan bagi tujuan ini ialah:
- Surat kelulusan dari KPM.
- Minit mesyuarat penubuhan TSUWAS.
- Empat orang penandatangan yang telah dilantik bagi tujuan pengesahan biometrik.
Menurut Cikgu Emilza, akaun akan dibuka dalam tempoh 7 ke 14 hari bekerja.
Sebagai info, pihak PIBG tidak boleh membuka akaun bank tambahan. Namun bagi tujuan TSUWAS, sekolah perlu mendapatkan kebenaran daripada KPM terlebih dahulu bagi membuka akaun bank baharu bagi tujuan kutipan dana.
#4. Fasa 3: Penyerahan Dokumen Ke LHDN
Bagi membuat permohonan kelulusan TSUWAS dengan LHDN, dokumen yang lengkap perlu disediakan iaitu:
- Borang kertas kerja penubuhan TSUWAS.
- Dokumen pendaftaran sekolah.
- Senarai program yang telah diluluskan dan akan dijalankan oleh sekolah melalui penubuhan TSUWAS.
- Surat kebenaran KPM bagi setiap program yang akan dijalankan.
- Maklumat bank beserta nombor akaun TSUWAS.
- Surat kebenaran KPM membenarkan sekolah mewujudkan akaun TSUWAS berasingan sementara.
Hantarkan borang yang telah dilengkapkan kepada LHDN. Menurut Cikgu Emilza, permohonan ini mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Guru-Guru Guna Elaun Sendiri Untuk Cantikkan Kelas Anak Murid
Dengan langkah ini, mungkin lebih ramai ibu ayah malah syarikat yang berminat untuk menyalurkan sumbangan kepada pihak sekolah.
Dalam masa sama, usaha dan sumbangan para guru dalam meningkatkan taraf kelas mereka juga tidak diketepikan.
Seperti sebelum ini, tular kisah segelintir guru yang sanggup menggunakan elaun dan gaji sendiri bagi mewujudkan persekitaran kondusif, sekaligus membuatkan murid-murid berasa gembira.
Ini termasuklah Cikgu Al Tarmizi di sebuah sekolah pedalaman di Sekolah Kebangsaan Kampung Kot, Daro di Sarawak yang mengubah suai kelas seolah-olah seperti sebuah kafe.
Usaha guru-guru ini sememangnya telah mendapat pujian daripada masyarakat atas ketekunan dan pengorbanan mereka.

Baca Artikel Berkaitan:Â Usaha Cikgu Pedalaman Guna Elaun Sendiri Deko Kelas Murid Ala Kafe Raih Perhatian
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ramai Terpegun Dengan Hasil Kreatif Guru Ini Hias Kelas Sendiri
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â



