Rasa Pijar Cili Menyengat Pada Tangan? Ini Antara Petua Untuk Hilangkannya
Seperti yang ramai tahu, rasa pijar di tangan selepas tumbuk cili atau makan hidangan pedas boleh membuatkan anda rasa tidak selesa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum sedia maklum, cili merupakan bahan masakan yang digemari orang ramai khususnya penduduk di negara Asia Tenggara. Tanpa cili, tidak rasa ‘kick’ la hidangan anda itu.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Level 5 Daripada 10, Kedai Ramen Di Jepun Ukur Tahap Kepedasan Ikut Negara
Kebiasaannya, perkara ini berlaku kepada individu yang selalu memasak lebih-lebih lagi selepas menumbuk cili dalam lesung batu. Namun dalam sesetengah situasi, rasa pijar di tangan boleh dirasai apabila anda makan sesuatu hidangan yang pedas.
Ia berkemungkinan terjadi akibat cili yang tidak dimasak dengan betul dalam tempoh masa lama.
Punca Sebenar Rasa Pijar Pada Tangan
Memang tidak dinafikan rasa pijar dan bahang itu sememangnya membuatkan anda tidak selesa. Rasa seperti tangan melecur pun ada.
Lebih teruk lagi apabila rasa sakit itu tidak hilang dalam tempoh masa yang singkat. Memetik Hello Doktor, ia akan hilang dalam masa satu ke dua jam jika hanya dicuci dengan air paip biasa.

Kalau anda nak tahu, faktor utama mengapa tangan pijar adalah kerana bahan sama yang menyebabkan rasa pedas di dalam mulut, iaitu capsaicin. Ia juga diibaratkan sebagai minyak daripada cili yang menyebabkan rasa pedas.
Apabila ia bersentuhan dengan permukaan kulit, capsaicin akan melekat pada reseptor kulit anda sekaligus mewujudkan tindak balas sistem saraf yang serupa dengan perasaan apabila seseorang terkena objek suhu tinggi. Sebagai contoh rasa bahang dan melecur yang dikatakan sebentar tadi.

7 Petua Anda Boleh Cuba Untuk Hilangkan Rasa ‘Pedas’ Pada Tangan
Namun usah risau, terdapat banyak cara bagi menghilangkan rasa pedih pijar itu. Antaranya:
#1. Cuka Masak
Tidak perlukan bahan yang terlampau mahal, cukup sekadar cuka masakan di rumah sahaja boleh membantu menghilangkan rasa ‘pedas’ yang melekat pada tangan anda itu.
Hal ini kerana bahan berasid seperti cuka boleh meneutralkan capsaicin yang bersifat alkali.
Jika tiada cuka, anda juga boleh menggunakan alternatif lain seperti jus limau, air asam jawa atau buah lemon.

#2. Susu
Selain itu adalah susu. Untuk info, susu mengandungi satu jenis protein yang dipanggil sebagai casein. Casein ini membantu memutuskan ikatan capsaicin pada reseptor kulit.
Caranya mudah sahaja, rendamkan tangan yang pijar ke dalam susu atau tuangkan ke atas tangan selama beberapa minit. Jangan diminum pula ya.
Bukan hanya terhad kepada susu sahaja, malah anda boleh juga mencuba produk tenusu lain sebagai contoh yogurt.

#3. Sabun Pencuci Pinggan
Seperti yang semua tahu, pencuci pinggan berfungsi untuk menanggalkan minyak degil yang melekat pada pinggan dan mangkuk kotor. Sama konsepnya, pencuci itu juga boleh membasmi kesan minyak capsaicin pada tangan anda.
Selepas ini kalau tangan rasa pijar sahaja, boleh cepat-cepat capai pencuci pinggan di singki itu.

#4. Alkohol
Bahan seterusnya yang dikatakan berkesan bagi menghilangkan rasa pedas ini adalah dengan menggunakan alkohol.
Anda boleh menggunakan bahan beralkohol seperti cecair sanitasi tangan atau alcohol swab bagi melarutkan capsaicin. Berapa banyak alkohol yang mahu digunakan adalah mengikut keluasan permukaan tangan yang rasa pijar.

#5. Garam
Tidak perlu fikir panjang, capaikan sahaja garam yang terletak di kabinet dapur bagi menghilangkan rasa bahang akibat pijar. Caranya mudah sahaja, ambil lebih kurang segenggam garam halus dan lumurkannya pada tangan.
Jika risau ia terlalu kasar, anda boleh larutkan garam dengan air suam terlebih dahulu sebelum merendamkan tangan anda selama lima minit ke dalam air berkenaan sehingga rasa pedih itu hilang.

#6. Minyak Masak
Difahamkan minyak masak merupakan petua orang-orang lama bagi menyingkirkan kesan pijar pada tangan. Sama seperti bahan yang lain, kaedahnya adalah dengan melumurkan sedikit minyak masak pada bahagian tangan yang terkesan.
Ia mampu menghilangkan rasa sakit itu secara perlahan-lahan. Ingat, jangan cuba letakkan minyak panas pula ya!

#7. Beras
Yang terakhir adalah kaedah yang agak popular digunakan orang ramai iaitu meletakkan tangan ke dalam bekas berisi beras. Jika tidak mahu menyeluk tangan ke dalam bekas beras, anda juga boleh menggenggamnya.
Bagaimanapun, pastikan tangan anda telah dicuci dengan bersih terlebih dahulu. Mengikut pengalaman penulis sendiri, ia sememangnya berkesan dan tangan tangan akan terus terasa sejuk selepas dimasukkan ke dalam tong beras.
Tetapi dengan syarat, anda perlu membiarkan tangan di dalam bekas tersebut selama lima minit dan ke atas.

TIPS BONUS: Menerusi carian kami, seorang pakar perubatan dikenali sebagai Dr Kamarul Ariffin turut mengesyorkan losyen berasaskan minyak bagi menghilangkan pijar di tangan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.