Pernah Terfikir Tak, Masalah Duit Bukan Sebab Gaji Tapi Mindset? Ini Penjelasan Dr Adam Zubir
Menurut Dr. Adam, masalah utama ramai orang berkaitan wang bukanlah semata-mata kerana gaji kecil, sebaliknya berpunca daripada tabiat dan cara pengurusan kewangan yang salah.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Isu kewangan terus menjadi perbualan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila kos sara hidup semakin meningkat saban tahun. Ramai mengeluh pendapatan mereka tidak pernah cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan walaupun bergaji besar.
Perkara ini lebih ketara bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur yang sememangnya menuntut perbelanjaan lebih tinggi. Namun begitu, punca sebenar bukan semata-mata terletak pada jumlah gaji seseorang.
Menurut pakar kewangan, Dr. Adam Zubir, ramai gagal mengurus kewangan kerana tersilap dari segi mindset dan cara berfikir. Mereka percaya pendapatan tinggi akan selesaikan semua masalah, sedangkan cara mengurusnya adalah jauh lebih penting.
Baca Artikel Berkaitan: Kos Kahwin Di Malaysia Antara Tertinggi Di ASEAN, Ada Yang Sampai Berhutang
Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Tambah Hutang, Dunia Sedang Berubah Drastik” – Lelaki Ini Beri 10 Tips Urus Kewangan
Baca Artikel Berkaitan: Budaya FOMO & YOLO Punca Belia Terbeban Dengan Hutang – Pakar Kewangan
Gaji Besar Pun Tak Cukup Jika Gaya Hidup Salah
Menerusi perkongsiannya, Dr. Adam menjelaskan bahawa ramai orang terperangkap dalam kitaran “duit tak cukup” kerana mereka sendiri menambah komitmen selari dengan kenaikan gaji.
Setiap kali pendapatan bertambah, perbelanjaan juga bertambah tanpa dikawal. Beliau memberi contoh bagaimana individu bergaji RM10,000 masih mengadu tidak cukup kerana komitmen bulanan yang tinggi.
Malah ada yang bergaji RM40,000 sebulan, tetapi perbelanjaan mencecah RM38,000 setiap bulan. Keadaan ini berpunca daripada gaya hidup yang terlalu mengikut nafsu dan tekanan sosial.
Ramai yang mula membeli rumah lebih besar, menukar kereta lebih mahal, makan di tempat lebih eksklusif, semuanya semata-mata mahu kelihatan berjaya.
Sedangkan tindakan ini hanya menjerumuskan diri ke dalam beban kewangan yang lebih besar, tanpa sedar simpanan dan pelaburan diabaikan.
Fokus Orang Berjaya Ialah Gandakan Duit, Bukan Habiskan Duit
Dr. Adam menegaskan bahawa cara berfikir tentang wang perlu diubah. Individu berjaya tidak melihat pendapatan mereka sebagai duit untuk dibelanjakan, sebaliknya mereka sentiasa mencari jalan bagaimana untuk menggandakan apa yang ada.
Mereka sentiasa bertanya tiga perkara penting iaitu:
- Bagaimana duit sedia ada boleh berkembang?
- Bagaimana nak tingkatkan simpanan bulanan?
- Apakah perbelanjaan yang memberi pulangan lebih baik di masa depan?
Contohnya, mereka akan gunakan lebihan pendapatan untuk pelaburan, emas, hartanah, atau usaha sampingan yang boleh menambah pendapatan.
Mereka juga percaya setiap ringgit yang dibelanjakan perlu ada nilai pulangan. Bukan semata-mata membazir untuk imej atau gaya hidup sementara.
Prinsip ini yang membezakan antara mereka yang kekal stabil dengan mereka yang sentiasa hidup cukup-cukup makan walaupun berpendapatan besar.
Hidup Di Bawah Kemampuan Kunci Kewangan Lebih Stabil

Tambah Dr. Adam, hidup di bawah kemampuan bukan bermaksud hidup susah atau kedekut, sebaliknya lebih kepada memahami had kewangan diri.
Ramai orang hari ini terbeban dengan komitmen melebihi kemampuan kerana terikut-ikut tekanan sosial dan mahu kelihatan hebat di mata orang lain.
Beliau menyarankan supaya setiap pembelian besar seperti rumah dan kereta dinilai berdasarkan pendapatan tahunan, bukan semata-mata kemampuan berhutang.
Jika gaji tahunan hanya RM24,000, tiada keperluan membeli kereta RM80,000 hanya kerana mahu nampak berjaya.
Menurutnya lagi, hidup sederhana tetapi stabil dari segi kewangan jauh lebih penting untuk jangka panjang berbanding hidup mewah yang dipenuhi hutang dan risiko kewangan.
Prinsip asas ini bukan sahaja melatih disiplin diri, malah membantu membentuk tabiat kewangan yang lebih sihat.
Pengurusan Wang Bermula Dari Mindset, Bukan Pendapatan

Kesimpulannya, Dr. Adam menegaskan bahawa masalah utama ramai orang bukanlah kerana pendapatan kecil, tetapi kerana tiada ilmu dan mindset yang betul tentang pengurusan wang.
Ramai orang kaya hari ini bermula dari bawah kerana mereka tahu mengurus apa yang mereka ada, bukan menunggu gaji besar semata-mata.
Mindset untuk hidup di bawah kemampuan, sentiasa memikirkan cara menggandakan wang dan tidak terikut-ikut gaya hidup orang lain adalah kunci utama membina kestabilan kewangan.
Semua ini memerlukan masa, disiplin dan kefahaman yang jelas tentang matlamat kewangan masing-masing.
Tanpa mindset yang betul, berapa pun gaji diterima setiap bulan, tetap akan rasa tidak pernah cukup.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 7 Tips Uruskan Kewangan Untuk Graduan Yang Baru Melangkah Ke Alam Pekerjaan
Baca Artikel Berkaitan: Nak Kahwin Dalam Masa Setahun Tapi Duit Tak Cukup? Ini Tips Dari Pakar Kewangan
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Mampu Ke Nak Beli Rumah Sebelum Umur Cecah 25 Tahun? Ini Kata Pakar Kewangan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.