[Video] Pakar Kewangan Kongsi Lima Perkara Anda Perlu Lakukan Lepas Terima Gaji
Jelas pakar perancang kewangan, Dr Adam Zubir, sesetengah individu tidak merancang dan mengagihkan kewangan dengan baik sehingga menyebabkan pendapatan cepat habis.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Selepas sebulan mengerah tenaga fizikal dan mental untuk bekerja, sudah tentu setiap daripada anda menanti-nantikan hari gaji masuk. Sama ada untuk membayar komitmen bulanan atau pun membelanja diri sendiri.
Namun terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan orang ramai iaitu menggunakan duit ke arah pembaziran. Dalam erti kata mudah, membeli barangan yang tidak berfaedah.
Antara persoalan popular sesetengah individu adalah, “Mana semua duit aku pergi?”
Kenapa Gaji Anda Cepat Susut?
Sebelum ini, seorang pakar perancang kewangan dikenali sebagai Dr Adam Zubir berkongsi tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan seseorang sebaik menerima pendapatan bulanan.
Jelasnya, ramai di kalangan masyarakat yang tidak mengagihkan gaji dengan betul sehingga ia membebankan mereka.

Sebagai contoh segelintir individu membelanja secara sembarangan hingga menyebabkan duit susut pada pertengahan bulan. Lebih parah lagi apabila simpanan sudah habis sebelum gaji seterusnya masuk.
Kebiasaannya ia berlaku apabila anda tidak mempunyai rancangan pengurusan kewangan yang betul.
“Bila kau gagal merancang, kau merancang untuk gagal,” katanya.
Pakar Ini Kongsi Perkara Yang Perlu Dilakukan Selepas Gaji Masuk
Di sini kami kongsikan lima perkara yang perlu anda lakukan sebaik menerima gaji mengikut cadangan Dr Adam:
#1. Bina Pendapatan Tambahan (Side Income)
Pertama sekali adalah menjana pendapatan tambahan dengan gaji sedia ada. Menurut Dr Adam, ia merupakan langkah bijak dan turut digunakan oleh dirinya sendiri.
“Bila saya balik ke Malaysia selepas saya berhenti sebagai doktor perubatan di United Kingdom (UK), saya kerja doktor memang hidup saya macam tu la.
“Saya ulangi benda sama, sampai akhirnya duit habis dan mengharapkan duit gaji masuk. Jadi saya ulang benda sama lagi dan lagi. Tiada hala tuju. Saya tak tahu nak belanja apa dan di mana duit saya,” luahnya.

Selepas pulang ke tanah air, pakar itu bekerja dengan unit konsultan dan agen takaful sehinggalah dia mendapat lesen sebagai seorang perancang kewangan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Lesen diterima kemudian membuka ruang buatnya untuk menambah banyak lagi pendapatan tambahan serta klien. Selain itu, anda juga disarankan untuk menambah kemahiran diri bagi meningkatkan kualiti kerja.
Sama seperti Dr Zubir, pelanggan atau klien anda akan mula bertambah dari situ.
#2. Self Reward (Ganjaran Untuk Diri Sendiri)
Seterusnya adalah melalui self reward sebagai contoh berbelanja untuk diri sendiri, bercuti atau menjamu selera di tempat menarik. Menurut Dr Adam, tidak salah untuk melakukan perkara tersebut.
“Saya tengok rakan-rakan saya semua sangat tegas sebab tu kot dulu saya tak boleh nak masuk dunia perancang kewangan ni. Sebab kau kena ikut panduan, contohnya kau kena belanja dengan kuantiti tertentu sehingga tiada ruang untuk enjoy,” katanya.
Antara pelaburan dalam bentuk beli-belah yang dilakukannya adalah dengan membeli baju kemeja yang agak mahal tetapi berkualiti dan tahan lama.
Dari segi mengembara pula, Dr Adam menyifatkan ia sebagai satu cara untuk membuka peluang baharu dan bukan untuk keseronokan semata-mata.
Baca Artikel Berkaitan: “Self Reward” – Tindakan Influencer Ini Makan Sushi Lepas Bersalin Raih Perhatian [Video]
#3. Self-grooming (Penjagaan diri)
Perkara seterusnya yang anda perlu lakukan dengan gaji diterima adalah penjagaan diri sebagai contoh mudah adalah pergi ke salon atau spa wajah untuk membuatkan diri sendiri rasa lebih baik.
Apabila berada dalam emosi yang baik, anda akan lebih sayang pada diri sendiri. Dari segi penampilan pula, individu akan berasa lebih yakin terutamanya apabila berkomunikasi dengan orang lain.
Dalam tidak sedar ia akan membawa vibes, aura dan karisma yang berbeza.

“Saya secara peribadi saya suka rasa baik tentang diri saya (lebih-lebih lagi) apabila bercakap dengan orang. Orang lain pun akan lebih terbuka dan selesa.
“Yelah manusia ni kan dicipta untuk suka benda-benda yang cantik dan bagus. Jadi bila kamu buat diri sendiri lebih baik, ia membentuk cara anda berfikir, percakapan dan bawa vibes baik pada diri sendiri,” kongsinya lagi.
#4. Agihkan Simpanan Untuk Kesihatan
Disamping itu, adalah penting bagi setiap individu mengagihkan duit gaji untuk kesihatan diri. Seperti yang selalu diperkatakan orang ramai adalah, “Health is wealth.”
Jelasnya, adalah tidak wajar untuk anda kaya raya tetapi tubuh badan tidak sihat.
“Bagi saya nikmat yang paling besar adalah sihat. Saya memang merasai benda tu. Baru-baru ni saya patah kaki. Sangat teruk bila saya patah kaki. Patah tu patahlah tak boleh nak jalan, tapi ia terhadkan diri saya untuk berjumpa dengan orang, pergi ke pejabat, bekerja, penggambaran. Ia terhadkan keupayaan untuk bergerak,” ujar pakar berkenaan.

Cara bagi mengekalkan badan cergas, Dr Adam melaburkan duitnya bagi keahlian gim, dan meluangkan masa di sana tiga hari seminggu. Perkara yang membuka mata pakar ini untuk mengamalkan hidup sihat apabila keputusan darah diambil berada di tahap membimbangkan.
“Apa gunanya saya kerja sangat kuat dan kumpul banyak harta tetapi terlantar dekat hospital,” tambahnya.
#5. Kongsi Kegembiraan Bersama Orang Lain
Yang terakhir adalah berkongsi kegembiraan bersama orang lain. Dalam konteks ini adalah berkongsi rezeki, bersedekah atau berwakaf kepada orang yang lebih memerlukan.
“Saya percaya dalam setiap rezeki yang kita dapat, ada rezeki orang lain. Sebab setiap orang rezekinya dah termaktub dah. Jadi jika orang sekeliling anda rezekinya dapat bantuan, sama ada dari segi kewangan, makanan, pakaian dan sebagainya dan anda adalah penyalur itu maksudnya Allah akan tambahkan lagi rezeki anda.
“Sebab Allah tahu daripada andalah rezeki itu dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Itu apa yang saya percaya. Lebih banyak anda beri, lebih banyak anda dapat,” jelas Dr Adam.
Baca Artikel Berkaitan: “Serious Best Tak Tipu” – Ramai Terinspirasi Dengan Tindakan Sedekah Makan Buat Gelandangan

Baca Artikel Berkaitan: Nak Kahwin Dalam Masa Setahun Tapi Duit Tak Cukup? Ini Tips Dari Pakar Kewangan
Baca Artikel Berkaitan: Ini 7 Tips Uruskan Kewangan Untuk Graduan Yang Baru Melangkah Ke Alam Pekerjaan
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Mampu Ke Nak Beli Rumah Sebelum Umur Cecah 25 Tahun? Ini Kata Pakar Kewangan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



