Now Reading
Anak Kecil Terhantuk Kepala Pada Sesuatu? Ini Cara Ibu Ayah Atasi Kecederaan Kepala Si Kecil

Anak Kecil Terhantuk Kepala Pada Sesuatu? Ini Cara Ibu Ayah Atasi Kecederaan Kepala Si Kecil

Ibu ayah diingatkan agar segera mendapatkan rawatan kecemasan jika anak berusia kurang dua tahun atau mempunyai masalah sistem saraf mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila anak kecil mengalami kecederaan, pasti timbulnya kegusaran dan kerisauan dalam diri ibu ayah.

Lebih-lebih lagi jika kecederaan dialami di bahagian kepala mungkin kerana terjatuh, terhantuk dan sebagainya.

Buat yang pertama kali menjadi ibu ayah, sudah tentu terdetik untuk terus membawa anak ke klinik atau hospital berhampiran.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Kanak-Kanak Lumpuh Akibat Bermain Trampolin, Ini Risiko Yang Ibu Ayah Kena Tahu

Kanak-Kanak Selalunya Mengalami Kecederaan Kepala Ringan Sahaja

Kecederaan pada bahagian kepala kanak-kanak bukanlah sesuatu yang jarang berlaku. Boleh dikatakan hampir semua kanak-kanak pernah berlanggar kepala dengan sesuatu.

Ini kerana kepala mereka lebih besar sedikit berbanding tubuh badan, menjadikannya lebih mudah terjatuh kepala dahulu apabila hilang keseimbangan.

Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), kebanyakan kecederaan kepala adalah kecederaan ringan sahaja dan tidak menyebabkan masalah serius.

Namun masalah boleh terjadi selepas kanak-kanak mengalami benjolan kecil pada kepala dalam kes yang amat jarang.

Jika kanak-kanak hanya mengalami perlanggaran atau hentakan ringan, ibu ayah boleh memerhatikan tanda-tanda kecederaan berdasarkan kepada simptom anak.

Mereka mungkin menangis akibat terkejut atau sakit, namun AAP berkata tangisan itu tidak sepatutnya menjangkau tempoh masa 10 minit.

Kanak-kanak yang aktif dan memberi respon juga mungkin mengalami kecederaan ringan sahaja dan tidak perlu menjalani imbasan sinar X.

Dalam masa sama, ibu ayah boleh tuam benjolan pada kepala anak selama 20 minit untuk membantu mengurangkan bengkak dan perhatikan anak dengan teliti.

Sumber gambar: Pexels

Awasi Tanda Kecederaan Kepala Serius Pada Anak-Anak

Namun jika ibu ayah merasakan anak mengalami hentakan kuat pada kepala, maklumkan perkara itu pada doktor serta nyatakan bagaimana dan bila ia terjadi.

Dalam masa sama, jika keadaan anak berubah menjadi lebih teruk, segera bawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Antara tanda-tanda kecederaan kepala yang lebih serius adalah:

  • Sakit kepala berterusan, terutamanya yang menjadi lebih teruk.
  • Percakapan tidak jelas atau kebingungan.
  • Pening kepala yang tidak hilang atau berlaku secara berulang.
  • Sangat meragam atau tingkah laku lain yang tidak normal.
  • Muntah lebih 2 atau 3 kali.
  • Terjatuh atau sukar berjalan.
  • Darah atau cecair keluar dari hidung atau telinga.
  • Sukar bangun tidur atau terlampau mengantuk.
  • Saiz anak mata yang tidak sama besar.
  • Penglihatan berganda atau kabur.
  • Pucat yang luar biasa selama lebih satu jam.
  • Sawan.
  • Sukar mengenali individu yang dikenali.
  • Lengan atau kaki lemah.
  • Mendengar bunyi dering berterusan.

Dalam keadaan anak yang mengalami kecederaan kepala tidak sedarkan diri, segera hubungi ambulans atau bawa ke jabatan kecemasan.

Mereka mungkin perlu menjalani beberapa ujian bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami.

Imbasan sinar X boleh dilakukan bagi mengenal pasti sebarang retak pada tengkorak, manakala imbasan CT penting untuk melihat kecederaan otak yang mungkin berlaku.

Sumber gambar: Pexels

Segera Bawa Anak Ke Klinik/ Hospital Selepas Jatuh Jika Berumur Kurang 2 Tahun

Ibu ayah bagaimanapun diingatkan bahawa maklumat ini hanya terpakai buat anak-anak yang dalam keadaan sihat sebelum mengalami kecederaan kepala dan tidak mempunyai kecederaan lain.

Sebaliknya, segera dapatkan rawatan kecemasan setelah anak mengalami kecederaan kepala jika:

  • Berumur kurang daripada dua tahun.
  • Mungkin mempunyai kecederaan leher.
  • Mempunyai masalah sistem saraf termasuk sawan atau gangguan pergerakan.
  • Mempunyai kesukaran atau kelewatan dalam perkembangan.
  • Mempunyai gangguan pendarahan atau senang lebam.
  • Mangsa penderaan kanak-kanak.

Kanak-Kanak Boleh Mengalami TBI Akibat Kecederaan Kepala

Salah satu kecederaan kepala yang serius adalah kecederaan otak traumatik (TBI). AAP menegaskan bahawa TBI boleh mengganggu tumbesaran otak dan menyebabkan kesan jangka masa panjang.

Malah, kanak-kanak yang mengalami TBI mungkin sukar mencapai perkembangan penting termasuklah dalam makan, bercakap dan berjalan. Mereka juga mungkin lebih sukar untuk berinteraksi dengan individu lain.

Tambah AAP, kanak-kanak berusia kurang empat tahun paling banyak mengalami TBI, terutamanya yang disebabkan oleh terjatuh di rumah. Antara simptomnya:

  • Sawan, sukar bercakap atau muntah.
  • Perubahan pada corak tidur.
  • Kurang berminat dengan mainan atau untuk bermain.
  • Perubahan pada keseimbangan ketika merangkak atau berjalan.
Sumber gambar: Pexels

Ibu Ayah Ambil Langkah Untuk Elak Anak Alami Kecederaan Kepala

Seperti yang dinyatakan, kanak-kanak memang biasa terjatuh dan terhentak pada bahagian kepala.

Dalam masa sama, ibu ayah boleh mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan anak daripada mengalami kecederaan tersebut, antaranya:

  • Pastikan keselamatan anak ketika duduk di kerusi, stroller, bouncer dan sebagainya dengan menggunakan tali pengikat yang disediakan.
  • Bagi penggunaan bouncer, pastikan ia hanya diletak di atas lantai dan bukan di tempat tinggi.
  • Jangan angkat ketika anak berada di dalam bouncer.
  • Jangan tinggalkan anak bersendirian di atas meja menukar lampin, katil, sofa atau kerusi.
  • Pakaikan tali keledar dengan betul ketika duduk di kerusi kereta bayi (car seat).
  • Letakkan car seat di atas lantai dan bukan di tempat tinggi ketika dibawa keluar dari kenderaan.
  • Apabila menggunakan pengendong bayi, pasang tali pengikat dengan betul untuk mengelakkan anak daripada terjatuh.
  • Pasang pagar keselamatan pada tangga di rumah.
  • Skrukan perabot di rumah termasuk almari dan televisen pada dinding untuk mengelakkannya daripada terjatuh ke atas bayi apabila ditarik.
Sumber gambar: Pexels

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kanak-kanak Dikasari Budak Lain Di Taman Permainan, Ramai Gesa Ibu Bapa Sentiasa Pantau Anak


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd