Setiap Kanak-Kanak Berbeza, Ini Empat Personaliti Yang Ibu Ayah Kena Tahu
Dengan mengenal pasti personaliti setiap anak, ibu ayah boleh mempraktikkan kaedah yang betul dalam membesarkan dan mendidik mereka.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ibu ayah mesti tahu, setiap anak mempunyai karenahnya tersendiri yang menjadikan mereka berbeza berbanding adik-beradik lain.
Sebagai contoh ada anak yang lebih sukakan cabaran, manakala sebaliknya ada yang selesa dengan rutin harian ditetapkan.
Mungkin ada ibu ayah yang mengamalkan prinsip ketegasan terhadap kesemua anak. Namun sebenarnya setiap anak mempunyai personaliti yang unik serta memerlukan kaedah penjagaan dan pendidikan berbeza.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Ini Perjelas 8 Hak Anak Yang Wajib Ibu Ayah Tunaikan Menurut Perspektif Islam
Baca Artikel Berkaitan: Pakar Psikologi Kongsi Anak Boleh Alami ‘Luka Emosi’ Akibat Pengalaman Buruk Ketika Zaman Kanak-kanak
Ini 4 Personaliti Kanak-Kanak Berdasarkan Sifat Mereka
Dalam benar-benar memahami setiap anak, ibu ayah perlu mengetahui bahawa terdapat empat kumpulan personaliti yang membentuk diri mereka.
Dengan mengenal pasti personaliti sebenar anak-anak, ibu ayah dapat membesarkan dan mendidik mereka dengan lebih efektif.
Namun diingatkan bahawa ini tidak bermakna hanya terdapat empat kumpulan kanak-kanak berdasarkan personaliti. Sebaliknya setiap anak mempunyai sifat yang saling bertindan dengan personaliti berlainan.
#1. Choleric (Pemarah)
Sifat ini sentiasa dikaitkan dengan seorang kanak-kanak yang dominan. Mungkin kedengaran negatif, namun terdapat banyak keistimewaan dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai sifat pemarah termasuk sentiasa bersungguh-sungguh, bersemangat, lantang, berani, bertekad dan kompetitif.
Mereka juga lebih mengutamakan logik dan analisis serta sangat berorientasikan matlamat. Dalam masa yang sama, kanak-kanak dengan sifat pemarah mungkin tidak terlalu bersosial. Sifat-sifat lain termasuklah:
- Berkeyakinan dan tegas
- Mempunyai motivasi sendiri
- Bertenaga
- Suka membuat keputusan
- Boleh menjadi cepat marah dan panas baran
- Mungkin mempunyai masalah kawalan
Bagi mereka, rutin harian dan harapan yang jelas adalah penting memandangkan mereka lebih bagus dalam mengikut arahan. Kanak-kanak dengan sifat choleric ini sangat berdaya saing dan akan menyertai pelbagai acara demi ‘memenangi’ sesuatu.
Dengan personaliti mereka yang besar, ibu ayah perlu memainkan peranan penting dalam mendidik mereka menerusi pengukuhan yang positif seperti berikut:
- Berikan kata-kata positif jika anak berasa amat sedih apabila kalah dalam suatu acara dan didik mereka agar memahami tentang makna kemenangan sebenar.
- Didik anak agar memikirkan sesuatu secara mendalam serta mempertimbangkan perspektif dan perasaan orang lain sebelum menyuarakan pendapat.
- Memahami sifat ingin mengawal anak dan berikan tugasan ‘penting’ yang mereka boleh lakukan secara sendiri.
- Beri sokongan kepada anak jika mereka ingin mencuba sesuatu yang baharu.
- Berikan kepercayaan kepada mereka setelah dididik untuk melakukan suatu perkara dengan sendiri.
- Sentiasa bersabar dan membincangkan suatu perkara dengan anak secara matang dan mengambil berat.

#2. Sanguine (Optimis)
Kanak-kanak yang ekspresif dan penuh perasaan dikatakan mempunyai sifat sanguine atau optimis. Merupakan personaliti kanak-kanak yang paling sosial berbanding yang lain, mereka juga gemar berimaginasi, bermain, bercakap dan aktif.
Ibu ayah harus tahu, bahawa anak dengan sifat sanguine berani mengambil cabaran baharu dan senang berasa bosan. Oleh yang demikian, rutin yang tegas akan membuatkan mereka rasa terkongkong.
Antara ciri-ciri utama kanak-kanak sanguine ialah:
- Berkeyakinan
- Optimistik
- Suka bercakap
- Tajam daya pemerhatian
- Ekstrovert
- Berpengaruh
- Memberi ilham
- Kreatif
- Menyeronokkan
- Sukar memberi tumpuan
- Impulsif
- Tidak teratur
“Kanak-kanak sanguine selalunya menjadi penghubung sosial yang menghubungkan personaliti berbeza. Mereka selalunya popular dan mempunyai ramai kawan-kawan daripada kumpulan sosial berbeza,” jelas Crawford International.
Namun memandangkan kanak-kanak sanguine gemar mencari cabaran, mereka sukar untuk memberi fokus. Ibu ayah boleh ikuti tips di bawah:
- Bantu anak untuk menjadi lebih teratur dengan mewujudkan struktur dan rutin mudah.
- Tetapkan peraturan dan sempadan bagi anak untuk membantu mereka agar menjadi lebih berdisiplin dan mewujudkan kawalan diri.
- Jangan halang sifat kreatif anak, sebaliknya beri peluang untuk mereka mengetuai aktiviti seni visual dan muzik di sekolah/kelas.
- Pecahkan tugasan besar kepada bentuk-bentuk kecil untuk membantu anak agar tidak cepat hilang tumpuan.
- Sediakan pendidikan yang menyeronokkan buat anak menerusi permainan, lagu, lakonan dan sebagainya.
- Beri pujian yang positif untuk tingkatkan keyakinan anak.
- Sentiasa bersabar, cuba memahami dan utamakan kreativiti dalam membesarkan anak agar mencapai potensi sebenar.

3. Melancholic (Melankolia)
Dikatakan sebagai kanak-kanak yang gemar menganalisis, mereka dengan personaliti melankolia mempunyai sifat yang terperinci, menghormati, mementingkan privasi, kemas dan berhati-hati.
Mereka dikatakan akan memikir suatu perkara secara dalaman dan boleh menjadi agak serius pada masa tertentu, di samping kurang bersedia mengambil risiko atau memulakan cabaran baharu.
Antara sifat utama kanak-kanak melankolia termasuk:
- Introvert
- Sentiasa berfikir
- Sangat sensitif
- Mementingkan kesempurnaan
- Mudah sedih dan gementar
- Setia
- Berempati
- Teratur
- Berhati-hati
- Kreatif
Kanak-kanak melankolia juga gemar bersosial dan sering membantu orang lain, dengan perasaan ingin berkomunikasi seperti seorang dewasa apabila mereka semakin matang.
Berdasarkan artikel di Aleteia, ibu ayah dapat memahami dan membesarkan anak-anak melankolia menerusi kaedah berikut:
- Beri ruang dan waktu pada anak serta jangan memaksa mereka untuk menyertai kesemua aktiviti.
- Bantu anak untuk hilangkan keraguan dalam menyertai sebarang aktiviti agar mereka dapat berasa seronok.
- Cuba jawab setiap soalan anak walaupun kedengaran remeh.
- Hormati setiap pemikiran dalaman anak walaupun akan sering berubah-ubah topik atau minat.
- Elak beri rangsangan berlebihan kepada anak dan biarkan mereka dalam keadaan yang tenang.
- Sentiasa mendengar dan praktikkan perbualan dua hala dengan anak untuk membina hubungan emosi.

4. Phlegmatic (Tenang)
Juga dikenali sebagai kanak-kanak yang setia, mereka dengan personaliti tenang mempunyai sifat bertimbang rasa, penyayang, penuh perhatian dan tidak berkonfrontasi. Ini membuatkan mereka gemar hubungan yang rapat dan persekitaran tenang.
Kanak-kanak phlegmatic suka membantu orang lain dan lebih menyukai rutin yang boleh diagak, gemar berkasih sayang dan melakukan aktiviti berisiko rendah. Mereka mungkin agak lambat untuk berasa selesa ketika bersosial serta memerlukan lebih banyak masa untuk memproses maklumat dan menyatakan pendapat.
Oleh kerana itu, mereka dapat lebih berkembang dalam persekitaran yang memupuk rasa selamat dan hormat.
Kanak-kanak yang tenang ini mempunyai sifat seperti berikut:
- Lemah lembut
- Pendengar yang bagus
- Boleh diharap
- Sabar dan menerima seadanya
- Mengelak konflik
- Pandai mengawal tekanan
- Tidak banyak kerenah
Ibu ayah yang mempunyai anak-anak dengan personaliti tenang ini memerlukan strategi komunikasi yang efektif antaranya:
- Wujudkan persekitaran yang tenang dan sentiasa menyokong untuk membantu anak berasa lebih selamat dan selesa.
- Praktikkan rutin dengan anak untuk memberi mereka kestabilan yang diperlukan.
- Beri galakan secara lemah-lembut agar anak berasa lebih berkeyakinan untuk mencuba sesuatu yang baharu.
- Benar-benar mendengar dan memahami perasaan anak serta tunjukkan rasa empati agar mereka lebih terbuka untuk berkongsi sesuatu yang dirasai.
- Sentiasa bersabar dan beri masa kepada anak untuk memproses maklumat sebelum memberi maklum balas.
- Kenal pasti dan beri pujian terhadap usaha dan kejayaan anak agar dapat membina keyakinan diri serta menggalakkan mereka untuk terus mencuba perkara baharu.
- Beri galakan kepada anak untuk bersosial secara perlahan-lahan.

Setiap Kanak-Kanak Ialah Individu Yang Unik
Pun begitu, ibu ayah harus ingat bahawa setiap kanak-kanak merupakan individu yang unik. Gaya pendidikan dan penjagaan yang berkesan terhadap seorang kanak-kanak mungkin tidak begitu efektif pada mereka dengan personaliti sama.
Jadi ibu ayah kena benar-benar memahami sifat diri anak-anak dan sentiasa bersabar, fleksibel dan berkomunikasi dengan mereka.
Di samping itu, ibu ayah juga boleh membezakan personaliti anak secara ringkas iaitu sama ada mereka bersifat introvert atau ekstrovert, mengutamakan logik atau emosi, dan merupakan individu yang berstruktur atau fleksibel.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Ini Perjelas 8 Hak Anak Yang Wajib Ibu Ayah Tunaikan Menurut Perspektif Islam
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi 4 Kaedah Pembelajaran Awal Kanak-Kanak Yang Ditawarkan Oleh Tadika Swasta
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



